hadis

  • Dosa mensia-siakan anak yatim, perempuan

    Daripada Abu Syuraih Khuwailid bin Amru al-Khuza’ie berkata: Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Allaahumma (Wahai Allah), sesungguhnya saya memandang berat dosa mensia-siakan hak dua golongan lemah, (iaitu) anak yatim dan perempuan. (Hadis status hasan diriwayatkan oleh an-Nasai, dengan sanad yang baik)

    PENJELASAN

    Sesungguhnya Nabi SAW menganggap berat hak anak yatim dan perempuan, kerana kedua-duanya tidak mempunyai kekuatan dan tidak ada tempat berlindung melainkan Allah.

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 230.

  • Keistimewaan orang lemah dalam kalangan kamu

    Daripada Mus’ab bin Saad bin Abi Waqas RA berkata: Saad berpendapat bahawa baginya kelebihan daripada selainnya.

    Maka, Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Adakah kamu mendapat pertolongan dan rezeki, melainkan dengan orang-orang yang lemah dalam kalangan kamu! (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari sebagai hadis mursal kerana Mus’ab adalah seorang tabiin. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Abu Bakar al-Barqani dalam kitab sahihnya sebagai hadis muttasil daripada Mus’ab daripada ayahnya RA).

    PENJELASAN

    Ibnu Batthal berkata: Pengertian hadis ini bahawa orang-orang lemah lebih ikhlas dalam berdoa dan lebih khusyuk dalam beribadat kerana hati mereka masih kosong dengan gemerlapan dunia.

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 230.

  • Rezeki dan pertolongan dengan adanya orang lemah dalam kalangan kamu

    Daripada Abu Darda Uwaimir RA berkata: Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Carikan saya orang-orang lemah. Maka, sesungguhnya kamu mendapat pertolongan dan rezeki dengan orang-orang lemah dalam kalangan kamu. (Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud dengan isnad yang baik)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi pesanan agar membantu orang-orang lemah, fakir miskin, membantu orang-orang yang menggunakan seluruh waktu untuk Allah, tidak mementingkan diri sendiri dan menghindari daripada mengganggu orang lemah.

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 231.

  • Jangan saling hasad dengki, menipu, membenci — jadilah hamba Allah saling bersaudara

    Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Janganlah kamu saling berhasad, jangan saling menipu dalam jual-beli, jangan saling membenci, jangan saling berpaling dan jangan sesetengah daripada kamu menjual atas penjualan sebahagian lain. Dan jadilah hamba-hamba Allah yang saling bersaudara.

    Seorang muslim merupakan saudara dengan muslim yang lain, tidak boleh menzalimi saudaranya, tidak boleh menghina saudaranya dan tidak boleh menelantarkan saudaranya.

    Takwa itu ada di sini — baginda menunjukkan ke arah dadanya tiga kali.

    Cukuplah seseorang termasuk keburukan, jika dia menghina saudaranya sesama muslim.

    Setiap muslim terhadap sesama muslim haram darahnya, hartanya dan kehormtannya. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Perkataan “an-najsyu” diterjemahkan sebagai seseorang menambah harga suatu barang dagangan lebih daripada yang diumumkan di pasar dan lain sebagainya, padahal dia tidak ada keinginan untuk membelinya. Tetapi dia melakukannya semata-mata untuk menipu orang lain. Perbuatan ini hukumnya haram. Dalam teks hadis ini, perkataan digunakan ialah “tanaajasyuu”.

    Perkataan “at-tadaaburu” diterjemahkan sebagai seseorang tidak menghiraukan orang lain, enggan berbicara dengannya dan menganggap saudaranya seakan-akan benda yang ada di belakang punggungnya. Dalam teks hadis ini perkataannya ialah “tadaabaruu”.

    Keharaman hasad dengki iaitu mengharapkan hilangnya nikmat yang ada pada saudaranya.

    Keharaman najsy, kerana perbuatan ini merupakan penipuan dan pengkhianatan.

    Larangan saling membenci dan saling berpaling, larangan menjual atas penjualan orang lain. Demikian pula membeli atas pembelian orang lain, tanpa ada izin dalam masa khiyar (proses memilih), kerana hal ini menjadi faktor terjadi pertengkaran dan kebencian.

    Takwa dapat tercapai dengan sesuatu yang ada di dalam hati meliputi rasa takut dan muraqabah (pengawasan).

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 207.

  • Tidak sempurna iman sehingga mencintai sesama muslim

    Daripada Anas RA meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mencintai bagi saudaranya hal yang dia cintai bagi dirinya sendiri. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Keimanan sempurna tidak dapat tercapai sehingga seseorang suka atau mencintai ketaatan atau hal-hal yang harus pada diri seorang muslim sebagaimana dia suka hal itu ada pada dirinya sendiri.

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 207/208.

  • Tolonglah orang melakukan kezaliman, dizalimi

    Daripada Anas RA berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tolonglah saudaramu, dia orang melakukan kezaliman atau dizalimi.

    Maka, seorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah, saya dapat menolongnya jika dia orang dizalimi, (tapi) tidakkah anda lihat jika seorang melakukan kezaliman, bagaimana saya dapat menolongnya?

    Baginda berkata: Kamu menghalanginya atau kamu mencegahnya daripada kezalimannya. Maka, sesungguhnya yang demikian itu menolongnya. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 208.

  • Beberapa hak terhadap sesama muslim

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Hak seorang muslim terhadap sesama muslim ada lima: Menjawab salam, menjenguk orang sakit, menghantarkan jenazahnya, menghadiri panggilannya (atau undangan) dan mendoakan orang bersin. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Dalam hadis diriwayatkan Muslim disebutkan: Hak seorang muslim terhadap sesama muslim ada enam; jika kamu bertemu dengannya maka ucapkanlah salam kepadanya, jika dia memanggilmu maka penuhilah panggilannya, jika dia meminta nasihat kepadamu maka berilah dia nasihat, jika dia bersin kemudian memuji Allah maka doakanlah dia, jika dia sakit jenguklah dia, dan jika dia meninggal dunia maka hantarkan jenazahnya.

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 208.

  • Orang yang menutupi aib akan ditutupi aibnya di hari kiamat

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Tiada seorang hamba pun yang menutupi aib seorang hamba di dunia melainkan dia akan ditutupi aibnya oleh Allah pada hari kiamat. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini menganjurkan untuk menutupi aib seorang muslim, lebih-lebih lagi orang yang tidak diketahui keburukannya.

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 210.

  • Isyarat agar menutup keburukan

    Daripada Abu Hurairah RA berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Setiap umatku dimaafkan melainkan orang-orang yang menampakkan (keburukan). Sesungguhnya antara yang menampakkan ialah seorang melakukan suatu perbuatan di waktu malam, padahal Allah telah menutupi keburukannya, kemudian di pagi harinya tiba-tiba dia berkata: “Hai polan (panggilan kepada seseorang tidak disebutkan nama), saya malam tadi melakukan begini dan begini.”

    Semalam orang terbabit telah ditutupi keburukannya oleh Allah tetapi pagi hari dia membuka sesuatu yang telah ditutupi oleh Allah daripada dirinya. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 210.

  • Nabi larang mendoakan kehinaan

    Daripada Abu Hurairah RA berkata: Nabi SAW didatangi oleh para sahabatnya dengan membawa seorang lelaki yang telah minum arak.

    Kemudian baginda bersabda: Pukullah dia.

    Abu Hurairah berkata: Antara kami ada yang memukul orang itu dengan tangannya, ada pula yang memukulnya dengan sandalnya, bahkan ada yang memukulnya dengan pakaiannya. Setelah semuanya membubarkan diri, sesetengah orang berkata: Semoga engkau dihinakan oleh Allah.

    Kemudian Rasulullah SAW bersabda: Jangan kamu berkata demikian, jangan kamu memberikan pertolongan kepada syaitan untuk menggodanya lagi. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    PENJELASAN

    Memukul dengan tangan, sandal dan pakaian memadai sebagai hukuman minum arak.

    Tidak dianjurkan mendoakan agar diberikan kehinaan oleh Allah dan sebagainya.

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 211.