Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 167, menyatakan:
Muslim meriwayatkan: Daripada Abu Mas’ud Uqbah bin Amr al-Ansari al-Badri berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa memberi petunjuk kepada kebaikan, maka baginya seperti pahala pelakunya.
PENJELASAN
Dijelaskan dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 167: Permulaan riwayat ini, Abu Mas’ud berkata: Seorang lelaki datang menghadap Rasulullah SAW, lalu berkata: Sungguh kenderaanku binasa. Oleh itu berilah saya tumpangan. Baginda menjawab: Saya tidak ada. Lantas, sahabat lain berkata: Wahai Rasulullah, saya dapat menunjukkan kepadanya orang yang dapat memberikan tumpangan untuknya. Seterusnya Rasulullah bersabda: Sesiapa memberi petunjuk kepada kebaikan, maka baginya seperti pahala pelakunya.
HURAIAN
Sabda Rasulullah itu sewajarnya menjadi motivasi untuk kita membantu yang lain dalam menunjukkan suatu perkara membawa kebaikan – seperti menunjukkan jalan ke tempat yang baik contohnya tempat mengerjakan solat, menghadiri majlis ilmu, undangan perkahwinan, akikah dan tempat menaiki bas untuk tujuan baik dan banyak lagi. Ini juga menunjukkan bahawa Allah Maha Pemurah, Maha Kaya dan menyayangi hamba-Nya yang baik. Alhamdulillah, dalam budaya masyarakat Melayu sudah sebati dengan amalan sebegini.









