hadis

  • Kelebihan berbuka puasa dengan kurma dan air, keutamaan bersedekah kepada orang yang ada hubungan kekeluargaan

    Daripada Salman bin Amir RA meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Jika seseorang daripada kamu berbuka (puasa), maka hendaklah dia berbuka dengan kurma, kerana sesungguhnya ia ada berkat. Sekiranya dia tidak mendapati kurma, maka (berbuka dengan) air, kerana sesungguhnya ia suci.

    Dan baginda bersabda (mafhumnya): Sedekah ke atas orang miskin adalah suatu sedekah. Dan (bersedekah) ke atas orang mempunyai rahim (hubungan kekeluargaan) ada dua hal, (iaitu) sedekah dan hubungan (kekeluargaan). (Hadis diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia berkata hadis ini hasan; ada dalam Sahih Abu Dawud, Tirmidzi, Nasai, Ibn Majah)

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 262.

  • Ancaman berat terhadap orang ganggu jiran

    Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Demi Allah, tidak beriman! Demi Allah, tidak beriman! Demi Allah, tidak beriman!

    Dikatakan (ditanya): Siapa, wahai Rasulullah?

    Baginda bersabda (mafhumnya): (Orang) yang jiran tetangganya tidak berasa aman daripada kejahatannya. (Muttafaq alaih – Diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

    Dalam riwayat Muslim disebutkan: Tidak akan masuk syurga orang yang jiran tetangganya tidak berasa aman daripada kejahatannya.

    PENJELASAN

    Perkataan “bawaa’iq” ( بوائق ) dalam teks hadis di atas diterjemahkan sebagai bermacam-macam tipu daya dan kejahatan.

    Hadis ini menunjukkan ancaman berat terhadap orang yang menakut-nakutkan (mengganggu, mengancam) jiran tetangga, menipu keluarganya atau harta-bendanya.

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 248.

  • Jangan menyakiti jiran, muliakan tamu, berkata baik

    Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka jangan menyakiti jiran tetangganya. Dan sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka muliakanlah tamunya. Dan sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka berkatalah yang baik atau diam saja. (Muttafaq alaih – Sahih al-Bukhari dan Muslim)

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 249.

  • 3 sikap mulia orang beriman, apakah itu?

    Daripada Abu Syuraih al-Khuza’i RA bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya. Dan sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya. Dan sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah berkata yang baik atau diam saja. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim dengan lafaz ini dan diriwayatkan oleh al-Bukhari sebahagiannya).

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 249.

  • Anjuran buat baik sesama jiran tetangga

    Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Wahai wanita-wanita muslimat, janganlah seorang jiran tetangga menghina jiran tetangganya yang lain, sekalipun yang dihadiahkan berupa kaki kambing. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi anjuran agar melakukan perbuatan baik antara jiran tetangga walaupun sedikit.

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 248.

  • Mendahului jiran tetangga yang dekat

    Daripada Aisyah (RAnha) berkata: Saya berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya mempunyai dua jiran tetangga, maka kepada yang manakah antara kedua-duanya yang saya beri hadiah? Rasulullah berkata: Kepada yang terdekat pintu antara kedua-duanya dari kamu. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    PENJELASAN

    Hadis ini menunjukkan cara/kaedah mendahului jiran tetangga yang lebih dekat, berbanding yang jauh.

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 249.

  • Sebaik-baik sahabat dan jiran tetangga

    Daripada Abdullah bin Amru RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sebaik-baik sahabat di sisi Allah Taala ialah yang terbaik antara mereka kepada sahabatnya, dan sebaik-baik jiran tetangga di sisi Allah Taala ialah yang terbaik antara mereka terhadap jiran tetangganya. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia berkata hadis [status] hasan)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi anjuran berbuat baik sesama sahabat dan jiran tetangga.

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 250.

  • 3 amalan lebih disukai Allah, apakah itu?

    Daripada Abu Abdur Rahman Abdullah bin Mas’ud RA berkata: Saya pernah bertanya kepada Nabi SAW: Yang manakah amalan yang lebih disukai (atau lebih dicintai) di sisi Allah Taala?

    Baginda bersabda (mafhumnya): Solat pada waktunya.

    Saya berkata (bertanya): Kemudian, yang mana lagi?

    Baginda bersabda (mafhumnya): Berbuat baik terhadap ibu bapa.

    Saya berkata (bertanya): Kemudian, yang mana lagi?

    Baginda bersabda (mafhumnya): Jihad pada jalan Allah. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini menjadi bukti bahawa solat pada waktunya adalah suatu keutamaan dan berbakti kepada orang tua (ibu bapa) lebih utama daripada jihad.

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 252.

  • Anak tidak dapat balas jasa ibu bapa

    Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Seorang anak tidak akan dapat membalas (jasa, kebaikan) ibu bapanya, kecuali apabila dia (anak itu) mendapatinya (ibu bapanya) sebagai hamba, maka dia (anak itu) membelinya (ibu bapanya) lantas memerdekakannya. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini menunjukkan betapa agungnya hak orang tua (ibu bapa) dan seorang anak meskipun berbakti dengan apa-apa pun, tidak akan dapat menandingi jasa orang tuanya, kecuali dengan memerdekakan orang tuanya.

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 252.

  • 3 sikap orang beriman, apakah itu?

    Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tamunya. Dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia menyambung rahimnya (hubungan kekeluargaan, persaudaraan). Dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam saja. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini menjelaskan keutamaan tiga perkara; memuliakan tetamu, menjaga hubungan kekeluargaan / persaudaraan dan berkata dengan suatu yang baik.

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 252