hadis

  • Ibadat hapus dosa

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 133:

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan daripada Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Solat lima waktu, solat Jumaat sampai solat Jumaat berikutnya, puasa Ramadan sampai puasa Ramadan berikutnya dapat menjadi penghapus dosa antara kedua-duanya, apabila dijauhi dosa-dosa besar. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi bukti betapa luas rahmat Allah dan berterusan melakukan kewajipan dapat melebur dosa-dosa kecil.

    Firman Allah bermaksud: Mereka yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan keji, kecuali kesalahan-kesalahan kecil. Sungguh Tuhanmu Maha Luas keampunan-Nya. (Surah an-Najm, ayat 32)

  • Tiga perkara hapus kesalahan, angkat darjat

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 133:

    Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Mahukah kamu saya tunjukkan mengenai suatu amalan yang dengannya Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan serta mengangkat darjat-darjat? Mereka (sahabat) berkata: Tentu, wahai Rasulullah.
    Baginda bersabda: (Iaitu) menyempurnakan wuduk pada keadaan tidak disukai, banyak melangkah ke masjid, dan menunggu solat setelah selesai suatu solat. Maka, itu bagi kamu “ribath”. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Ketiga-tiga hal itu disebutkan “ribath” kerana merupakan perkara yang paling memusuhi pada diri seseorang. Perbuatan ini dapat menutup jalan syaitan dan hawa nafsu, kerana jihad melawan hawa nafsu adalah jihad terbesar.

  • Solat dua waktu dingin

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 133 & 134:

    Daripada Abu Musa al-Asy’ari RA berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa melakukan solat pada dua waktu dingin, dia masuk syurga. (Hadis muttafaq alaih — diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Waktu dingin ialah solat Subuh dan Asar.

    Sisi khusus menyebutkan Subuh dan Asar berbanding solat waktu yang lain. Ini kerana waktu Subuh adalah paling nikmat untuk tidur, manakala waktu Asar merupakan waktu sibuk. Seseorang yang menjaga dua solat ini, dia akan menjaga solat selainnya.

  • Setiap amalan baik adalah sedekah

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 134:

    Daripada Jabir RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Setiap makruf (perbuatan baik) adalah sedekah. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari — dan Muslim daripada riwayat Huzaifah RA)

    HURAIAN

    Hadis ini mengandungi keterangan bahawa semua perbuatan baik dilakukan manusia, maka hal itu adalah sedekah yang diberikan pahala untuknya.

  • Orang tetap dengan amalan kebaikan sewaktu bermukim dan sihat, dicatatkan pahala untuknya ketika bermusafir, sakit

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 134:

    Daripada Abu Musa al-Asy’ari RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Apabila seorang hamba sakit atau berkelana, maka dicatatkan baginya (pahala) sebagaimana dia melakukan amalan (ibadat, kebaikan) ketika dia bermukim (berada di rumah, di tempatnya) dan semasa sihat. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    HURAIAN

    Orang mempunyai amalan kebaikan yang dilakukannya secara berterusan, kemudian dia tidak dapat melakukannya kerana menghadapi kesukaran, masalah atau alasan yang benar, maka tetap dicatatkan baginya sebagaimana dia melakukan amalan itu sebelumnya.

  • Hasil tanaman dimakan manusia dan haiwan, dicuri jadi sedekah

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 134 & 135:

    Daripada Jabir RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tidaklah seorang Muslim yang menanam suatu tanaman, melainkan apa sahaja dimakan daripada hasil tanaman itu merupakan sedekah baginya, dan apa sahaja dicuri daripada tanaman itu merupakan sedekah baginya, dan tidak pula tanaman itu dikurangi oleh seseorang, melainkan itu pun merupakan sedekah baginya. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    Dalam riwayat Imam Muslim yang lain disebutkan: Tidaklah seorang Muslim menanam suatu tanaman, kemudian hasil tanamannya itu dimakan oleh manusia ataupun haiwan, atau burung, melainkan semua itu merupakan sebagai sedekah baginya sampai hari kiamat.

    Dalam riwayat Muslim yang lagi disebutkan: Tidaklah seorang Muslim menanam suatu tanaman, tidak pula dia menanam suatu tumbuhan, kemudian hasil daripada tanamannya itu dimakan oleh manusia, atau haiwan atau apa sahaja, melainkan semua itu merupakan sedekah baginya.

    Imam Muslim dan Imam al-Bukhari meriwayatkan hadis-hadis ini daripada riwayat Anas RA.

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi bukti luasnya pemurah Allah dan bahawa Allah memberi pahala setelah meninggal dunia sebagaimana Allah memberi pahala ketika dia masih hidup dan bahawa suatu yang diambil daripada seseorang, maka hal itu sebagai sedekah bagi pemiliknya.

  • Setiap langkah ke masjid ada catatan

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 135:

    Daripada Jabir RA berkata: Bani Salimah berkehendak untuk berpindah tempat dekat masjid. Berita itu sampai kepada Rasulullah SAW, kemudian baginda bersabda kepada Bani Salimah (mafhumnya): Sesungguhnya telah sampai kepadaku bahawa kamu semua hendak berpindah dekat masjid?

    Mereka menjawab: Benar, wahai Rasulullah, kami menghendaki demikian.

    Baginda bersabda: Wahai Bani Salimah, tetaplah di rumah-rumah kamu sahaja, akan dicatat langkah-langkah kamu. Tetaplah di rumah-rumah kamu saja, akan dicatat langkah-langkah kamu. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    Dalam riwayat lain disebutkan: Sesungguhnya setiap langkah itu (dihitung) satu darjat.

    Imam al-Bukhari meriwayatkan pula dengan pengertian yang semakna dengan yang di atas, daripada riwayat Anas RA.

    PENJELASAN

    Bani Salimah adalah kabilah yang terkenal daripada sahabat Ansar.

    Hadis ini mengandungi keutamaan berjalan menuju masjid, merupakan kebaikan yang ditulis (pahala) bagi pelakunya. Hal ini dijelaskan oleh firman Allah bermaksud: “Dan Kami menuliskan apa yang telah mereka kerjakan dan bekas-bekas yang mereka tinggalkan.” (Surah Yasin, 12)

  • Larangan saling menganiaya, keagungan Allah

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 120-121:

    Daripada Said bin Abdul Aziz meriwayatkan, daripada Rabi’ah bin Yazid, daripada Abu Idris al-Khawlani, daripada Abu Dzar Jundub bin Junadah RA, daripada Nabi SAW dalam satu riwayat yang diriwayatkan daripada Allah Tabaaraka wa Taala bahawa Allah berfirman: “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku mengharamkan pada diriku sendiri akan menganiaya dan Aku mengharamkan berbuat aniaya antara kamu. Maka, janganlah kamu saling menganiaya (menzalimi).

    Wahai hamba-hamba-Ku, kamu semua tersesat, kecuali orang yang Aku beri petunjuk. Maka, mohonlah petunjuk kepada-Ku, pasti kamu Aku beri petunjuk.

    Wahai hamba-hamba-Ku, kamu semua lapar, melainkan orang yang Aku beri makan. Maka, mohonlah makan kepada-Ku, pasti kamu semua Aku beri makan.

    Wahai hamba-hamba-Ku, kamu semua telanjang, melainkan orang-orang yang Aku beri pakaian. Maka, mohonlah pakaian kepada-Ku, pasti kamu semua Aku beri pakaian.

    Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya kamu semua berbuat kesalahan pada malam hari dan siang hari, sedangkan Aku mengampuni segala dosa. Maka, mohonlah keampunan kepada-Ku, pasti kamu semua Aku ampun.

    Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya kamu semua tidak dapat membahayakan Aku. Maka, andai dapat, tentu kamu semua akan membahayakan Aku. Demikian pula, kamu semua tidak dapat memberikan manfaat kepada-Ku. Maka, andai dapat, tentu kamu semua akan memberikan manfaat kepada-Ku.

    Wahai hamba-hamba-Ku, andai orang yang paling awal hingga yang paling akhir dari kalangan manusia dan jin semuanya mempunyai hati seseorang yang paling takwa antara kamu semua, maka hal ini tidak akan menambah sedikit pun pada keagungan kerajaan-Ku.

    Wahai hamba-hamba-Ku, andai orang yang paling awal hingga yang paling akhir dari kalangan manusia dan jin semuanya mempunyai hati seseorang yang paling jahat antara kamu semua, maka hal ini tidak akan mengurangkan sedikit pun pada keagungan kerajaan-Ku.

    Wahai hamba-hamba-Ku, andai orang yang paling awal hingga yang paling akhir dari kalangan manusia dan jin semuanya berdiri di suatu tempat yang tinggi di atas bumi, lalu setiap seorang meminta sesuatu kepada-Ku dan masing-masing Aku berikan permintaannya, maka hal ini tidak akan mengurangi apa yang menjadi milik-Ku, melainkan hanya bagaikan menguranginya jarum apabila dimasukkan ke dalam laut.

    Wahai hamba-hamba-Ku, hanyasanya semua itu adalah amalan perbuatan kamu sendiri. Aku menghitungnya untuk kamu, lalu Aku memberikan balasannya. Maka, sesiapa mendapatkan kebaikan, hendaklah dia memuji kepada Allah dan sesiapa yang mendapatkan selain itu, hendaklah jangan menyalahkan melainkan pada dirinya sendiri.”

    Saad berkata: Abu Idris ketika menceritakan hadis ini dengan keadaan berlutut. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Kami juga meriwayatkannya daripada Imam Ahmad bin Hanbal dan dia berkata: Tidak ada satu hadis pun bagi penduduk Syam yang lebih mulia daripada hadis ini.

    Ini merupakan hadis agung dan mulia. Ini termasuk hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Nabi SAW daripada Allah.

    Intisari hadis:

    1. Buruknya kezaliman dan sesungguhnya semua makhluk memerlukan Allah untuk mendapatkan kemaslahatan dan menolak mudarat untuk urusan agama dan dunia mereka.
    2. Sesungguhnya Allah senang (suka) hamba-Nya memohon dan meminta keampunan kepada-Nya.
    3. Kerajaan Allah tidak bertambah kerana ketaatan (atau kebaikan) yang dilakukan oleh makhluk dan tidak berkurang kerana kemaksiatan (kejahatan) yang dilakukan oleh makhluk.
    4. Sesungguhnya gudang (kekayaan) Allah tidak akan habis dan tidak berkurang.
    5. Kebaikan yang dialami seseorang berasal daripada anugerah Allah, sedangkan keburukan yang menimpanya berasal daripada diri sendiri dan hawa nafsunya.
    6. Hadis ini mencakupi kaedah agung dalam asas agama, cabangnya, etikanya dan sebagainya.
  • Alasan seseorang diterima sehingga usia 60 tahun

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 123:

    Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Allah tetap menerima alasan seseorang yang diakhirkan ajalnya sehingga sampai usia 60 tahun. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    PENJELASAN

    Ulama berkata: Pengertian hadis ini bahawa Allah tidak membiarkan alasan yang disampaikan oleh seseorang yang sudah berumur 60 tahun kerana dia telah dilambatkan oleh Allah sampai usia berkenaan. Dikatakan “a’dzarar rajulu” – apabila dia sangat banyak mengemukakan alasannya.

    Maksudnya, Allah tidak membiarkan seorang hamba mencari alasan, seperti dia mengatakan: “Andai umurku dipanjangkan, pasti aku melakukan apa yang diperintahkan.” Oleh kerana itu seharusnya dia beristighfar, melakukan ketaatan dan menyiapkan (diri) untuk akhirat secara maksimum.

  • Amalan paling utama dan tingkatan dalam melakukan kebaikan

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 126 & 127:

    Daripada Abu Dzar Jundub bin Junadah RA berkata: Saya bertanya, wahai Rasulullah, amalan manakah paling utama?

    Baginda berkata: Iman kepada Allah dan berjihad pada jalan-Nya.

    Saya bertanya lagi, hamba sahaya manakah yang lebih utama?

    Baginda berkata: Hamba sahaya yang dipandang indah bagi pemiliknya serta termahal harganya.

    Saya berkata, jika saya tidak dapat melakukan hal berkenaan?

    Baginda berkata: Hendaklah kamu membantu kepada seorang pekerja atau kamu melakukan suatu untuk seseorang yang kurang pandai bekerja.

    Saya berkata, wahai Rasulullah, bukankah anda lihat jika saya ini lemah dalam sesetengah pekerjaan.

    Baginda berkata: Hendaklah kamu menahan diri, jangan sampai melakukan kejahatan kepada orang lain, maka sesungguhnya hal itu merupakan sedekah daripada kamu untuk dirimu sendiri. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    HURAIAN

    Hadis ini mengandungi penjelasan mengenai amalan paling utama dan tingkatan dalam melakukan kebaikan. Jika seseorang tidak mampu melakukan kebaikan tertentu, dia mungkin mampu melakukan amalan baik yang lain. Jika dia masih tidak mampu melakukan mana-mana kebaikan secara khusus, maka dia menahan diri daripada melakukan kejahatan (keburukan atau hal merosakkan, merugikan) kepada manusia lain.