hadis

  • Jangan aniaya dan jangan serah kepada musuh, tutupi aib, penuhi keperluan dan lapangkan kesukaran sesama muslim

    Daripada Ibnu Umar RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Seorang muslim merupakan saudara seorang muslim yang lain, jangan dia menganiayanya dan jangan pula menyerahkannya (kepada musuh). Sesiapa memenuhi keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluannya. Dan sesiapa melapangkan kesusahan daripada seorang muslim, maka Allah akan melapangkan untuknya satu kesusahan daripada beberapa kesusahan pada hari kiamat. Dan sesiapa menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Dilarang menzalimi orang muslim dan menghinanya.

    Keutamaan memenuhi keperluan orang muslim, melapangkan kesusahannya, dan menutupi aibnya.

    Allah akan bertindak terhadap hamba-Nya sebagaimana hamba-Nya itu bertindak terhadap orang lain, sebagaimana diterangkan dalam hadis yang masyhur: Orang-orang yang menyayangi akan disayang oleh Allah Zat Yang Maha Pengasih. Oleh kerana itu sayangilah orang-orang yang ada di bumi, nescaya penduduk langit akan menyayangimu.

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 211/212.

  • Berikan pertolongan kepada orang memerlukan

    Daripada Abu Musa al-Asy’ari RA berkata: Apabila Nabi SAW didatangi oleh seseorang yang meminta suatu keperluan, baginda menemui teman-teman duduknya. Maka, baginda bersabda (mafhumnya): Berilah pertolongan kepadanya, nescaya kamu mendapat pahala, dan Allah akan memutuskan hal-hal yang Dia senangi melalui lisan nabi-Nya. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Sumber – Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 213.

  • Bukan pendusta bagi orang yang mendamaikan manusia

    Daripada Ummu Kultsum binti Uqbah bin Abu Mu’aith berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tidak termasuk pendusta seseorang yang mendamaikan antara manusia, maka dia menceritakan yang baik atau mengatakan sesuatu yang baik. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Dalam riwayat Muslim terdapat tambahan, Ummu Kultsum berkata: Saya tidak pernah mendengar Nabi SAW memperkenankan berdusta daripada apa yang diucapkan oleh seseorang melainkan dalam tiga hal, iaitu dalam peperangan, mendamaikan antara manusia serta perkataan seorang suami kepada isterinya dan perkataan isteri kepada suaminya.

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 215.

  • Rahmah, kasihi anak-anak

    Daripada Aisyah RAnha berkata: Beberapa orang daripada kalangan orang pedalaman datang menghadap Rasulullah SAW, maka mereka berkata: Adakah anda suka mencium anak-anak anda?

    Baginda menjawab: Ya.

    Mereka berkata: Tetapi, demi Allah, kami tidak pernah mencium (anak-anak).

    Maka, Rasulullah bersabda: Apakah saya dapat mencegah sekiranya Allah telah mencabut sifat rahmah (belas kasihan) daripada hati kamu. (Muttafaq alaih – Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini menganjurkan untuk mengasihi anak-anak, mencium dan menyayangi mereka.

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 203/204.

  • Kasih sayang dalam kalangan orang beriman umpama tubuh badan

    Daripada Nu’man bin Basyir berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Perumpamaan Mukminin dalam hal saling menyayangi, saling mengasihi dan saling bersimpati adalah bagaikan tubuh badan. Apabila satu anggotanya berasa sakit, maka seluruh tubuh badan akan turut merasakannya dengan tidak tidur dan berasa panas. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 203.

  • Keutamaan kasih sayang sesama manusia

    Daripada Jabir bin Abdullah berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa tidak mempunyai sifat kasih sayang kepada sesama manusia, Allah juga tidak memberi kasih sayang kepadanya. (Muttafaq alaih — diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN:

    Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Orang-orang menebarkan kasih sayang akan disayangi oleh Zat Yang Maha Pengasih. Sayangilah penduduk bumi, nescaya penduduk langit akan menyayangimu.”

    Sumber – Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 204.

  • Meringankan apabila solat berjemaah

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Jika seorang daripada kamu menjadi imam solat bagi orang lain, maka hendaklah dia meringankannya, sebab antara kalangan makmum ada orang yang lemah, orang sakit dan tua. Apabila seorang kamu melakukan solat sendirian, maka hendaklah dia memperlamakan (memanjangkan) solat sekehendaknya. (Muttafaq alaih — diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Sumber – Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 204.

  • Mengapa Nabi tinggalkan suatu amalan disukai?

    Daripada Aisyah RAnha berkata: Sesungguhnya jika Rasulullah SAW meninggalkan suatu amalan perbuatan, padahal baginda suka mengerjakan amalan itu, (hal itu kerana baginda) khuatir jika orang-orang akan ikut mengamalkannya, maka amalan itu diwajibkan atas mereka. (Muttafaq alaih — diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini menjelaskan kesempurnaan kasih sayang Nabi SAW terhadap umatnya, sebagaimana baginda pernah meninggalkan keluar (untuk solat) di malam keempat Ramadan hingga terbit fajar. Baginda bersabda: Tidak ada yang mencegahku melainkan khuatir jika solat itu diwajibkan atas kamu, lalu kamu tidak mampu melakukannya.

    Sumber – Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 204/205.

  • Nabi larang puasa wisol kerana sayang kepada sahabatnya

    Daripada Aisyah RAnha berkata: Nabi SAW melarang para sahabat melakukan puasa wisol kerana rasa sayang kepada mereka.

    Para sahabat berkata: Sesugguhnya anda sendiri melakukan puasa wisol?

    Baginda bersabda (mafhumnya): Sungguh, saya ini tidaklah seperti keadaan kamu, kerana sesungguhnya saya ini diberi makan serta minum oleh Rabbku. (Muttafaq alaih — diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Sumber – Buku Riyadus Solihin dan Penjelasannya

  • Meringankan solat apabila ada hal mendesak

    Daripada Abu Qatadah al-Harits bin Rib’i RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya ketika saya sedang melakukan solat dan saya bermaksud memperlamakannya, tiba-tiba saya mendengar tangisan seorang anak kecil. Maka, saya meringankan solat saya kerana saya tidak suka jika memberatkan ibunya. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    Sumber – Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 205.

    HURAIAN

    Hadis ini mengandungi erti keprihatinan dengan mengambil kira hal mendesak.