hadis

  • Setiap persendian ada sedekah

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 129 & 130:

    Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Setiap persendian manusia ada (hak untuk dikeluarkan) sedekah ke atasnya, setiap hari terbit matahari padanya. Kamu mengadili antara dua orang adalah sedekah, kamu membantu seseorang pada kenderaannya, maka kamu menanggungnya ke atasnya (kenderaan) atau mengangkatkan barangnya ke atasnya (kenderaan) adalah sedekah, perkataan yang baik adalah sedekah, pada tiap-tiap langkah yang kamu tempuhi menuju solat adalah sedekah dan kamu membuang gangguan dari jalan adalah sedekah. (Hadis muttafaq alaih — diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Imam Muslim juga meriwayatkan: Daripada Aisyah (Radhiallahu Anha). Dia berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya setiap manusia daripada Bani Adam diciptakan atas 360 persendian. Maka, sesiapa bertakbir kepada Allah, bertahmid kepada Allah, bertahlil kepada Allah, bertasbih kepada Allah, mohon pengampunan (istighfar) kepada Allah, menyingkirkan batu dari jalan orang ramai, atau menyingkirkan duri atau tulang dari jalan orang ramai, atau memerintahkan kebaikan atau melarang kemungkaran, sebanyak 360 kali, maka sesungguhnya orang itu memasuki waktu petang pada hari itu dalam keadaan dia telah menjauhkan dirinya dari neraka.

    PENJELASAN

    Setiap hari anak Adam melakukan sedekah sebanyak 360 sesuai jumlah persendiannya. Sesiapa melakukan ketaatan berupa perbuatan atau ucapan sejumlah persendiannya, maka sungguh dia telah bersyukur kepada Allah.

  • Jangan meremehkan jiran

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 130:

    Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Wahai wanita muslimah! Jangan seorang antara kamu meremehkan jirannya meskipun (pemberiannya) berupa kaki kambing (kibas). (Hadis muttafaq alaih — diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Imam al-Jauhari berkata: Kaki kambing kibas seperti halnya kaki ternak yang lain juga. Tetapi seringkali “al-firsin” (perkataan dalam hadis itu) digunakan untuk kambing.

    Hadis ini mengandungi motivasi untuk berhubungan baik dengan jiran meskipun dengan pemberian kaki kambing. Ada hadis lain yang satu maksud dengan hadis ini: “Apabila kamu memasak kuah, maka perbanyakkanlah kuahnya dan berikanlah para jiranmu”.

  • Cabang iman paling utama, paling rendah

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 130:

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Iman mempunyai 70 lebih atau 60 lebih cabang. Cabang paling utama ialah ucapan “La ilaha illallah” (tiada tuhan melainkan Allah), dan yang paling rendah ialah menyingkirkan hal-hal yang mengganggu di jalan. Dan malu adalah satu cabang daripada iman. (Hadis muttafaq alaih — diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

  • Akhlak baik bawa kebaikan dunia akhirat

    Menurut Huru-hara Hari Kiamat, oleh Ibn Katsir, halaman 572-573:

    Menurut riwayat Abu Bakar an-Najjad daripada Hamid bin Anas RA: Bahawa Ummu Habibah pernah bertanya: “Wahai Rasulullah, ada wanita yang semasa di dunia ini pernah bersuamikan dua orang lelaki. Dengan suami yang manakah dia akan dijodohkan?”

    Baginda menjawab (mafhumnya): “(Dia dijodohkan) dengan salah seorang daripada kedua-duanya yang akhlaknya paling baik terhadapnya semasa di dunia.”

    Baginda bersabda (mafhumnya): Wahai Ummu Habibah, akhlak yang luhur (baik) itu membawa kebaikan di dunia dan akhirat. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim dan al-Bukhari)

  • Segera melakukan amalan kebaikan sebelum tiba tujuh perkara

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 109:

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Bersegeralah kamu sekalian melakukan amalan kebaikan sebelum datang tujuh macam perkara. Apakah kamu masih saja menunggu-nunggu sehingga kamu mengalami kefakiran yang melalaikan, atau kekayaan yang menyebabkan kecurangan, atau terkena penyakit yang merosakkan, atau tibanya usia tua yang menyebabkan ucapan-ucapan tidak karuan lagi, atau datangnya kematian yang mempercepatkan, atau datang dajjal maka ia adalah seburuk-buruk makhluk ghaib yang ditunggu, atau tiba hari kiamat maka hari kiamat itu adalah lebih besar bencananya serta lebih pahit. (Hadis diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, dia berkata hadis ini adalah hadis [status] hasan)

  • Rasulullah serah bendera kepada Ali

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 110:

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada hari perang Khaibar (mafhumnya): “Sungguh bendera ini akan aku berikan kepada seorang lelaki yang mencintai Allah dan Rasul-Nya. Allah akan membebaskan melalui dua tangannya.”

    Umar RA berkata: Saya tidak menginginkan kepemimpinan melainkan pada hari itu, kemudian saya bersikap untuk menonjolkan diri pada Nabi SAW dengan harapan agar saya dipanggil untuk memegang bendera itu.

    Tiba-tiba Rasulullah SAW memanggil Ali bin Abu Talib, lalu baginda memberikan bendera itu padanya dan baginda bersabda: Berjalanlah dan jangan menoleh-noleh lagi sehingga Allah memberi kemenangan melalui dirimu.

    Ali berjalan beberapa langkah kemudian berhenti tanpa menoleh, kemudian dia berteriak (bersuara): Wahai Rasulullah, sampai batas apa saya akan memerangi para manusia?

    Rasulullah SAW menjawab: Perangilah mereka sehingga mereka bersaksi bahawa tiada sembahan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah utusan Allah. Apabila mereka telah melakukan hal itu, maka bererti mereka telah menjaga darah mereka daripadamu dan harta mereka, melainkan dengan haknya, sedang hisab (hitungan) mereka itu atas Allah (bergantung pada Allah). (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

  • Sihat dan waktu lapang dua nikmat selalu dilalaikan oleh manusia

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 112:

    Daripada Ibnu Abbas RA berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Dua nikmat yang sering dilalaikan pada kedua-duanya oleh ramai daripada manusia; (iaitu) kesihatan dan kelapangan (waktu). (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari)

  • Rasulullah melakukan qiyamullail sampai telapak kaki pecah-pecah

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 113:

    Daripada Aisyah (Radhiallahu Anha) meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW melakukan qiyamullail di sebahagian waktu malam sampai kedua-dua telapak kakinya pecah-pecah.

    Lantas saya bertanya kepadanya: Mengapa anda berbuat demikian, wahai Rasulullah, padahal Allah telah mengampunkan dosa-dosa anda yang telah lalu dan yang kemudian?

    Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Apakah saya tidak suka jika saya menjadi seorang hamba yang banyak bersyukur? (Muttafaq alaih — diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

  • Orang mukmin kuat lebih baik berbanding yang lemah, namun kedua-duanya ada sisi kebaikan – jangan berasa lemah

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 114:

    Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah.

    Tetapi masing-masing daripada kedua-duanya mempunyai sisi kebaikan.

    Berlumbalah untuk meraih apa saja yang dapat memberikan manfaat padamu dan mohonlah pertolongan kepada Allah dan janganlah berasa lemah.

    Apabila sesuatu menimpamu, maka janganlah kamu berkata “kalau saya melakukan begini, tentu akan menjadi begini dan begini”. Tetapi katakanlah takdir Allah. Dan Dia melakukan apa saja yang Dia kehendaki, kerana sesungguhnya ucapan “kalau” membuka jalan amalan syaitan. (Hadis diriwayatkan Muslim)

  • Neraka diliputi dengan pelbagai syahwat, syurga dengan hal tidak disenangi

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 114:

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Neraka dilitupi (diliputi, dikelilingi) dengan pelbagai syahwat, sedangkan syurga dilitupi dengan pelbagai hal tidak disenangi. (Muttafaq alaih — diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)