Riyadus Solihin & Penjelasannya

  • Islam: Beriman kepada Allah, istiqamah

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 102 & 103 menyatakan:

    Daripada Abu ‘Amru — ada dikatakan Abi ‘Amrah Sufyan bin Abdullah RA, dia berkata: Saya bertanya, wahai Rasulullah, katakanlah padaku mengenai Islam suatu pernyataan yang tidak akan saya tanyakan lagi kepada seseorang selain anda.

    Rasulullah SAW menjawab (mafhumnya): “Katakanlah, saya beriman kepada Allah, kemudian istiqamah (tetap teguh).” (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Hadis ini menghimpunkan makna Islam dan iman secara keseluruhan.

    Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata ‘Tuhan kami ialah Allah’ kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Surah al-Ahqaf, ayat 13 — Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, halaman 1347)

    Dalam keterangan diberikan tafsir itu: Setelah Tuhan menerangkan fahaman dan amalan yang salah dan terpesong, maka dengan ayat ini dan yang berikutnya, Tuhan menyatakan cara orang-orang yang baik amalannya dan bahagia balasannya. (Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, halaman 1347)

    Firman Allah bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata, “Tuhan kami ialah Allah” kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. (Surah Fussilat, ayat 30 — Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, halaman 1271 & 1272)

    Keterangan dalam tafsir itu: Setelah menerangkan perihal orang-orang kafir dan balasannya, maka dalam ayat ini dan ayat berikutnya, Allah Taala menerangkan perihal orang-orang beriman dan balasan yang sebaik-baiknya yang akan diberikan kepada mereka di dunia dan di akhirat. (Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, halaman 1272)

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, sesetengah ulama ahli makrifat (ahli ilmu mengenai Allah) berkata: Rujukan istiqamah (tetap teguh) kepada dua hal, iaitu kebenaran iman kepada Allah dan mengikuti apa yang dibawa oleh Rasulullah sama ada lahir mahupun batin.

    Nabi SAW pernah bersabda (mafhumnya): Istiqamah (tetap teguh) dan jangan menghitung-hitung (amalan baikmu). Ketahuilah bahawa sebaik-baik amalan perbuatan kamu ialah solat dan tidak ada yang memelihara wuduk melainkan orang Mukmin (beriman). (Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 103)

  • Sesiapa menunjukkan perkara baik, dapat pahala seperti orang melakukannya

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 167, menyatakan:

    Muslim meriwayatkan: Daripada Abu Mas’ud Uqbah bin Amr al-Ansari al-Badri berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa memberi petunjuk kepada kebaikan, maka baginya seperti pahala pelakunya.

    PENJELASAN

    Dijelaskan dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 167: Permulaan riwayat ini, Abu Mas’ud berkata: Seorang lelaki datang menghadap Rasulullah SAW, lalu berkata: Sungguh kenderaanku binasa. Oleh itu berilah saya tumpangan. Baginda menjawab: Saya tidak ada. Lantas, sahabat lain berkata: Wahai Rasulullah, saya dapat menunjukkan kepadanya orang yang dapat memberikan tumpangan untuknya. Seterusnya Rasulullah bersabda: Sesiapa memberi petunjuk kepada kebaikan, maka baginya seperti pahala pelakunya.

    HURAIAN

    Sabda Rasulullah itu sewajarnya menjadi motivasi untuk kita membantu yang lain dalam menunjukkan suatu perkara membawa kebaikan – seperti menunjukkan jalan ke tempat yang baik contohnya tempat mengerjakan solat, menghadiri majlis ilmu, undangan perkahwinan, akikah dan tempat menaiki bas untuk tujuan baik dan banyak lagi. Ini juga menunjukkan bahawa Allah Maha Pemurah, Maha Kaya dan menyayangi hamba-Nya yang baik. Alhamdulillah, dalam budaya masyarakat Melayu sudah sebati dengan amalan sebegini.

  • Sesiapa ajak kepada kebaikan dapat pahala, kesesatan dapat dosa, seperti orang melakukannya

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 167, menyatakan:

    Muslim meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa mengajak kepada petunjuk, maka dia mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang mengikutinya, tidak berkurang yang demikian daripada pahala-pahala mereka, dan sesiapa mengajak kepada kesesatan, maka dia mendapat dosa sebagaimana dosa orang-orang mengikutinya, tidak berkurang yang demikian itu daripada dosa-dosa mereka.

    HURAIAN

    Hadis ini mengandungi mengandungi motivasi dan peringatan. Di sisi motivasi ialah orang yang mengajak kepada petunjuk, yakni petunjuk kebaikan akan mendapat pahala seperti orang lain yang melakukannya.

    Manakala di sisi peringatan ialah, orang mengajak kepada kesesatan, kejahatan atau hal dosa, maka akan mendapat dosa seperti orang lain yang melakukannya. Ini mesti diambil peringatan. Jangan kerana jahil, maka kita dapat dosa ‘free’.

  • Bantu, ganti orang melakukan hal baik dapat pahala seperti orang melakukannya

    Daripada Abu Abdur Rahman bin Zaid bin Khalid al-Juhani berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa menyiapkan (perbekalan) kepada seseorang yang berperang di jalan Allah, maka sungguh dia juga ikut berperang dan sesiapa menggantikan mengurus keluarga orang yang berperang dengan baik, sungguh dia juga (mendapat pahala) berperang.

    (Dinyatakan dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 170, hadis muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    HURAIAN

    Secara khusus seperti diterangkan dalam hadis itu ialah berkaitan perang/jihad fi sabilillah dan keutamaannya, membantu dalam menguruskan persediaannya, tanpa mengesampingkan kemaslahatan keluarga.

    Manakala secara umumnya boleh diambil pengajaran orang yang membantu dalam urusan yang baik dan mulia, maka baginya pahala seperti pelaku kebaikan itu. Begitu juga pahala bagi orang yang ganti tempat orang lain dalam suatu perkara baik, kerana orang itu mempunyai urusan baik lain yang lebih mustahak.

  • Seorang melakukan, dua orang dapat pahala

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 170, menyatakan:

    Muslim meriwayatkan: Daripada Abu Said al-Khudri RA, meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW mengutus suatu pasukan untuk memerangi Bani Lihyan daripada suku Hudzail, lalu baginda bersabda (mafhumnya): Hendaklah yang berangkat dari setiap dua orang hanya seorang daripada kedua-duanya dan kedua-duanya mendapat pahala.

    HURAIAN

    Hadis ini menjelaskan mengenai taktikal digunakan Rasulullah dalam jihad perang melawan musuh. Walaupun seorang yang berangkat atau bergerak, daripada setiap dua orang, manakala yang seorang lagi tidak, ganjaran pahala tetap diperolehi oleh kedua-duanya.

  • Menjilat jari untuk peroleh berkat

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 157-158, menyatakan: Muslim meriwayatkan: Daripada Jabir RA meriwayatkan: Bahawa Rasulullah SAW menyuruh menjilat jari-jari dan piring, dan bersabda: Sesungguhnya kamu semua tidak tahu di manakah ada berkatnya.

    PENJELASAN

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 157-158, dalam riwayat lain daripada Muslim disebutkan: Jika sesuap makanan seorang antara kamu jatuh, maka hendaklah dia mengambilnya, lalu hendaklah dia membuang kotoran yang melekat padanya, kemudian hendaklah dia memakannya dan janganlah makanan itu dibiarkan untuk syaitan, dan jangan pula seseorang mengusap tangannya dengan sapu tangan sehingga dia menjilat jari-jarinya terlebih dahulu, kerana sesungguhnya dia tidak mengetahui di bahagian makanan yang mana ada keberkatan.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 157-158, menjelaskan: Dalam riwayat Muslim juga disebutkan: Sesungguhnya syaitan akan datang kepada seseorang antara kamu di setiap keadaannya, bahkan syaitan juga datang kepada orang itu ketika dia makan. Maka, jika sesuap makanan seorang daripada kamu jatuh, maka hendaklah dia membuang kotoran-kotoran yang melekat padanya, kemudian hendaklah dia memakannya, dan jangan dibiarkan untuk syaitan.

    HURAIAN

    Hadis ini mengandungi anjuran baik dalam menzahirkan rasa syukurnya kita kepada Allah yang mengurniakan rezeki kepada kita, mengelakkan daripada membazir dan mensia-siakan rezeki atau lebihannya. Ia adalah kaedah asas.

  • Anak kecil boleh melakukan ibadat haji

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 170 menyatakan:

    Muslim meriwayatkan: Daripada Ibnu Abbas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bertemu dengan sekumpulan orang berkenderaan di Rauha’.

    Maka, baginda bertanya: Siapakah kaum ini?

    Mereka menjawab: (Kami kaum) muslimin.

    Maka, mereka bertanya: Siapa anda?

    Baginda menjawab: (Saya) Rasulullah.

    Maka, seorang perempuan mengangkat seorang anak kecil kepadanya (baginda), maka bertanya: Apakah anak ini boleh melakukan ibadat haji?

    Baginda menjawab: Ya, dan kamu mendapat pahala.

  • Keutamaan jaga diri daripada meminta-minta, berasa cukup dan sabar

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 56 menyatakan:

    Daripada Abu Said Sa’d bin Malik bin Sinan al-Khudriyy RA, bahawa ada beberapa orang daripada Ansar meminta-minta kepada Rasulullah, lalu baginda memberikan sesuatu kepada mereka, kemudian mereka meminta lagi dan baginda memberinya lagi, sehingga harta di sisi baginda habis.

    Seterusnya setelah baginda mendermakan semua harta di tangannya, baginda bersabda (mafhumnya):

    “Apa saja harta yang ada di sisiku, maka tidak sekali-kali akan kusimpan sehingga tidak kuberikan padamu semua.

    “Sesiapa yang menjaga diri (daripada meminta-minta daripada orang lain), maka dia akan diberikan rezeki kepuasan oleh Allah dan sesiapa yang berasa dirinya cukup, maka akan diberi kekayaan oleh Allah, dan sesiapa yang bersabar, maka dia akan diberi kesabaran oleh Allah.

    “Tiada seorang pun yang dikurniakan suatu pemberian yang lebih baik serta lebih luas daripada kesabaran.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

  • Kebaikan setiap sisi bagi orang mukmin

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 56 menyatakan:

    Daripada Abu Yahya Suhaib bin Sinan berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Sangatlah menakjubkan keadaan seorang mukmin. Sesungguhnya semua keadaannya merupakan kebaikan baginya dan kebaikan itu tidak dimiliki oleh seorang pun selain orang mukmin, iaitu apabila dia mendapat kelapangan hidup, lalu dia bersyukur, maka hal itu merupakan kebaikan baginya. Apabila dia ditimpa kesulitan, lalu dia bersabar, maka hal itu pun merupakan kebaikan baginya.” (Diriwayatkan oleh Muslim)

  • Fatimah di saat Nabi tenat dan wafat

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 57 menyatakan:

    Daripada Anas berkata: Ketika Nabi SAW sakitnya semakin tenat, maka baginda diliputi oleh kesusahan, kemudian Fatimah berkata: “Alangkah beratnya kesusahan dihadapi ayahanda.”

    Baginda lalu bersabda (mafhumnya): “Ayahmu tidak akan mengalami kesusahan lagi sesudah hari ini.”

    Selanjutnya, setelah baginda wafat, Fatimah berkata: “Aduhai ayahanda, baginda telah memenuhi panggilan Rabbnya. Aduhai ayahanda, syurga Firdaus adalah tempat kediamannya. Aduhai ayahanda, kepada Jibril kita sampaikan berita wafatnya.”

    Kemudian, setelah baginda dimakamkan, Fatimah berkata pula: “Mengapa hatimu semua berasa tenang dengan menyebarkan tanah di atas makam Rasulullah?” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)