hadis

  • Tidak membunyikan jari ketika melakukan solat

    Yahya bin Hakim menceritakan, Abu Qutaibah menceritakan, Yunus bin Abi Ishaq dan Israil bin Yunus, daripada Abi Ishaq, daripada Al-Harits, daripada Ali, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Janganlah membunyikan jari-jemarimu sedangkan kamu dalam solat.

    Sumber/ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 163.

  • 3 tidak diterima

    Telah menceritakan kepada kami Abu Kuraib, telah menceritakan kepada kami ‘Abdah bin Sulaiman dan Ja’afar bin ‘Aun, daripada Al-Ifriqiyyi daripada ‘Imran, daripada Abdullah bin Amru, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tiga tidak diterima bagi mereka solat, seorang lelaki dia mengimamkan suatu kaum sedangkan mereka tidak menyukainya, seorang lelaki yang tidak mendatangi (melakukan) solat kecuali setelah habis waktunya, dan orang yang memperhambakan orang merdeka.

    Sumber/ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 163.

  • Dua dan ke atas adalah jemaah

    Daripada Abu Musa Al-Asy’ariyyi, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Dua (orang) dan apa di atas dua (orang) adalah jemaah.

    Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 164.

    HURAIAN

    Hadis ini menerangkan dua orang dan bilangan ke atas seterusnya adalah jemaah.

  • Pembuka solat

    Muhammad bin Amru bin ‘Atha berkata: Aku mendengar Abu Humaid as-Sa’idiyy berkata: Rasulullah SAW apabila bangun untuk mendirikan solat, baginda menghadap kiblat dan mengangkat kedua-dua tangannya, dan baginda mengucapkan “Allahu Akbar”.

    Sumber/ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 136.

  • Kelusuhan daripada iman

    Daripada Abu Umamah Iyas bin Tsa’labah al-Ansoriyyi al-Haritsi (RA) berkata: Suatu hari para sahabat Rasulullah (SAW) menyebut-nyebut dunia di sisi baginda. Maka, Rasulullah (SAW) bersabda (mafhumnya): Tidakkah kamu mendengar? Tidakkah kamu mendengar? Sesungguhnya kelusuhan daripada iman, sesungguhnya kelusuhan daripada iman, yakni orang kering kulitnya. (Diriwayatkan oleh Abu Daud)

    HURAIAN

    Perkataan “badzadzah” (ejaannya: ba-za-alif-za-ta bulat) dalam teks hadis itu diterjemahkan sebagai keadaan orang yang berpakaian usang dan meninggalkan baju kebanggaan. – Riyadus Solihin & Penjelasannya

    Perkataan “taqahhul” (ejaan: ta-qaf-ha-lam) diterjemahkan sebagai orang yang kering kulitnya kerana hidup kasar dan meninggalkan kemewahan. – Riyadus Solihin & Penjelasannya.

    Kelusuhan termasuk bahagian daripada iman kerana dapat menundukkan jiwa dan memicu untuk bersikap tawaduk.

    Nabi ISA (AS) berkata: Keindahan pakaian adalah kesombongan hati.

    Ali (RA) pernah dicela kerana memakai kain yang bertambal, maka beliau berkata: Semua ini supaya dapat diteladani orang Mukmin dan menjadikan hati khusyuk.

    Sumber/ruj: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 380.

  • Sikap pemurah Rasulullah, tidak menghampakan apabila diminta sesuatu kepadanya

    Daripada Anas (RA), dia berkata: Tidaklah diminta kepada Rasulullah (SAW) sesuatu atas Islam melainkan baginda memberikannya. Dan pernah ada seorang lelaki datang kepadanya, maka baginda memberikannya kambing di antara dua bukit. Maka, lelaki itu pulang kepada kaumnya. Maka, dia berkata: Wahai kaum, masuklah Islam, maka sesungguhnya Muhammad memberi pemberian seperti orang yang tidak takut fakir. Walaupun lelaki itu masuk Islam tidaklah dia kehendaki melainkan dunia. Kemudian hanya sebentar sahaja, Islam menjadi lebih dicintainya daripada dunia dan apa yang ada di atasnya. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Hadis ini menunjukkan bolehnya memberikan suatu pemberian kepada orang yang hendak dijinakkan hatinya agar mereka tertarik kepada Islam.

    Sumber/rujukan: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 402.

  • Dua perkara baik dalam Islam

    Daripada Abdullah bin Amru bin al-As, bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah (SAW): Apakah dalam Islam yang baik?

    Baginda bersabda (mafhumnya): Kamu memberi makan, dan kamu mengucapkan salam ke atas sesiapa yang kamu kenal dan sesiapa yang kamu tidak kenal. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

    HURAIAN

    Maksud memberi makan di sini adalah memberi sedekah, hadiah, menjamu tamu dan seumpamanya; demikian menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya.

    Sabda baginda: “Dan kamu mengucapkan salam ke atas sesiapa yang kamu kenal dan sesiapa yang kamu tidak kenal”, maksudnya menyebarkan salam kepada setiap orang yang kamu temui.

    Sumber/rujukan: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 401.

  • Sedekah tidak mengurangkan harta, kemaafan menambah kemuliaan dan tawaduk mengangkat darjat

    Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah (SAW) bersabda (mafhumnya): Sedekah tidak mengurangkan harta. Dan Allah tidak menambahkan kepada seorang hamba dengan memberi kemaafan melainkan kemuliaan. Dan tidaklah tawaduk (merendah diri) seorang kerana Allah melainkan Allah mengangkatnya (darjatnya). (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Sedekah tidak mengurangkan harta. Malah sedekah menghindarkan bencana dan menjadi sebab turunnya berkat.

    Orang yang pemaaf dimuliakan. Allah menambah kemuliaannya.

    Demikian pula orang bersikap tawaduk atau merendah diri diangkat atau ditinggikan darjatnya di sisi Allah.

    Sumber/rujukan: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 403.

  • Sedekah, sabar, tidak meminta-minta dan empat jenis manusia

    Daripada Abu Kabsyah Amru bin Saad Al-Anmari, bahawa dia mendengar Rasulullah (SAW) bersabda (mafhumnya): Tiga yang aku bersumpah atasnya, dan aku menyampaikan satu hadis kepada kamu, maka jagalah ia: Tidak berkurang harta seorang hamba daripada sedekah; tidaklah seseorang bersabar apabila dizalimi dengan suatu kezaliman melainkan Allah akan menambahkan kemuliaan kepadanya; dan tidaklah seorang hamba membuka pintu meminta-minta melainkan Allah membuka atasnya pintu kefakiran – atau kalimah seumpamanya. Dan saya menyampaikan satu hadis kepada kamu, maka jagalah.

    Baginda bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya dunia ini untuk empat orang: Seorang hamba dikurniakan harta dan ilmu oleh Allah, maka dia bertakwa padanya kepada Rabbnya, dan dia menyambung padanya (dengan harta dan ilmu) rahimnya, dan mengetahui padanya hak-hak Allah. Maka, ini adalah kedudukan paling utama. Seorang hamba yang diberikannya ilmu oleh Allah dan tidak diberikan harta tapi dia berniat benar, dia berkata: “Sekiranya aku memiliki harta nescaya aku melakukan dengan amalan (apa yang dilakukan oleh) polan”. Maka, dia dengan niatnya. Maka, pahala kedua-duanya (orang pertama dan orang kedua) sama. Dan seorang hamba diberikan oleh Allah kepadanya suatu harta, tapi tidak diberikannya ilmu. Maka, dia menggunakan hartanya tanpa ilmu, dia tidak bertakwa padanya (dengan harta itu) kepada Rabbnya, dan tidak menyambung padanya (dengan harta itu) rahimnya, dan dia tidak mengetahui padanya (dengan harta itu) hak Rabbnya. Maka, ini adalah kedudukan paling buruk. Dan seorang hamba yang tidak diberikan oleh Allah kepadanya harta dan ilmu, maka dia berkata: “Sekiranya aku memiliki harta, nescaya aku melakukan padanya (dengan harta itu) dengan amalan (apa yang dilakukan oleh) polan”. Maka, dia dengan niatnya. Maka, dosa kedua-duanya sama. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, dan dia berkata hadis hasan sahih)

    HURAIAN

    Tiga perkara disebutkan:

    1. Sedekah tidak mengurangkan harta.

    Pada surah Saba, ayat 39 diterangkan: Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah sebaik-baik Pemberi rezeki.

    1. Orang bersabar atas suatu kezaliman akan ditambahkan kemuliaan kepadanya.

    Pada surah asy-Syura, ayat 43 diterangkan: Dan orang yang bersabar dan memaafkan sesungguhnya (perbuatan) yang demikian itu termasuk hal-hal yang diutamakan.

    1. Orang membuka pintu meminta-minta (sentiasa berkehendak) selalu berasa sangat memerlukan atau tidak pernah cukup.

    Pada surah Fathir, ayat 15 diterangkan: Hai manusia, kamu yang memerlukan Allah, dan Allah Dialah Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

    Empat jenis manusia yang disebutkan:

    1. Orang berilmu dan berharta – dia menggunakannya untuk bertakwa kepada Allah, menyambung hubungan rahim (silaturahim), dan mengetahui hak Allah (melaksanakan hak yang ditetapkan oleh Allah).
    2. Orang berilmu tapi tiada harta – namun dia mempunyai niat yang benar untuk melakukan seperti yang dilakukan oleh orang pertama sekiranya diberikan harta.
    3. Orang diberikan harta, tapi tidak diberikan ilmu – dia menggunakan hartanya tanpa ilmu, tidak bertakwa, tidak menyambung hubungan rahim dan tidak mengetahui (atau ambil tahu) hak Allah pada harta itu.
    4. Orang tidak diberikan harta dan ilmu – tapi dia akan melakukan seperti yang dilakukan oleh orang ketiga sekiranya diberikan harta.

    “Polan” ialah merujuk kepada seseorang secara umum.

    Sumber/rujukan: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, 403/404.

  • Anjuran agar bersedekah daripada hasil usaha yang baik

    Daripada Abu Hurairah, dia berkata Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa bersedekah dengan sesuatu senilai sebiji kurma daripada usaha yang baik, dan (memang) Allah tidak menerima kecuali yang baik, maka sesungguhnya Allah menerimanya (sedekah itu) dengan tangan kanan-Nya, kemudian Dia memeliharanya untuk pemilik sedekah (orang melakukannya), sebagaimana seseorang daripada kamu memelihara anak kudanya hingga menjadi seumpama gunung. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

    HURAIAN

    Hadis ini mengandungi anjuran agar bersedekah dan menegaskan bahawa bersedekah pula daripada hasil usaha yang baik — bukannya hasil daripada usaha yang keji.

    Mengenai “tangan kanan-Nya”, Tirmidzi berkata: Ahlul ilmi (ahli ilmu) daripada kalangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah menegaskan, kita mengimani hadis-hadis ini dan tidak melakukan penyerupaan serta tidak pula menanyakan bagaimana bentuknya. Inilah yang diriwayatkan daripada Malik, Ibnu Uyainah, Ibnu Mubarak, dan selain mereka. – Demikian menurut Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya.

    Sumber/ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 407.