hadis

  • Nabi larang puasa wisol kerana sayang kepada sahabatnya

    Daripada Aisyah RAnha berkata: Nabi SAW melarang para sahabat melakukan puasa wisol kerana rasa sayang kepada mereka.

    Para sahabat berkata: Sesugguhnya anda sendiri melakukan puasa wisol?

    Baginda bersabda (mafhumnya): Sungguh, saya ini tidaklah seperti keadaan kamu, kerana sesungguhnya saya ini diberi makan serta minum oleh Rabbku. (Muttafaq alaih — diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Sumber – Buku Riyadus Solihin dan Penjelasannya

  • Meringankan solat apabila ada hal mendesak

    Daripada Abu Qatadah al-Harits bin Rib’i RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya ketika saya sedang melakukan solat dan saya bermaksud memperlamakannya, tiba-tiba saya mendengar tangisan seorang anak kecil. Maka, saya meringankan solat saya kerana saya tidak suka jika memberatkan ibunya. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    Sumber – Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 205.

    HURAIAN

    Hadis ini mengandungi erti keprihatinan dengan mengambil kira hal mendesak.

  • Keutamaan solat Subuh

    Daripada Jundub bin Abdullah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa melakukan solat Subuh, maka dia berada dalam jaminan Allah. Oleh kerana itu, jangan sampai Allah menuntut kepada kamu dengan apa yang dijaminkan oleh Allah, kerana sesungguhnya orang yang dituntut oleh Allah dengan apa yang dijaminkan oleh Allah, tentu Dia akan mendapatkannya. Kemudian, Allah akan melemparkan mukanya ke dalam neraka jahanam. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Perkataan “dzimmatillah” dalam (teks Arab) hadis itu diterjemahkan sebagai jaminan keamanan daripada Allah dan janji-Nya.

    Dalam riwayat lain disebutkan: “Sesiapa melakukan solat Subuh berjemaah”, seakan-akan solat Subuh dikhususkan dengan hal itu, kerana waktu subuh merupakan permulaan hari, yakni waktu permulaan orang bertebaran memenuhi keperluan mereka.

    Hadis ini mengandungi ancaman keras kepada orang yang berniat buruk kepada orang-orang yang melakukan solat.

    Sumber – Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 206.

  • Muslim bersaudara dan keutamaan membantu sesama muslim

    Daripada Ibnu Umar RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Seorang muslim merupakan saudara muslim yang lain.
    Janganlah dia menganiayanya, jangan pula menyerahkannya kepada musuhnya.

    Sesiapa membantu keperluan saudaranya, maka Allah selalu menolongnya dalam memenuhi keperluannya.

    Dan sesiapa melapangkan suatu kesukaran daripada seorang muslim, maka Allah akan melapangkan baginya suatu kesukaran daripada sekian banyak kesukaran pada hari kiamat.

    Dan sesiapa menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutupi aib orang itu pada hari kiamat. (Muttafaq alaih — diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    – Hadis ini memberi motivasi kepada muslimin (orang-orang Islam) untuk saling membantu, menyayangi antara satu sama lain, tidak berbuat zalim (aniaya) kepada mereka, memenuhi keperluan mereka, menutup aib mereka dan membuatkan mereka senang.

    Sumber – Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 206.

  • Dilarang khianat, tipu dan hina sesama muslim

    Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Seorang muslim merupakan saudara sesama muslim lainnya. Janganlah dia berkhianat kepada saudaranya, jangan membohonginya dan jangan menghinanya.

    Setiap muslim terhadap muslim lainnya adalah haram kehormatannya, hartanya dan darahnya.

    Takwa itu di sini. Cukuplah seseorang termasuk daripada keburukan, jika dia menghina saudaranya sesama muslim. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, dia berkata hadis ini [status] hasan)

    PENJELASAN

    Keharaman darah seorang muslim, hartanya dan kehormatannya. Diharamkan menghina sesama muslim, mengkhianatinya dan berdusta.

    Ketakwaan berada di dalam hati.

    Sumber: Buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 206.

  • Tiada tabir menutupi antara doa orang dizalimi dengan Allah

    Menurut buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 194:

    Daripada Muaz RA berkata: Saya diutuskan oleh Rasulullah SAW, lalu baginda bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya engkau akan mendatangi suatu kaum daripada kalangan ahli kitab, maka ajaklah mereka untuk bersaksi bahawa tiada ilah (tuhan) yang berhak untuk dilakukan ibadat secara benar melainkan Allah dan bahawa saya adalah utusan Allah. Apabila mereka telah mentaati untuk melakukan hal itu, maka beritahulah kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan kepada mereka solat lima waktu dalam setiap sehari semalam. Jika mereka mentaati yang demikian, maka beritahukan kepada mereka bahawa Allah mewajibkan kepada mereka sedekah yang diambil daripada orang-orang kaya antara mereka, kemudian dikembalikan kepada orang-orang fakir antara mereka. Jika mereka mentaati yang demikian itu, maka jagalah kehormatan dan harta-harta mereka. Takutlah kamu daripada doa orang yang dizalimi, kerana sesungguhnya tidak ada tabir yang menutupi antara doanya dengan Allah. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Peringatan untuk mencegah berbuat zalim.

    Mengambil (atau merampas) harta yang dimuliakan adalah kezaliman, melainkan jika pemiliknya merelakannya.

    Doa orang yang dizalimi akan dikabulkan (diterima), sebagaimana terdapat dalam satu hadis: Doa orang dizalimi akan dikabulkan, meskipun dia orang yang jahat. Namun kejahatannya untuk dirinya sendiri.

  • Ancaman kepada orang buat zalim kepada orang lain

    Menurut buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 195-196:

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa melakukan suatu kezaliman kepada saudaranya, (sama ada) mengenai kehormatan saudaranya ataupun suatu yang lain, maka hendaklah dia minta dihalalkannya pada hari sebelum tidak ada (wang) dinar dan dirham. Jika dia mempunyai amalan kebajikan, maka diambil amalan kebajikannya, sesuai kadar kezalimannya, sedang jika dia tidak mempunyai kebajikan sama sekali, maka diambil keburukan-keburukan orang dizalimi, lalu dibebankan kepada orang menzaliminya. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    PENJELASAN

    Hadis ini menunjukkan perintah meminta agar dihalalkan dan mengembalikan hasil daripada kezaliman ketika masih di dunia. Jika tidak, orang dizalimi akan mengambil haknya secara penuh di akhirat kelak. Jika dia tiada amalan kebajikan, maka dia mengambil keburukan orang dizalimi.

  • Sesiapa ambil hak orang lain dengan sumpahnya diharamkan dari syurga

    Menurut buku Riyadus Solihin & Penjelasan, halaman 198:

    Daripada Abu Umamah Iyas bin Tsa’labah al-Haritsi meriawayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa mengambil hak seorang muslim dengan sumpahnya, maka Allah mewajibkan neraka baginya dan mengharamkan syurga ke atasnya.

    Maka, seorang lelaki bertanya: Walaupun suatu yang remeh, wahai Rasulullah?

    Maka, baginda bersabda: Dan sekalipun sepotong kayu arak. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini memberikan ancaman kepada orang bersumpah bohong agar dapat mengambil hak seorang muslim.

  • Dakwaan syahid disanggah Nabi

    Menurut buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 198/199:

    Daripada Umar bin al-Khattab RA berkata: Ketika terjadi perang Khaibar, ada sekumpulan daripada sahabat-sahabat Nabi SAW, maka mereka berkata: Polan syahid, dan polan syahid. Sehingga mereka menemukan seorang lelaki (yang telah meninggal dunia), maka berkata, “polan syahid”. Maka, Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Tidak sama sekali, sesungguhnya saya melihatnya di dalam neraka kerana burdah (kain selimut) atau baju karung yang dia sembunyikan (daripada hasil rampasan perang). (Hadis diriwayatkan oleh Muslim, ada juga dalam riwayat Ibnu Hibban dan Tirmidzi)

    PENJELASAN

    Polan ialah suatu panggilan yang merujuk kepada seseorang tidak diberikan namanya.

    Hadis ini menguatkan keharaman mencuri harta ghanimah (rampasan perang) dan perbuatan itu termasuk antara dosa besar.

  • Terbunuh dalam jihad fi sabilillah apakah kesalahan terhapus?

    Menurut buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 199:

    Daripada Abu Qatadah, al-Harits bin Rib’i meriwayatkan daripada Rasulullah SAW, bahawa beliau berdiri di hadapan orang ramai, kemudian beliau menyebutkan kepada mereka bahawa jihad fi sabilillah dan beriman kepada Allah merupakan amalan perbuatan yang paling utama. Kemudian ada seorang lelaki berdiri dan berkata: Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat anda jika saya terbunuh dalam perang fi sabilillah, apakah kesalahan-kesalahan saya akan terhapus?

    Beliau menjawab: Ya, jika kamu terbunuh fi sabilillah dan sabar, mengharapkan keredaan Allah serta kamu maju dan tidak melarikan diri.

    Seterusnya Rasulullah SAW bertanya: Bagaimana pertanyaan kamu tadi?

    Orang itu berkata lagi: Bagaimana pendapat anda, jika saya terbunuh dalam perang fi sabilillah, apakah kesalahan-kesalahan saya akan terhapus?

    Baginda menjawab: Ya, jika kamu terbunuh fi sabilillah dan sabar, mengharapkan keredaan Allah serta kamu maju dan tidak melarikan diri (dari medan jihad), melainkan jika kamu mempunyai hutang, kerana sesungguhnya Jibril mengatakan hal itu kepadaku. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini menunjukkan besarnya urusan hutang-piutang.

    Ia juga memberi peringatan bahawa jihad dan mati syahid tidak dapat menghapus hak-hak sesama manusia.