hadis

  • Manusia sesuai dengan agama temannya

    Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Seorang lelaki sesuai dengan agama temannya. Maka, lihatlah kamu siapa temannya. (Diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Tirmidzi dengan sanad sahih; dan kata Tirmidzi, hadis hasan)

    HURAIAN

    Hadis ini mengandungi peringatan agar seseorang memilih teman atau sahabat yang baik-baik. Jangan sampai tersalah pilih untuk dijadikan sahabat. Sebutan agama itu harus difahami dalam konteks yang luas, termasuk akhlak, peribadi dan pembawaan diri.

    Sumber/rujukan: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 283.

  • Dosa besar yang paling besar, apakah itu?

    Daripada Abu Bakrah Nufai’ bin al-Harits RA berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Ingatlah, saya memberitahu kamu mengenai dosa besar yang paling besar.

    Baginda bersabda ini sampai tiga kali.

    Kami menjawab: Ya, wahai Rasulullah.

    Baginda bersabda: Menyekutukan Allah dan derhaka kepada kedua-dua ibu bapa.

    Semula baginda bersandar, lalu baginda duduk, kemudian bersabda lagi: Ingatlah, termasuk juga ucapan bohong dan persaksian palsu.

    Baginda terus-menerus mengulang-ulanginya, sehingga kami mengucapkan: Alangkah baiknya jika baginda berhenti mengucapkannya. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    HURAIAN

    Antara yang boleh difahami mengenai dosa; ada dosa besar yang lebih besar seperti disebutkan:

    1. Menyekutukan Allah.
    2. Derhaka kepada ibu bapa.
    3. Ucapan bohong.
    4. Persaksian/kesaksian palsu.

    Dosa besar adalah dosa yang pelakunya diancam dengan kemurkaan, laknat dan neraka.

    Sumber/rujukan: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 264/265.

  • Empat dosa besar

    Daripada Abdullah bin Amru bin Al-As RA daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Dosa besar; syirik kepada Allah, derhaka kepada kedua-dua ibu bapa, membunuh jiwa (seseorang) dan bersumpah palsu. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    HURAIAN

    “Al-yamin al-ghamus” dalam teks hadis itu diterjemahkan sebagai sesuatu yang disumpahkan oleh seseorang secara dusta dan disengajakan. Dinamakan “ghamus” kerana sumpah itu mencelupkan orang yang bersumpah itu ke dalam dosa.

    Sumber/rujukan: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 265.

  • Termasuk dosa besar ialah memaki ibu bapa

    Daripada Abdullah bin Amru bin Al-As RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Termasuk antara dosa-dosa besar ialah jika seseorang itu memaki-maki kedua-dua orang tuanya sendiri.

    Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah ada seseorang memaki-maki kedua-dua ibu bapanya sendiri?

    Baginda bersabda: Ya, apabila seseorang memaki-maki bapa seseorang, lalu orang yang bapanya dimaki-maki itu memaki-maki bapa orang terbabit, atau seseorang itu memaki-maki ibu orang lain, lantas orang yang ibunya dimaki-maki itu memaki-maki ibu orang terbabit. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim & Ahmad)

    Dalam riwayat lain disebutkan: Sesungguhnya termasuk dosa besar yang terbesar ialah apabila seseorang melaknat kedua-dua ibu bapanya sendiri.

    Lantas ditanyakan: Wahai Rasulullah, bagaimanakah seseorang itu melaknat kedua-dua ibu bapanya sendiri?

    Baginda bersabda: Apabila seseorang memaki-maki bapa seseorang, lantas orang yang bapanya dimaki-maki itu memaki-maki bapa orang terbabit, atau seseorang itu memaki-maki ibu orang lain, lantas orang yang ibunya dimaki-maki itu memaki-maki ibu orang terbabit.

    HURAIAN

    Ungkapan “adakah seseorang memaki-maki kedua-dua ibu bapanya sendiri?” adalah pertanyaan yang menganggap kemungkinan terjadinya sangat jauh dilakukan oleh orang yang beragama dan mempunyai akal. Oleh kerana itu Rasulullah SAW menyampaikan bahawa hal itu terjadi dengan cara melakukan penyebab orang lain memaki kedua-dua ibu bapanya.

    Sumber/rujukan: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 266. (Dalam teks Riyadus Solihin & Penjelasannya, menggunakan perkataan “orang tua” tetapi dalam teks ini menggantikannya dengan “ibu bapa” bagi mengelakkan kekeliruan terutama apabila diterjemah ke bahasa lain)

  • Berbuat baik kepada sahabat ibu bapa

    Daripada Abdullah bin Umar RA meriwayatkan, bahawa ada seorang lelaki daripada golongan Arab pedalaman bertemu dengannya di suatu jalanan Makkah, lalu Abdullah bin Umar mengucapkan salam kepadanya dan membawanya naik ke atas keldai yang dikenderainya serta memberinya serban yang melilit di kepalanya.

    Ibnu Dinar berkata: Maka, kami berkata kepadanya, semoga Allah memberikan kebaikan kepadamu. Sungguh, dia adalah orang Arab pedalaman dan mereka itu reda dengan hal-hal yang remeh.

    Maka, Abdullah bin Umar berkata: Sesungguhnya bapa orang ini adalah kecintaan Umar bin al-Khattab RA, dan sesungguhnya saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya sebaik-baik kebaikan ialah seorang lelaki menyambung hubungan kepada orang dikasihi bapanya.

    Dalam riwayat lain daripada Ibnu Dinar, daripada Ibnu Umar RA, bahawa suatu ketika dia keluar ke Makkah. Dia mempunyai seekor keldai yang dia mengistirahatkan diri ke atasnya, jika sudah bosan, dia menaikinya. Dia juga mempunyai serban yang diikatkan pada kepalanya. Pada suatu hari, ketika dia menaiki keldainya itu, tiba-tiba seorang Arab pedalaman melewatinya, kemudian dia bertanya: Bukankah kamu polan bin polan?

    Dia menjawab: Ya.

    Maka, dia (Ibnu Umar) memberinya keldai.

    Maka, dia berkata: Naiklah ini (keldai).

    Dan dia juga memberinya serban dan berkata: Ikatlah dengannya pada kepalamu.

    Maka, sesetengah sahabatnya (Abdullah bin Umar) berkata: Semoga Allah mengampunkan kamu. Kamu telah memberi kepada orang Arab pedalaman ini seekor keldai yang kamu gunakan untuk istirahat, dan kamu juga beri serban yang kamu ikatkan di kepalamu?

    Maka, dia (Abdullah) berkata: Sesungguhnya saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya daripada sebaik-baik kebaikan ialah seorang lelaki menyambung hubungan dengan orang dikasihi bapanya, setelah bapanya meninggal dunia. Dan sesungguhnya bapanya (orang Arab pedalaman itu) adalah sahabat Umar RA. (Diriwayatkan oleh Imam Muslim)

    HURAIAN

    Dalam hadis ini terdapat anjuran untuk memuliakan sahabat kepada bapa. Dibuat qiyas (perbandingan) hal ini ialah sahabat kepada ibu dan seluruh kerabat (ahli keluarganya).

    Sumber/rujukan: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 268.

  • Tidak masuk syurga orang memutuskan hubungan kekeluargaan

    Daripada Abu Muhammad Jubair bin Muth’im RA bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tidak akan masuk syurga seorang yang memutuskan.

    Sufyan berkata dalam riwayatnya: Yakni memutuskan rahim (hubungan kekeluargaan). (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    HURAIAN

    Ancaman berat bagi orang memutuskan hubungan keluarga.

    Besarnya dosa orang yang memutuskan hubungan keluarga.

    Sumber/rujukan: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 266.

  • Perkara diharamkan dan dibenci

    Daripada Abu Isa al-Mughirah bin Syu’bah RA, meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya Allah Taala mengharamkan ke atas kamu menderhaka kepada para ibu, mencegah melaksanakan hal-hal yang diwajibkan atas dirinya, meminta yang bukan miliknya, atau menguburkan anak perempuan hidup-hidup. Allah membenci ucapan “qiila wa qaala” (mengucapkan hal yang belum jelas kebenarannya), banyak bertanya dan mensia-siakan harta. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 266.

  • 5 perbuatan baik kepada ibu bapa selepas mereka meninggal dunia

    Daripada Abu Usaid Malik bin Rabi’ah as-Sa’idi RA berkata: Kami sedang duduk-duduk di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba datang kepadanya seorang lelaki daripada Bani Salamah.

    Maka, lelaki itu berkata: Wahai Rasulullah, apakah masih ada suatu perbuatan yang dapat saya lakukan sebagai bentuk bakti saya kepada kedua-dua ibu bapa saya setelah kedua-duanya meninggal dunia?

    Maka, baginda berkata: Ya, masih ada, iaitu mendoakan keselamatan untuk kedua-duanya, memohonkan keampunan kepada kedua-duanya, melaksanakan janji kedua-duanya setelah wafatnya, silaturahim (menyambung rahim atau hubungan kekeluargaan) yang tidak dapat disambungkan melainkan dengan adanya kedua-duanya serta memuliakan kawan kedua-duanya, (Hadis diriwayatkan oleh Abu Dawud – didaifkan oleh Al-Albani dalam kitab Dhaif Abu Dawud, 1101)

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 268/269.

  • Memberi layanan baik kepada orang melayani Nabi

    Daripada Anas bin Malik RA berkata: Saya pernah keluar bersama Jarir bin Abdullah Al-Bajaliy RA dalam suatu perjalanan. Maka, dia memberi khidmat (melayani) kepada saya.

    Maka, saya berkata kepadanya: Jangan lakukan (demikian).

    Maka, dia berkata: Sesungguhnya saya telah melihat (orang) Ansar melakukan sesuatu terhadap Rasulullah SAW. Saya bersumpah tidak akan berteman dengan seorang pun daripada mereka (orang Ansar) melainkan saya memberikan khidmat kepadanya (melayaninya). (Muttafaq alaih – Diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

    HURAIAN

    Usia Jarir lebih tua daripada Anas. Jarir adalah seorang pemimpin golongan Bajilah. Dia memberi khidmat atau melayani Anas dalam rangka memuliakan Nabi SAW dan berbuat baik kepada orang yang berkhidmat kepada Nabi.

    Hadis ini juga menunjukkan memuliakan orang berbuat baik meskipun usianya lebih muda. Dan ini juga menunjukkan sikap rendah diri (rendah hati) Jarir dan keutamaannya.

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 270.

  • Tiga orang harus dimuliakan

    Daripada Abu Musa RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya antara cara mengagungkan Allah Taala ialah dengan cara memuliakan seorang muslim yang sudah beruban serta orang yang hafal al-Quran yang tidak melampaui batas dalam membacanya dan tidak pula meninggalkan membaca. Demikian juga memuliakan seorang penguasa yang adil. (Diriwayatkan oleh Abu Dawud — hadis ini [status] hasan / disahihkan oleh syaikh Al-Albani dalam dalam kitab Sahih al-Jami’, 2199)

    HURAIAN

    Hadis ini menekankan agar memuliakan orang yang diredai Allah iaitu tiga orang di atas (orang beruban yakni orang tua, orang hafal Quran dan penguasa yakni orang yang mempunyai kuasa/yang memimpin atau mentadbir yang adil). Dan Allah akan memberikan pahala kepada orang memuliakan mereka.

    Sumber/rujukan – Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 276.