Daripada Abu Abdur Rahman bin Zaid bin Khalid al-Juhani berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa menyiapkan (perbekalan) kepada seseorang yang berperang di jalan Allah, maka sungguh dia juga ikut berperang dan sesiapa menggantikan mengurus keluarga orang yang berperang dengan baik, sungguh dia juga (mendapat pahala) berperang.
(Dinyatakan dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 170, hadis muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)
HURAIAN
Secara khusus seperti diterangkan dalam hadis itu ialah berkaitan perang/jihad fi sabilillah dan keutamaannya, membantu dalam menguruskan persediaannya, tanpa mengesampingkan kemaslahatan keluarga.
Manakala secara umumnya boleh diambil pengajaran orang yang membantu dalam urusan yang baik dan mulia, maka baginya pahala seperti pelaku kebaikan itu. Begitu juga pahala bagi orang yang ganti tempat orang lain dalam suatu perkara baik, kerana orang itu mempunyai urusan baik lain yang lebih mustahak.









