hadis

  • Waspada terhadap dunia, wanita

    Daripada Abu Said RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya dunia manis lagi hijau, dan sesungguhnya Allah Taala akan menjadikan kamu sebagai pemimpin padanya. Maka, Dia perhatikan bagaimana kamu perlakukan. Maka, waspadalah kamu terhadap dunia dan waspadalah kamu terhadap wanita. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Sabda Rasulullah SAW ‘manis dan hijau’ maksudnya dunia memadukan dua sifat yang disenangi oleh mata dan perasa, seperti buah-buahan. Dalam hadis ini terdapat peringatan daripada fitnah harta benda dan fitnah perempuan.

    Sumber/ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 350.

  • Kehidupan akhiratlah yang abadi

    Daripada Anas RA, bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Wahai Allah, tiadalah kehidupan (yang kekal) kecuali kehidupan akhirat. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

    HURAIAN

    Perkataan ini disabdakan oleh Nabi SAW ketika mengalami keadaan yang sangat berat tatkala baginda memandang kelelahan para sahabatnya di saat menggali parit. Baginda juga mengatakannya dalam keadaan paling bergembira tatkala baginda melihat ramai orang mukmin pada hari arafah; “Aku penuhi panggilan-Mu, sesungguhnya tidak ada kehidupan yang kekal melainkan kehidupan di akhirat”. Maksudnya, kehidupan abadi yang tiada kesedihan dan kepayahan.

    Sumber/ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 350.

  • Seksa di akhirat melupakan nikmat di dunia, nikmat di akhirat melupakan sengsara di dunia

    Daripada Anas RA, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Kelak akan didatangkan orang yang paling mendapatkan kenikmatan di dunia dan dia termasuk golongan ahli neraka pada hari kiamat, lalu dia diceburkan dalam neraka dengan sekali ceburan, kemudian dikatakan: “Wahai anak Adam! apakah kamu pernah melihat suatu kebaikan, sekalipun sedikit? Apakah ada suatu kenikmatan yang pernah menghampirimu sekalipun sedikit?”

    Dia berkata (menjawab): “Tidak, demi Allah wahai Rabb (Tuhan).”

    Dan, didatangkan pula orang yang paling menderita di dunia, dan dia termasuk penduduk syurga, lalu dia dimasukkan ke dalam syurga. Maka, dikatakan kepadanya: “Wahai anak Adam! Apakah kamu pernah melihat suatu kesengsaraan sekalipun sedikit? Apakah ada penderitaan yang pernah menghampirimu sekalipun sedikit?”

    Maka, dia menjawab: “Tidak, demi Allah, tidak pernah ada penderitaan pun yang menghampiri diriku dan tidak pernah saya melihat suatu kesengsaraan pun.” (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Seksaan di akhirat dapat melupakan kenikmatan dunia dan kenikmatan di akhirat dapat melupakan kesengsaraan di dunia.

    Boleh juga lihat ayat 112-114, surah al-Mukminun dan surah Fathir, ayat 34-35.

    Sumber/ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 351.

  • Dunia adalah penjara mukmin, syurga bagi orang kafir

    Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Dunia adalah penjara mukmin dan syurga orang kafir. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Erti hadis itu ialah dunia merupakan penjara bagi orang mukmin, jika dibandingkan dengan kenikmatan yang disiapkan untuknya di akhirat, dan merupakan syurga bagi orang kafir jika dibandingkan dengan seksaan yang disiapkan untuknya di akhirat.

    Orang mukmin dilarang daripada hal pemuas nafsu yang diharamkan, sedangkan orang kafir sibuk melakukannya.

    Nabi SAW pernah bersabda (mafhumnya): “Syurga dikelilingi dengan hal yang dibenci, sedangkan neraka dikelilingi hal yang disenangi.”

    Abu Sahl Ash-Sha’luki Al-Faqih, dia termasuk antara yang menjadi pemimpin agama sekaligus pemimpin dunia. Suatu ketika dia bersama rombongannya. Tiba-tiba ada seorang Yahudi muncul di hadapannya, dengan pakaian buruk.

    Lalu, orang Yahudi itu berkata: Bukankah kamu mengaku bahawa Nabi kamu pernah berkata: “Dunia merupakan penjara orang mukmin, dan syurga orang kafir.” Padahal aku ini orang kafir dan kamu melihat sendiri keadaanku seperti ini, sedangkan kamu orang mukmin, dan kamu juga dapat melihat keadaan kamu.

    Abu Sahl berkata: Jika kelak kamu mendapatkan seksa Allah, maka keadaan ini adalah syurgamu. Dan jika kelak aku mendapatkan kenikmatan dan reda Allah, maka keadaan ini merupakan penjara bagiku.

    Orang ramai kagum pemahamannya dan mampu menjawab dengan cepat.

    Sumber/ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 355.

  • Orang miskin ramai masuk syurga

    Daripada Usamah bin Zaid RA, daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Saya berdiri di pintu syurga, maka sebahagian besar orang yang memasukinya ialah orang-orang miskin, dan orang-orang yang mempunyai kekayaan semua ditahan dulu, selain penghuni-penghuni neraka telah diperintahkan dengan mereka ke neraka. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    HURAIAN

    “Al-Jadd” (perkataan dalam hadis itu) diterjemahkan sebagai bahagian harta dan kekayaan.

    Sumber/ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 364.

  • Perakuan Nabi ke atas Labid dan penegasan sesuatu selain Allah adalah batil

    Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Kalimah paling benar dikatakan padanya oleh seorang penyair ialah kalimah Labid. Ingatlah, segala sesuatu selain Allah adalah batil. (Muttafaq alaih – Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    HURAIAN

    Labid termasuk tokoh penyair (dari zaman) jahiliyah. Dia berasal dari daerah Hawazan. Dia datang kepada Rasulullah SAW, lalu dia masuk Islam dan bagus keislamannya. Dia termasuk orang yang panjang usia. Dia hidup lebih daripada 100 tahun. Dia adalah seorang yang mulia pada masa jahiliyah dan pada masa Islam. Dia tidak menyampaikan satu syair pun setelah dia masuk Islam. Dia mengatakan: Allah telah menggantikan syair kepadaku dengan Al-Quran kecuali satu bait ini:

    “Tidak ada sesuatu yang mencela seseorang yang mulia seperti dirinya sendiri

    Seseorang diperbaiki oleh temannya yang soleh.”

    Imam Syafi’i mengungkapkan syair:

    “Seandainya syair tidak menghinakan para ulama

    Pastilah hari ini aku lebih ahli syair daripada Labid.”

    Sumber/ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 364/365.

  • Contohi sikap zuhud Nabi SAW

    Daripada Anas RA, dia berkata: Nabi SAW tidak pernah makan di atas meja sehingga baginda wafat. Dan tidaklah makan roti yang dihaluskan sampai baginda wafat. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari. Ada juga dalam riwayat Ahmad)

    Dalam riwayat al-Bukhari yang lain disebutkan: Baginda tidak pernah melihat kambing yang dihilangkan bulu-bulunya, lalu dibakar dengan mata kepalanya sama sekali.

    HURAIAN

    “Khiwaan” (kha-wau-alif-nun) dalam hadis di atas diterjemahkan sebagai tempat untuk menaruh (meletak) makanan di atasnya sehingga orang yang makan tanpa menundukkan kepalanya. Tempat ini termasuk bidaah yang diperbolehkan. — Riyadus Solihin & Penjelasannya.

    “Khubz muraqqaq” (kha-ba-zai / mim-ra-qaf-qaf) diterjemah sebagai roti yang lebar dan halus. — Riyadus Solihin & Penjelasannya.

    “Samith” (sin-mim-ya-tho) diterjemahkan sebagai haiwan yang dihilangkan bulu-bulunya, lalu dibakar dengan kulitnya. — Riyadus Solihin & Penjelasannya.

    Sumber/ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 367/368.

    Daripada Sa’id al-Maqburi, daripada Abu Hurairah RA, bahawa dia pernah berjalan melalui suatu kaum yang di hadapan mereka ada seekor kambing sedang dipangggang. Maka, mereka mengajaknya, namun dia (Abu Hurairah) enggan untuk (turut) makan. Dan dia (Abu Hurairah) berkata: Rasulullah SAW keluar (meninggalkan) daripada dunia dan baginda tidak kenyang daripada roti gandum. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    HURAIAN

    “Masliyyah” (mim-sod-lam-ya-ta) dalam hadis itu diterjemahkan sebagai dipanggang. — Riyadus Solihin & Penjelasannya.

    Hadis ini menunjukkan antara perilaku orang mencintai seseorang adalah mengikuti jejak orang yang dicintainya dan meneladaninya.

    Sumber/ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 367.

    Daripada Aisyah (Radiallahu Anha), dia berkata: Tidaklah kenyang keluarga Muhammad SAW daripada roti gandum dua hari berturut-turut, sampai baginda wafat. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

    HURAIAN

    Hadis ini menggambarkan berpalingnya Nabi SAW daripada dunia dan bersikap zuhud terhadap dunia.

    Di dalamnya mengandungi anjuran kepada umat baginda agar bersikap zuhud terhadap dunia dan berpaling daripada apa yang melebihi daripada keperluannya terhadap dunia.

    Sumber/ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 366.

  • Rasulullah tidur dalam keadaan lapar

    Daripada Ibnu Abbas RA, dia berkata: Rasulullah (SAW) biasa tidur selama beberapa malam secara berturutan dalam keadaan lapar. Keluarga baginda tidak memiliki makan malam. Roti yang sering dimakan adalah roti gandum. (Diriwayatkan at-Tirmidzi, dan dia berkata hadis hasan sahih)

    HURAIAN

    Hadis ini antara lain menunjukkan kesabaran baginda SAW menahan lapar dan keutamaan isteri baginda yang turut bersabar bersama baginda dalam keadaan seperti itu.

    Sumber/ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 379.

  • Anjuran agar sederhana dalam pemakanan

    Daripada Abu Karimah Miqdam bin Ma’dikarib (RA) berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tidaklah anak Adam mengisi bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi manusia beberapa suapan yang menegakkan tulang punggungnya. Jika tidak dapat, maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumnya, dan sepertiga untuk nafasnya. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, dan dia berkata hadis hasan – ada juga dalam riwayat Ahmad, dan Ibnu Majah)

    HURAIAN

    “Ukulaat” (hamzah – kaf – lam alif – ta) diberikan maksud beberapa suapan – Riyadus Solihin & Penjelasannya.

    Konon kisra bertanya kepada seorang tabib (doktor): Apa itu penyakit yang tidak ada ubatnya? Lalu dijawab: Memasukkan makanan atas makanan. Kisra bertanya lagi penyelesaiannya, kemudian dijawab: Sederhana dalam segala hal. Jika dia makan melebihi kadarnya, maka dia telah menghimpit rohnya.

    Sumber/ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 379/380.

  • Rumah di syurga bagi sesiapa membersihkan masjid

    Daripada Abu Said al-Khudri, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa mengeluarkan kotoran dari dalam masjid, maka Allah akan membuatkan baginya rumah di syurga.

    Sumber/ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 130.