hadis

  • Berpegang teguh pada Kitabullah dan muliakan ahli bait Rasulullah

    Daripada Yazid bin Hayyan berkata, saya berangkat bersama Husain bin Sabrah dan Amru bin Muslim ke (tempat) Zaid bin Arqam. Maka, ketika kami duduk-duduk dekatnya, berkatalah Husain kepadanya: Wahai Zaid, kamu telah mendapat kebaikan yang banyak sekali. Kamu telah melihat Rasulullah SAW, kamu mendengar hadisnya, kamu berperang bersamanya dan kamu bersolat di belakangnya. Sesungguhnya kamu wahai Zaid mendapat kebaikan yang banyak sekali. Ceritakanlah kepada kami wahai Zaid apa yang telah kamu dengar daripada Rasulullah SAW.

    Dia (Zaid) berkata: Wahai anak saudaraku, demi Allah sesungguhnya usiaku telah tua dan masa kematianku hampir tiba, dan saya telah lupa sebahagian daripada apa yang saya telah ingat daripada Rasulullah SAW. Oleh kerana itu, apa yang saya sampaikan kepada kamu, maka terimalah itu dan apa yang tidak saya sampaikan, hendaklah kamu jangan memaksaku untuk menerangkannya.

    Kemudian dia berkata: Rasulullah pernah berdiri berkhutbah di suatu tempat berair yang disebut Khumm, terletak antara Makkah dan Madinah, maka baginda memuji Allah dan menyanjungi-Nya, dan menasihati dan memberi peringatan, kemudian baginda bersabda (mafhumnya):

    Amma ba’du, ingatlah wahai sekalian manusia, hampir saja saya didatangi oleh utusan Rabbku (malaikat maut), maka saya harus mengabulkannya. Saya meninggalkan untuk kamu dua perkara berat; pertamanya Kitabullah yang padanya terdapat al-huda (petunjuk) dan an-nur (cahaya). Maka, ambillah Kitabullah itu, dan berpegang teguh dengannya.

    Maka, Rasulullah SAW memotivasi (untuk berpegang teguh) ke atas Kitabullah dan mencintainya.

    Kemudian, baginda bersabda (mafhumnya): Dan ahli baitku. Saya memperingatkan kamu semua (untuk bertakwa) kepada Allah dalam memuliakan ahli baitku. Saya memperingatkan kamu semua (untuk bertakwa) kepada Allah dalam memuliakan ahli baitku.

    Maka, Husain berkata kepada Zaid: Dan siapakah ahli bait baginda itu, wahai Zaid? Bukankah isteri-isteri baginda termasuk ahli baitnya?

    Zaid menjawab: Isteri-isteri baginda termasuk ahli bait baginda. Akan tetapi ahli bait baginda ialah orang yang diharamkan menerima sedekah setelah baginda.

    Husain berkata lagi: Dan siapakah mereka?

    Zaid menjawab: Mereka adalah keluarga Ali, keluarga Aqil, keluarga Ja’far dan keluarga Abbas.

    Husain berkata lagi: Semua orang dari golongan mereka ini diharamkan menerima sedekah?

    Zaid berkata: Ya, benar. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    Dalam satu riwayat, disebut: Ingatlah dan sesungguhnya saya meninggalkan kepada kamu semua dua perkara berat; pertamanya ialah Kitabullah, dan ia adalah hablullah (tali, penghubung dengan Allah). Sesiapa mengikutinya, dia memperoleh petunjuk, manakala sesiapa meninggalkannya, dia berada dalam kesesatan.

    HURAIAN

    Hadis ini mengandungi peringatan agar berpegang kepada Al-Quran dan memuliakan ahli bait Rasulullah SAW.

    Sumber/rujukan: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 271/272.

  • Berkat sambung hubungan kekeluargaan, panjang umur dan luas rezeki

    Daripada Anas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa ingin diluaskan rezekinya dan diakhirkan ajalnya, maka hendaklah dia menyambung ikatan kekeluargaannya. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan Abu Dawud)

    HURAIAN

    Kata-kata “yunsa a lahu fi atsarihi” ( ينسأله في أثره ) dalam teks hadis ini maksudnya ialah diakhirkan ajalnya dan dipanjang usianya.

    Hadis ini menerangkan bahawa menyambung ikatan kekeluargaan dapat menambah rezeki dan umur dengan mendapat pertolongan dan keberkatan.

    Sumber/rujukan: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya.

  • Infak harta dicintai kerana Allah, utamakan kerabat

    Daripada Anas RA berkata: “Abu Thalhah adalah seorang (daripada kalangan sahabat) Ansar di Madinah yang banyak hartanya, berupa kebun kurma. Antara hartanya yang paling dicintainya ialah kebun kurma Bairuha’. Kebun ini (letaknya) menghadap masjid. Rasulullah SAW memasuki kebun itu dan meminum daripada airnya yang segar.”

    Anas berkata: Maka, apabila turun ayat ini: لن تنالوا البر حتى تنفقوا مما تحبون (maksudnya) “Kamu tidak sekali-kali memperoleh kebajikan, sehingga kamu menginfakkan daripada apa yang kamu cintai”, Abu Thalhah pergi ke tempat Rasulullah SAW, lalu dia berkata: Wahai Rasulullah sesungguhnya Allah Tabaaraka wa Taala telah berfirman (maksudnya): “Kamu tidak sekali-kali memperoleh kebajikan, sehingga kamu menginfakkan daripada apa yang kamu cintai.” Padahal harta saya yang paling saya cintai ialah kebun kurma Bairuha’. Maka, sesungguhnya ia sedekah kerana Allah Taala. Saya mengharapkan kebajikannya serta sebagai simpanan di sisi Allah Taala. Oleh kerana itu, gunakanlah kebun itu, wahai Rasulullah sebagaimana yang Allah beritahukan kepada anda.

    Kemudian Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Aduhai, itu adalah harta yang menguntungkan, itu harta yang menguntungkan. Saya telah mendengar apa yang kamu katakan dan sesungguhnya saya berpendapat agar kebun itu kamu berikan kepada kerabat kamu.

    Abu Thalhah berkata: Saya akan melaksanakan itu wahai Rasulullah.

    Selanjutnya Abu Thalhah membahagi-bahagikan kebun Bairuha’ itu kepada kerabatnya serta bani bapa saudaranya.

    HURAIAN

    Hadis ini menerangkan keutamaan menginfakkan harta disayangi kerana Allah. Ia juga menerangkan keutamaan menginfakkan kepada kaum kerabat kerana hal itu sekali gus menguatkan hubungan kekeluargaan.

    Sumber/rujukan: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 255/256.

  • Keutamaan berbuat baik kepada ibu bapa

    Daripada Abdullah bin Amru bin Al-As RA berkata: Seorang lelaki menghadap Rasulullah SAW, lalu dia berkata: Saya berbaiah kepada anda untuk ikut berhijrah serta berjihad yang saya niatkan untuk mencari pahala daripada Allah Taala.

    Baginda berkata (mafhumnya): Apakah salah seorang daripada kedua-dua orang tuamu masih ada yang hidup?

    Dia menjawab: Ya, bahkan kedua-duanya masih hidup.

    Baginda bersabda (mafhumnya): Apakah maksudmu hendak mencari pahala daripada Allah Taala?

    Dia menjawab: Ya.

    Baginda bersabda (mafhumnya): Maka, kembalilah ke tempat kedua-dua orang tuamu, lalu berbuat baiklah dalam mendampingi kedua-duanya. (Muttafaq alaih, diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim – redaksi hadis milik Imam Muslim)

    Dalam riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim lainnya disebutkan: Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW, lalu dia meminta izin kepada baginda untuk ikut berjihad, lantas Nabi SAW bertanya: Apakah kedua-dua orang tuamu masih hidup? Dia menjawab: Ya. Nabi SAW bersabda: Maka, berjihadlah pada kedua-duanya.

    Sumber/rujukan: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 256.

    HURAIAN

    Hadis ini menggambarkan keutamaan orang tua dan berbuat baik kepada mereka. Orang tua ertinya ibu bapa iaitu mereka yang membesarkan kita, menjaga kita dan mendidik kita, maka selayaknya mereka dilayani dengan sebaik-baiknya.

  • Siapakah orang yang menyambung hubungan keluarga?

    Daripada Abdullah bin Amru bin al-As RA, meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Orang yang menyambung hubungan kekeluargaan bukanlah orang yang bersikap mengimbangi, tetapi orang yang menyambung hubungan kekeluargaan ialah orang yang apabila keluarganya memutuskan hubungan kekeluargaan dengannya, lalu dia menyambungnya kembali. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari – ada dalam Sahih al-Bukhari & Abu Dawud)

    HURAIAN

    Manusia ada tiga macam.

    1. Orang yang menyambung hubungan keluarga.
    2. Orang yang mengimbangi hubungan keluarga.
    3. Orang yang memutuskan hubungan keluarga.

    Orang yang menyambung hubungan keluarga ialah orang yang memulai menyambung hubungan kekeluargaan.
    Orang yang mengimbangi ialah orang yang membalas sikap serupa terhadap keluarganya.

    Orang yang memutuskan hubungan keluarga ialah orang yang tidak memulai dan tidak mengimbangi hubungan keluarga. Justeru, yang sempurna ialah orang yang menyambung ikatan keluarga terhadap orang yang memutuskannya.

    Sumber/rujukan: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 256/257.

  • Keutamaan menyambung hubungan keluarga

    Daripada Aisyah RAnha, meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Rahim (kekeluargaan) tergantung di Arasy sambil berkata “sesiapa yang menyambungku, maka Allah menyambungnya dan sesiapa memutuskanku, maka Allah memutuskannya”. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

    Sumber/rujukan: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 257.

  • Apakah amalan untuk masuk syurga dan jauh dari neraka?

    Daripada Abu Ayyub Khalid bin Zaid al-Ansari RA, bahawa ada seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah, beritahulah saya suatu amalan yang dapat memasukkan saya ke dalam syurga serta menjauhkan saya dari neraka.

    Maka, Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Kamu beribadat kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan suatu apa pun, mendirikan solat, menunaikan zakat dan menyambung rahim (hubungan kekeluargaan). (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 334.

  • Boleh sambung hubungan kekeluargaan dengan ahli keluarga musyrik

    Daripada Asma binti Abu Bakar as-Siddiq berkata: Ibuku datang ke tempatku, sedang dia adalah seorang musyrik pada masa Rasulullah SAW. Kemudian, saya meminta fatwa kepada Rasulullah. Saya berkata: Ibuku datang padaku dan dia ingin meminta sesuatu, apakah boleh saya menyambung kekeluargaan dengan ibuku?

    Baginda menjawab: Ya, sambunglah kekeluargaan dengan ibumu. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim & Abu Dawud)

    HURAIAN

    Ada yang mengatakan bahawa yang datang itu ibu kandungnya sendiri, tetapi ada pula yang mengatakan bahawa itu adalah ibu dari susuan. Pendapat yang sahih ialah pendapat yang pertama.

    Hadis ini menunjukkan boleh menyambung ikatan keluarga dengan kerabat yang musyrik. Hal ini didukung oleh firman Allah yang bermaksud: Dan pergaulilah kedua-duanya di dunia dengan baik.” (Luqman, 15)

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 258.

  • Pesanan Nabi agar berbuat baik kepada penduduk

    Daripada Abu Dzar berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Kamu semua akan membebaskan suatu tanah yang disebut di dalamnya qiirath.

    Dalam suatu riwayat lain disebutkan: Kamu semua akan membebaskan Mesir iaitu tanah yang disebut di dalamnya nama qiirath, maka berwasiatlah kepada penduduk daerah itu dengan baik, sebab sesungguhnya mereka itu mempunyai tanggungan serta hubungan kekeluargaan.

    Dalam riwayat lain disebutkan: “Jika kamu telah membebaskannya, maka berbuat baiklah kepada penduduknya, kerana sesungguhnya mereka itu mempunyai tanggungan dan hubungan kekeluargaan.” Atau baginda bersabda: “Mereka mempunyai tanggungan dan saudara ipar.” (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Ulama berkata “rahim” yang dimiliki oleh penduduk Mesir ialah kerana Hajar, ibunda Nabi Ismail adalah daripada bangsa mereka, sedangkan “shihr” (huruf ejaan: sod – ho – ro) atau ipar ialah kerana Mariah ibunda Ibrahim, putra Rasulullah SAW juga daripada bangsa Mesir itu.

    Hadis ini mengandungi beberapa faedah — tanda kenabian, kerana sahabat dapat membebaskan Mesir setelah Nabi SAW wafat. Wasiat untuk menjaga tanggungan dan menyambung hubungan keluarga.

    Al-Qiirath (huruf ejaan: Qaf – ya – ro – alif – tho)

    Sumber/rujukan: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 260.

  • Mentaati perintah bapa yang lebih mengetahui

    Daripada Ibnu Umar RA, dia berkata: Saya mempunyai seorang isteri dan saya mencintainya, sedangkan Umar membencinya, lantas dia (Umar) berkata kepadaku: “Ceraikanlah isterimu itu.” Namun saya enggan melakukannya.

    Maka, Umar RA mendatangi Nabi SAW, kemudian dia menyebutkan hal itu kepadanya (Nabi). Maka Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Ceraikannya (perempuan itu). (Hadis diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Imam at-Tirmidzi, dan at-Tirmidzi berkata hadis ini hasan sahih)

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 262.

    HURAIAN

    Dalam hadis ini terdapat pesanan untuk melaksanakan perintah bapa yang lebih mengetahui walaupun dia memerintahkan anaknya untuk menceraikan isteri.