hadis

  • Seburuk-buruk makanan ialah jamuan walimah tidak diundang orang miskin

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Seburuk-buruk makanan ialah makanan walimah tidak diundang orang yang ingin menghadirinya (orang miskin), tetapi diundang orang yang enggan menghadirinya (orang kaya). Namun sesiapa tidak menghadiri undangan walimah, maka dia bermaksiat (berdosa) kepada Allah dan Rasul-Nya. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Walimah (lazimnya) adalah majlis jamuan untuk acara perkahwinan dan digunakan juga untuk semua undangan dibuat untuk momen kebahagiaan.

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 228.

  • Orang berusaha jaga kepentingan janda, orang miskin umpama orang berjihad di jalan Allah

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): “Orang-orang yang berusaha untuk kepentingan janda dan orang miskin bagaikan orang yang berjihad di jalan Allah.” Dan saya (perawi hadis) mengira bahawa baginda juga bersabda: Dan bagaikan seorang melakukan qiyamullail yang tidak pernah letih dan bagaikan orang berpuasa yang tidak pernah berbuka. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    “Al-armalatu” (atau ringkasnya disebut armalah) dalam hadis itu diterjemahkan sebagai perempuan tidak mempunyai suami atau janda.

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 228.

  • Keutamaan memelihara anak yatim

    Daripada Sahl bin Saad RA berkata Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Saya dan orang yang memelihara anak yatim di dalam syurga seperti ini. Baginda mengisyaratkan dengan jari telunjuk dan jari tengahnya dan merenggangkan antara kedua-duanya. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    PENJELASAN

    Ibnu Bathal berkata: Merupakan hak atas semua orang yang mendengar hadis ini untuk mengamalkannya, sehingga dia menjadi teman Nabi di syurga.

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 226.

  • Keutamaan orang memelihara anak yatim

    Daripada Abu Hurairah RA berkata Rasulullah SAW bersabda: “Pemelihara anak yatim, baik miliknya sendiri atau milik orang lain, saya dan dia seperti dua jari ini di dalam syurga.” Perawi hadis ini Malik bin Anas mengisyaratkan dengan menggunakan jari telunjuk serta jari tengahnya. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Sabda Nabi SAW: “Pemelihara anak yatim, baik miliknya atau milik orang lain” – maksudnya keluarganya sendiri atau orang lain. Yang masih keluarganya seperti anak yatim yang dipelihara oleh ibunya, neneknya, saudaranya atau kerabatnya yang lain.

    An-Nawawi berkata: Keutamaan ini diperoleh orang yang memelihara anak yatim dengan hartanya sendiri atau harta anak yatim dengan status kewalian menurut syariat.

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 227.

  • Syurga dan neraka berbantah, dan penghuni di dalamnya

    Daripada Abu Said al-Khudri meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Syurga dan neraka saling berbantah. Neraka berkata: Di dalamku ada orang-orang yang memaksa kehendaknya serta orang-orang sombong. Syurga berkata: Di dalamku ada orang-orang yang lemah serta fakir miskin. Maka, Allah memutuskan antara kedua-duanya dengan firman-Nya: Engkau adalah syurga, tempat kerahmatan-Ku. Aku merahmati orang yang Aku kehendaki denganmu, sedangkan engkau neraka tempat azab-Ku. Aku menyeksa sesiapa saja yang Aku kehendaki denganmu. Atas kehendak-Ku pula kamu berdua dipenuhi. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi keutamaan orang-orang lemah dan miskin melakukan ketaatan kepada Allah serta meninggalkan maksiat.

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 219.

  • Kepentingan hak jiran tetangga

    Daripada Ibnu Umar dan Aisyah (Radhiallahu Anhuma) berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Jibril sentiasa memberikan wasiat kepadaku mengenai jiran tetangga, sehingga saya menyangka dia akan memasukkannya sebagai ahli waris. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 247.

    HURAIAN

    Hadis ini menunjukkan betapa besarnya hak jiran tetangga untuk sama-sama dipelihara, mengambil peduli dan memberi perhatian keadaannya.

  • Keutamaan mencukupkan nafkah anak perempuan

    Daripada Anas RA meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa mencukupkan nafkah dua anak perempuan sampai kedua-duanya menginjak usia baligh, maka kelak dia datang pada hari kiamat, saya dan dia seperti kedua-dua jari ini. Dan baginda mengumpulkan jari-jarinya. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 228.

  • Anak perempuan tabir daripada seksaan api neraka

    Daripada Aisyah RAnha berkata: Seorang perempuan datang ke tempat saya dan bersamanya dua anak perempuannya.

    Dia (perempuan itu) bertanya (meminta) tetapi tiada suatu apa pun pada saya melainkan sebiji kurma saja. Maka, saya memberikannya (sebiji kurma itu) kepadanya. Maka, dia membahagikannya (sebiji kurma itu) kepada kedua-dua anaknya itu, dan dia sendiri tidak makan daripadanya (kurma itu). Kemudian, dia berdiri, lalu keluar.

    Maka, Nabi SAW datang ke tempat kami. Maka, saya beritahu kepadanya (mengenai kejadian itu).

    Maka, baginda bersabda (mafhumnya): Sesiapa yang diberikan suatu cubaan daripada anak-anak perempuan seperti ini, maka dia berbuat baik kepada mereka, anak-anak perempuan itu akan menjadi tabir untuknya daripada seksaan neraka. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 229.

  • Sikap mulia bawa ke syurga

    Daripada Aisyah RAnha (Radhiallahu Anha) berkata: Saya didatangi seorang perempuan miskin yang membawa dua anak perempuannya.

    Maka, saya memberikannya tiga biji kurma. Perempuan itu memberikan setiap seorang daripada kedua-duanya (anak-anaknya) masing-masing sebiji kurma dan sebiji lagi diangkat ke mulutnya untuk dimakan.

    Namun dua anaknya itu meminta agar yang sebiji kurma itu dimakan juga oleh mereka.

    Maka, perempuan itu membelah dua kurma yang hendak dimakan dan diberikan kepada dua anaknya.

    Keadaan perempuan itu membuatkan saya hairan. Maka, saya memberitahukan apa yang telah dilakukan oleh perempuan itu kepada Rasulullah SAW.

    Kemudian baginda bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya, Allah telah menetapkan bagi perempuan itu akan masuk syurga kerana perbuatannya atau Allah akan memerdekakannya dari neraka. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi keutamaan mementingkan orang lain berbanding diri sendiri, menyayangi anak-anak kecil, berbuat kebaikan dan bersikap lemah-lembut yang lebih kepada anak perempuan. Semua itu menjadi penyebab masuk syurga dan bebas dari neraka.

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 229 & 230.

  • Dosa mensia-siakan anak yatim, perempuan

    Daripada Abu Syuraih Khuwailid bin Amru al-Khuza’ie berkata: Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Allaahumma (Wahai Allah), sesungguhnya saya memandang berat dosa mensia-siakan hak dua golongan lemah, (iaitu) anak yatim dan perempuan. (Hadis status hasan diriwayatkan oleh an-Nasai, dengan sanad yang baik)

    PENJELASAN

    Sesungguhnya Nabi SAW menganggap berat hak anak yatim dan perempuan, kerana kedua-duanya tidak mempunyai kekuatan dan tidak ada tempat berlindung melainkan Allah.

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 230.