hadis

  • Sesiapa tidak menyayangi, tidak disayangi

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 203:

    Daripada Abu Hurairah RA berkata, Nabi SAW mencium al-Hasan bin Ali dan di samping baginda ada al-Aqra’ bin Habis.

    Maka, al-Aqra’ berkata: Saya mempunyai 10 orang anak. Tetapi saya belum pernah mencium seorang daripada mereka.

    Maka, Rasulullah SAW memandangnya, kemudian baginda bersabda (mafhumnya): Sesiapa yang tidak menyayangi, maka dia tidak akan disayangi. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

  • Peringatan agar tidak menumpahkan darah yang haram

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 201:

    Daripada Ibnu Umar RA berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Seorang mukmin sentiasa dalam keluasan agamanya, selama dia tidak menumpahkan darah yang haram. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    PENJELASAN

    Perkataan dalam teks hadis “al-fushatu” diertikan sebagai “keluasan”. Maksudnya orang mukmin sentiasa mengharapkan rahmat dan ampunan daripada Allah atas dosa-dosa yang telah dilakukannya. Ketika dia menumpahkan darah yang haram, maka jalannya akan menjadi sempit.

  • Amaran mengenai hak saudaranya dalam penghakiman

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 200:

    Daripada Ummu Salamah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Saya hanya seorang manusia dan sesungguhnya kamu akan mengajukan perkara kamu kepadaku. Barangkali sebahagian daripada kamu ada yang lebih pintar mengemukakan hujah daripada sebahagian yang lain. Maka, saya memberikan keputusan sesuai dengan alasan yang saya dengar. Maka, sesiapa yang saya putuskan baginya dengan (mendapat) hak saudaranya, maka sesungguhnya saya menentukan untuknya bahagian daripada api neraka. (Muttafaq alaih – Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan Ahmad)

    PENJELASAN

    Perkataan dalam teks hadis “al-hana” diertikan sebagai “lebih pintar”.

    Hadis ini menjelaskan bahawa Nabi SAW tidak mengetahui hal ghaib (hal yang tidak nampak) melainkan apa yang telah diajarkan oleh Allah dan sesungguhnya baginda memutuskan suatu perkara berdasarkan bukti-bukti yang nampak.

    Hukuman (atau keputusan) yang ditetapkan seorang hakim pada dasarnya tidak menghalalkan sesuatu yang haram.

    Firman Allah bermaksud: Dan janganlah kamu makan harta antara kamu dengan jalan yang batil, dan (janganlah) kamu menyuap dengan harta itu kepada para hakim, dengan maksud agar kamu dapat memakan sebahagian harta orang lain itu dengan jalan dosa, padahal kamu mengetahui. (Surah al-Baqarah, ayat 188)

  • Kalimat keadilan terhadap penguasa zalim adalah jihad paling utama

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 180:

    Daripada Abu Said al-Khudri RA, meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Jihad paling utama ialah kalimat keadilan terhadap penguasa zalim. (Hadis diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Tirmidzi. Tirmidzi berkata hadis ini hasan)

  • Jihad paling utama: Kalimat kebenaran terhadap penguasa zalim

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 180/ 181:

    Daripada Abu Abdillah Thariq bin Syihab al-Bajali al-Ahmasi bahawa ada seorang lelaki bertanya kepada Nabi SAW dan dia telah meletakkan kakinya pada pelana: Manakah jihad yang paling utama?

    Baginda menjawab (mafhumnya): Kalimat kebenaran terhadap penguasa zalim. (Hadis diriwayatkan oleh Nasai dengan isnad sahih)

    PENJELASAN

    Perbuatan itu merupakan jihad paling utama kerana perbuatan itu menunjukkan kesempurnaan keyakinan serta kuat keimanannya, kerana dia menyampaikan kebenaran di hadapan penguasa atau pemimpin zalim dan tidak takut hukuman daripada penguasa terbabit, bahkan dia menyerahkan dirinya dan mendahulukan perintah Allah.

  • Apabila tidak dicegah orang melakukan kezaliman

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 183:

    Daripada Abu Bakar as-Siddiq RA berkata: Wahai manusia, sesungguhnya kamu tentu membaca ayat ini (bermaksud): Wahai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu (kerana) orang yang sesat itu tidak akan membahayakan kamu apabila kamu telah mendapat petunjuk. (Al-Maidah, 105)

    Dan sungguh, saya juga mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya orang-orang apabila melihat orang zalim, lalu dia tidak mencegah tangannya, maka hampir saja Allah akan meratakan seksa-Nya terhadap seluruh manusia. (Hadis diriwayatkan oleh Abu Dawud, Tirmidzi dan Nasai, dengan sanad-sanad yang sahih)

    PENJELASAN

    Maksudnya, sesungguhnya kamu semua membaca ayat ini dan kamu menganggap bahawa orang yang telah melakukan apa yang diperintahkan kepadanya serta meninggalkan apa yang dilarang pada dirinya tidak berdosa apabila tidak menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah kemungkaran. Tetapi ini (menyuruh perkara makruf, mencegah kemungkaran) adalah kewajipan sebagaimana terdapat dalam hadis yang lain: Wahai manusia, perintahlah berbuat yang makruf dan cegahlah kemungkaran sehingga ketika engkau melihat orang tamak yang dipatuhi, hawa nafsu yang diikuti, dunia yang lebih dipilih dan setiap orang mengagumi pendapatnya sendiri, maka berpegang teguhlah pada pendirianmu dan tinggalkan orang-orang awam.”

  • Ancaman bagi orang yang hanya pandai menyuruh orang lain buat baik dan cegah mungkar sedangkan dirinya sendiri adalah sebaliknya

    Menurut buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 184:

    Daripada Abu Zaid Usamah bin Zaid bin Haritsah berkata: Saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Pada hari kiamat kelak, didatangkan seorang lelaki, maka dia dilemparkan ke dalam neraka, maka keluar isi perutnya, maka dia berputar dengan isi perutnya, sebagaimana seekor keldai mengelilingi gilingan.

    Para ahli neraka berkumpul di sekelilingnya, maka mereka bertanya: Mengapa kamu ini, hai polan (panggilan untuk seseorang tidak disebutkan nama)? Tidakkah kamu dahulu menyuruh kepada yang makruf (kebaikan) dan mencegah kemungkaran?

    Maka, dia (orang terbabit) berkata: Betul, saya menyuruh kepada yang makruf (kebaikan), tetapi saya sendiri tidak melakukannya, dan saya mencegah kemungkaran, tapi saya sendiri melakukannya. (Muttafaq alaih — diriwayatkan oleh Ahmad, Tirmidzi, Ibn Majah, Abu Dawud)

    PENJELASAN

    Hadis ini memberi isyarat mengenai ancaman keras bagi orang yang ucapannya berbeza dengan perbuatannya dan seksaan bagi orang alim apabila melakukan maksiat lebih berat daripada orang lain, sebagaimana pahalanya digandakan jika dia mengamalkan ilmunya.

  • Tanda orang munafik

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 185:

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tanda-tanda orang munafik ada 3 macam:

    Jika dia berkata, maka dia berdusta.
    Jika berjanji, dia tidak menepati.
    Dan jika diberi amanah, maka dia berkhianat. (Muttafaq alaih — diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini dalil semua hal itu termasuk tanda-tanda munafik.

    Dalam hadis riwayat Abdullah bin Amru disebutkan: Empat perkara apabila terdapat dalam diri seseorang, maka dia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa di dalam dirinya terdapat salah satu daripada keempat-empatnya, maka dia mempunyai salah satu sifat kemunafikan, hingga dia meninggalkannya; iaitu apabila diberi amanah dia khianat, apabila berbicara dia berdusta, apabila berdebat dia berbuat curang, dan apabila berjanji dia mengingkari.

  • Jaga diri daripada buat zalim dan kikir

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 191/192:

    Daripada Jabir RA: Bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Jagalah diri kamu daripada kezaliman, maka sesungguhnya kezaliman adalah kegelapan pada hari kiamat. Dan jagalah diri kamu daripada sifat kikir, maka sesungguhnya kikir menyebabkan kebinasaan umat sebelum kamu, (sifat itu) menyebabkan mereka saling menumpahkan darah dan menghalalkan hal-hal yang diharamkan pada diri mereka. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Istilah “syuhhu” (syin-ha) (perkataan Arab) dalam teks hadis itu ertinya kikir disertai kerakusan untuk mencari harta melalui jalan tidak diperkenankan, sebagaimana terdapat dalam hadis lain: Sesungguhnya Allah telah mengharamkan atas kamu derhaka kepada para ibu, mengubur anak perempuan, tidak memberikan hal yang wajib diberikan, dan mencari sesuatu yang diharamkan.

  • Hak dipenuhi pada hari kiamat

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 192:

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sungguh kamu akan memenuhi hak-hak kepada para pemiliknya kelak pada hari kiamat, sampai-sampai digiringlah kambing yang tidak bertanduk (untuk mengambil hak) daripada kambing yang bertanduk. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Kambing tidak bertanduk akan menuntut balas kepada kambing bertanduk pada hari kiamat. Selepas dibalas, haiwan-haiwan itu menjadi debu. Lantas orang-orang kafir berkata: Aduhai, andai saya juga menjadi debu.

    Peringatan bahawa orang dizalimi akan menuntut balas daripada orang berbuat zalim kelak pada hari kiamat dan dia akan diberikan haknya.