hadis

  • Allah reda kepada sesiapa memuji-Nya apabila makan, minum

    Daripada Anas RA berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya Allah pasti meredai seorang hamba yang makan makanan, maka dia memuji-Nya atas makanan itu ataupun dia minum minuman, maka dia memuji-Nya atas minuman itu. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Hadis ini menerangkan kemurahan yang lebih daripada Allah yang memberikan kurniaan kepada hamba-Nya dengan rezeki dan memberikan reda-Nya.

    Sumber/ruj: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 331.

  • Allah menerima taubat siang dan malam

    Daripada Abu Musa RA meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya Allah Taala membentangkan tangan-Nya (rahmat-Nya) pada waktu malam supaya orang yang melakukan keburukan di siang hari dapat bertaubat, serta membentangkan tangan-Nya (rahmat-Nya) di siang hari, supaya orang yang melakukan keburukan pada malam dapat bertaubat. Hal ini berlaku terus sampai terbit matahari dari arah barat. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Dalam hadis ini mengandungi pesanan bahawa Allah menerima taubat hamba-Nya pada malam dan siang selagi matahari belum terbit dari arah barat.

    Sumber/ruj: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 331.

  • Nasihat agar berbaik sangka dengan Allah

    Daripada Jabir bin Abdillah RA bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda tiga hari sebelum wafatnya (mafhumnya): Janganlah seseorang daripada kamu mati melainkan dia berbaik sangka dengan Allah (Azza wa Jalla). (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Hadis ini mengandungi anjuran untuk berbaik sangka kepada Allah serta memberi peringatan daripada berputus asa di akhir hayat. Firman-Nya yang diberikan maksud: “Dan janganlah kamu mati, melainkan dalam keadaan muslim.” (Surah Ali-Imran, ayat 102)

    Sumber/ruj: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 337.

  • Empat perkara akan ditanya kepada manusia

    Daripada Abi Barzah Nadhlah bin Ubaid al-Aslami RA berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tidak akan berhenti kedua-dua kaki seorang hamba sehingga dia ditanya, mengenai umurnya pada apa dia habiskan, mengenai ilmunya pada apa dia kerjakan, mengenai hartanya dari mana dia dapat dan pada apa dia belanjakan serta mengenai tubuhnya pada apa dia gunakan. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia berkata hadis [status] hasan sahih)

    Sumber/ruj: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 310.

    HURAIAN

    Hadis ini menekankan dan mengingatkan mengenai empat perkara:

    1. Umur — pada apa dia habiskan.
    2. Ilmu — pada apa dia gunakan.
    3. Harta — dari mana dia dapat, dan ke mana dia belanjakan.
    4. Tubuh badan — pada apa dia gunakannya.
  • Ucapan ketika risau, cemas

    Daripada Abu Said al-Khudri RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Bagaimana saya dapat bersenang-senang, sedangkan malaikat peniup sangkakala sudah meletakkan hujung sangkakala pada mulutnya, sambil menunggu diizinkan bila dia diperintah untuk meniupkannya.

    Berita ini dirasakan amat berat oleh para sahabat Rasulullah SAW, lalu baginda bersabda kepada mereka: Ucapkanlah “hasbunallahu wa ni’mal wakil” (cukuplah Allah [menjadi penolong] bagi kami dan Dia sebaik-baik pelindung). (Hadis diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia berkata hadis hasan)

    Sumber/ruj: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 311/312.

  • Tahukah anda, langit bersuara?

    Daripada Abu Dzar RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya saya melihat apa yang kamu tidak lihat, dan saya mendengar apa yang kamu tidak dengar. Langit bersuara dan memang patut ia bersuara. Tiada tempat yang luang selebar empat jari di langit, melainkan ada malaikat yang meletakkan dahinya, lalu bersujud kepada Allah Taala. Demi Allah, jika kamu mengetahui apa yang saya tahu, pasti kamu sedikit tertawa dan banyak menangis, dan tidak bersenang-senang dengan perempuan di atas tempat tidur dan pasti kamu keluar ke jalan-jalan untuk memohon perlindungan kepada Allah Taala. (Hadis diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia berkata hadis [status] hasan)

    PENJELASAN

    Perkataan “al-Athith” ( الأَطِيط ) ialah suara sekedup atau tempat duduk di atas unta ataupun lain-lainnya. Maka, أَطَّتِ السَّمَاءُ (dalam teks hadis itu) diterjemahkan sebagai “langit bersuara” — maksudnya ialah kerana ramai malaikat di langit yang beribadat itu telah menyebabkan langit berasa berat sehingga bersuara.

    Perkataan “assu’udaat” ( الصُّعُدَات ) (dalam hadis itu) diterjemahkan sebagai “jalan-jalan”.

    Perkataan “taj_arun” ( تَجأَرُون ) (dalam teks hadis itu) ertinya “memohon pertolongan”.

    Sumber/rujukan: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 309 & 310.

  • Bernazar untuk melakukan haji dengan jalan kaki

    Daripada Abu Said ar-Ru’ani bahawa Abdullah bin Malik mengkhabarkan kepadanya, Uqbah bin Amir mengkhabarkan kepadanya, bahawa saudara perempuannya pernah bernazar untuk berjalan kaki, dan tidak mengenakan tudung, lalu dia ceritakan hal itu kepada Rasulullah (SAW), sehingga baginda bersabda (mafhumnya): Perintahkan dia untuk berkenderaan, bertudung dan berpuasa selama tiga hari.

    Sumber/ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 433.

  • Sesiapa mati dengan membawa tanggungan nazar

    Daripada Ibnu Abbas berkata: Saad bin Ubadah meminta fatwa Rasulullah SAW mengenai nazar ibunya yang telah meninggal dunia, dan belum menunaikannya. Maka, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tunaikannya (nazar itu) untuknya (untuk ibunya).

    Sumber/ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 433.

  • Perintah menunaikan nazar

    Daripada Umar bin al-Khattab berkata: Aku pernah bernazar suatu nazar sewaktu jahiliah, maka aku bertanya kepada Nabi SAW selepas aku memeluk Islam. Maka, baginda memerintahkan aku supaya menunaikan nazarku.

    Sumber/ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 432.

  • Tiada nazar pada perkara maksiat

    Daripada Imran bin al-Husoin berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tiada nazar pada (perkara) maksiat, dan tiada nazar pada perkara anak Adam tidak memiliki.

    Sumber/ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 431/432.

    HURAIAN

    Hadis itu menjelaskan, tidak ada nazar pada perkara yang berdosa, dan begitu juga pada perkara yang manusia tidak miliki atau tiada upaya (di luar keupayaan manusia).