hadis

  • Empat perkara terpelihara darah, harta

    Daripada Ibnu Umar RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Saya diperintah untuk memerangi manusia, sehingga mereka bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan bahawa Muhammad Rasulullah (utusan Allah), mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Maka, apabila mereka melakukan demikian, mereka terpelihara darah dan harta benda mereka daripadaku, kecuali dengan hak Islam. Dan perhitungan (amalan) mereka (terserah) atas Allah Taala. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Sumber/ruj: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 298.

  • Terpelihara darah, harta apabila mengucapkan “La ilaha illallah”

    Daripada Abi Abdillah Thariq bin Asyaim RA berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa mengucapkan “La ilaha illallah” (tiada tuhan melainkan Allah), dan mengingkari apa yang disembah selain daripada Allah, haram hartanya dan darahnya, sedang perhitungannya atas Allah Taala. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Haram darahnya, maksudnya haram daripada diperangi, begitu juga hartanya haram daripada diambil/dirampas, apabila mengucapkan “La ilaha illallah”.

    Sumber/rujukuan: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 299.

  • Anjuran mengasihi kanak-kanak, memuliakan orang tua

    Daripada Amru bin Syu’aib meriwayatkan daripada bapanya, daripada datuknya, berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Bukan daripada kita (bagi) sesiapa yang tidak mengasihi kanak-kanak antara kita, dan tidak mengerti kemuliaan orang tua antara kita. (Hadis sahih diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Tirmidzi – dan kata Tirmidzi hadis hasan sahih)

    Dalam riwayat Abu Dawud disebutkan: Hak orang yang tua daripada kita.

    HURAIAN

    Hadis ini mengingatkan kita agar mengasihi kanak-kanak dan memuliakan orang-orang tua.

    Sumber/rujukan: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 276/277.

  • Jaga adab apabila di sisi orang lebih tua

    Daripada Abu Said Samurah Samurah bin Jundub (RA) berkata: Bahawa saya dahulu pada masa Rasulullah SAW masih kanak-kanak, maka saya menghafaz daripadanya. Maka, tidaklah baginda melarang saya daripada berbicara, melainkan jika di situ ada orang yang lebih tua usianya daripada usia saya. (Muttafaq alaih – Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    HURAIAN

    Hadis ini mengandungi pelajaran agar menjaga adab atau menghormati orang yang lebih tua daripada kita. Kanak-kanak misalnya menjaga sikap terutama tutur kata apabila ada orang lebih tua.

    Sumber/rujukan: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 278.

  • Abu Bakar, Umar dan Ummu Aiman menangis

    Daripada Anas (RA) berkata: Abu Bakar berkata kepada Umar selepas kewafatan Rasulullah SAW, marilah kita berangkat bersama ke tempat Ummu Aiman (RAnha), berziarah kepadanya, sebagaimana Rasulullah SAW pernah menziarahinya.

    Manakala kedua-duanya sampai di tempatnya, Ummu Aiman menangis, lalu kedua-duanya bertanya: Apakah yang membuatmu menangis? Tidakkah kamu mengetahui bahawa apa yang ada di sisi Allah lebih baik untuk Rasulullah SAW?

    Maka, Ummu Aiman menjawab: Sesungguhnya saya bukanlah menangis, bukanlah kerana saya tidak mengerti bahawa apa yang ada di sisi Allah Taala lebih baik untuk Rasulullah SAW, tetapi saya menangis kerana bahawa wahyu telah terputus dari langit.

    Pernyataan Ummu Aiman ini menggerakkan hati Abu Bakar dan Umar untuk menangis, lalu kedua-duanya pun menangis bersama Ummu Aiman. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Ummu Aiman ialah hamba Rasulullah SAW yang dinikahi oleh Zaid bin Haritsah. Nama asalnya ialah Barakah. Dia adalah ibu kepada Usamah bin Zaid. Rasulullah menghormatinya. Di sisi Ummu Aiman, baginda bagaikan puteranya sendiri.

    Sumber/rujukan: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 279/280.

  • Syurga bagi orang mengunjungi orang sakit, saudara kerana Allah

    Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa menjenguk orang sakit atau mengunjungi saudaranya fillah (pada jalan Allah, atau kerana Allah), maka berseru penyeru: Kamu telah melakukan kebaikan dan baik pula perjalananmu, serta kamu dapat menduduki tempat di syurga. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia berkata hadis ini hasan. Dan dalam sebahagian kitab disebutkan hadis ini gharib)

    HURAIAN

    Hadis ini mengandungi ganjaran Allah terhadap orang yang mengunjungi orang sakit atau saudaranya kerana Allah.

    Sumber/rujukan: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 281.

  • Mencintai saudara kerana Allah, dicintai Allah

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan, daripada Nabi SAW bahawa ada seorang lelaki mengunjungi saudaranya di satu kampung lain, kemudian Allah Taala memerintahkan malaikat untuk melindunginya di sepanjang jalan.

    Ketika orang terbabit melalui jalan itu, malaikat berkata kepadanya: Kamu hendak ke mana?

    Dia menjawab: Saya hendak ke tempat saudara saya di kampung ini.

    Malaikat bertanya lagi: Apakah ada suatu kenikmatan yang hendak kamu peroleh daripada saudaramu itu?

    Dia menjawab: Tidak, hanya saya mencintainya (atau mengasihinya) kerana Allah Taala.

    Lalu, malaikat berkata: Sesungguhnya saya adalah utusan Allah untuk menemuimu, bahawa sesungguhnya Allah mencintaimu sebagaimana kamu mencintai saudaramu itu kerana Allah. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Antara pelajaran yang dapat diperhatikan dalam hadis ini ialah berkunjung kerana Allah dan mencintai/mengasihi saudara atau saudari (bagi perempuan) kerana Allah. Ganjarannya, Allah mencintai pula orang terbabit.

    Dalam setiap perkara/urusan, kita dituntut melakukannya kerana Allah.

    Sumber/rujukan: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 280.

  • Anjuran agar berteman dengan orang yang baik

    Daripada Abu Musa Al-Asy’ari RA bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Bahawa perumpamaan teman yang baik dan teman yang jahat adalah bagaikan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi adakalanya memberikan minyaknya kepadamu atau kamu dapat membelinya ataupun setidak-tidaknya kamu mendapati baunya yang harum. Sedangkan tukang besi, maka adakalanya akan membakar pakaianmu atau setidak-tidaknya kamu akan mendapati bau yang tidak enak daripadanya. (Muttafaq alaih – Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim & Ahmad)

    HURAIAN

    Hadis ini mengandungi anjuran agar berteman/bergaul dengan orang baik, dan mengingatkan pergaulan dengan orang yang tidak baik. Baik itu ialah baik akhlak dan peribadinya.

    Sumber/rujukan: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 281.

  • Wanita dinikahi kerana empat perkara

    Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Seorang wanita dinikahi kerana empat (perkara): Kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, dan kerana agamanya. Maka, usahakanlah untuk mendapat yang mempunyai agamanya, tentu kedua-dua tanganmu berasa puas. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

    HURAIAN

    Manusia biasanya mengahwini perempuan kerana empat perkara berkenaan. Namun diingatkan agar memilih faktor agama. Sebab keelokan agama malah kefahaman jitu mengenainya, membuatkan rumah tangga aman sentosa. Kecantikan sebagai contoh tidak berkekalan malahan boleh menimbulkan fitnah, manakala harta selalunya membawa kepada hiruk-pikuk kehidupan, berlaku perebutan dan sebagainya yang boleh kita sifatkan malapetaka (jika tidak ditangani dengan baik). Kerana keturunan semata-mata pula kadang-kadang membuatkanmu berasa lebih mulia, berasa lebih bagus daripada orang lain, dan ini suatu sikap tidak bagus.

    Sumber/rujukan: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 281.

  • Kamu bersama orang dicintai

    Daripada Abu Musa al-Asy’ari RA, bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Seseorang bersama siapa dicintai. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

    Dalam satu riwayat lagi: Abu Musa berkata: Dikatakan kepada Nabi SAW: Seorang lelaki menyukai suatu kaum, tetapi dia tidak pernah menemui mereka? Baginda bersabda: Seseorang bersama siapa dicintai.

    HURAIAN

    Hadis ini antara lain mengandungi pengertian seseorang bersama orang dicintai, walaupun tidak pernah menemuinya dan mengingatkan kita agar jangan salah suka atau mencintai, sebaliknya sukalah kepada orang baik-baik.

    Sumber/rujukan: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 283.