Riyadus Solihin & Penjelasannya

  • Perang dengan tujuan kalimat Allah jadi tinggi, maka ia pada jalan Allah

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 30 menyatakan:

    Daripada Abu Musa Abdullah bin Qais al-Asy’ari berkata, Rasulullah ditanya mengenai seseorang yang berperang kerana ingin menunjukkan keberanian, ada lagi yang berperang kerana kesombongan dan ada pula yang berperang kerana riyak. Manakah antara semua itu yang termasuk berperang pada jalan Allah (fisabilillah)?

    Rasulullah menjawab: Sesiapa yang berperang dengan tujuan supaya kalimat Allah menjadi tinggi (menjadi luhur), maka ia pada jalan Allah (fisabilillah). (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

  • Allah tidak lihat pada tubuh dan rupa kamu, tapi pada hati

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 30 menyatakan:

    Muslim meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah Abdir Rahman bin Sakhr berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh-tubuh kamu sekalian, dan tidak pula kepada bentuk rupa kamu sekalian. Tetapi Dia melihat kepada hati-hati kamu sekalian.

  • Nafkah dengan niat reda Allah dapat pahala dan amalan kebaikan kerana reda Allah bertambah darjat

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 29 & 30 menyatakan:

    Daripada Abi Ishaq Sa’d bin Abi Waqas Malik bin Uhaib bin Abd Manaf bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Luai al-Qurasyi az-Zuhri – beliau adalah salah seorang daripada sepuluh orang yang diberi kesaksian akan masuk syurga.

    Dia berkata: Rasulullah datang kepadaku untuk menjengukku pada tahun haji wada’ kerana sakit berat yang menimpa diriku, lalu aku berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya sakit yang ada pada diriku telah mencapai keadaan yang engkau ketahui, sedangkan aku seorang yang berharta, dan tidak ada yang mewarisi hartaku melainkan seorang puteriku saja. Oleh kerana itu, apakah boleh jika aku menyedekahkan dua pertiga hartaku?

    Baginda menjawab: Jangan.

    Aku berkata lagi: Jika separuhnya, wahai Rasulullah?

    Baginda menjawab: Jangan juga.

    Aku melanjutkan: Sepertiga, bagaimana wahai Rasulullah?

    Baginda bersabda: Ya, baiklah. Sebenarnya sepertiga itu sudah banyak, atau sudah besar jumlahnya. Sesungguhnya jika engkau meninggalkan para ahli warismu dalam keadaan kaya (berharta), maka itu lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka dalam keadaan miskin, sehingga meminta-minta pada orang lain. Sesungguhnya tiada sesuatu nafkah yang engkau berikan dengan niat untuk mendapatkan keredaan Allah, melainkan engkau pasti akan mendapatkan pahalanya sekalipun makanan yang engkau berikan ke dalam mulut isterimu.

    Abu Ishaq melanjutkan riwayatnya: Aku berkata lagi: Apakah aku ditinggalkan (di Makkah) setelah kepulangan sahabat-sahabatku itu.

    Baginda bersabda: Sesungguhnya engkau tidak akan tertinggal. Kemudian apabila engkau melakukan suatu amalan kebaikan yang engkau maksudkan untuk mendapatkan keredaan Allah, melainkan darjat dan kedudukanmu akan bertambah. Barangkali sekalipun engkau ditinggalkan, tetapi nantinya akan ada beberapa kaum yang dapat mengambil manfaat daripadamu dan ada kaum lainnya yang mendapat mudarat lantaran dirimu. Wahai Allah, sempurnakanlah pahala untuk sahabat-sahabatku dalam hijrah mereka itu dan janganlah Engkau balikkan mereka pada tumit-tumit mereka (murtad). Tetapi yang miskin-rugi itu ialah Sa’ad bin Khaulah.

    Rasulullah berasa sangat kasihan padanya sebab matinya di Makkah. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

  • Amalan dan tindakan mengikut niat

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 28 menyatakan:

    Al-Bukhari meriwayatkan: Daripada Abi Yazid Ma’ni bin Yazid bin al-Akhnas, dia, bapanya dan datuknya termasuk golongan sahabat.

    Dia berkata: Adalah bapaku Yazid mengeluarkan beberapa dinar yang digunakan untuk bersedekah, lalu dinar-dinar itu dia letakkan di sisi seseorang dalam masjid. Lantas, aku datang dan mengambilnya. Kemudian, aku menemui ayahku, dengan membawa dinar-dinar itu.

    Lalu ayahku berkata: Demi Allah, bukan engkau yang aku kehendaki.

    Selanjutnya hal itu aku adukan kepada Rasulullah, lalu baginda bersabda: Bagimu, apa yang engkau niatkan wahai Yazid, sedangkan bagimu apa yang engkau ambil, wahai Ma’nu.

    HURAIAN

    Bacaan Ma’ni atau Ma’nu berubah bunyi akhirnya mengikut baris dalam susunan ayat Arab.

  • Tidak ada lagi hijrah selepas pembebasan Makkah

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 27 menyatakan:

    Daripada Aisyah (RAnha) berkata bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya):

    Tidak ada hijrah selepas pembebasan (pembukaan atau kemenangan Makkah), akan tetapi yang ada ialah jihad dan niat. Dan (oleh kerana itu), apabila kamu semua diminta untuk berangkat (berjihad), maka berangkatlah. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    HURAIAN

    Maknanya tiada lagi hijrah dari Makkah.

  • Dibangkitkan kelak berdasarkan niat

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 27 menyatakan:

    Daripada Ummul Mukminin, Ummu Abdillah yakni Aisyah (RAnha) berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    Ada sepasukan tentera yang hendak memerangi Kaabah. Ketika mereka berada di suatu padang pasir dari tanah lapang, lalu dibenamkan orang pertama hingga yang terakhir daripada mereka.

    Dia (Aisyah) berkata: Saya berkata: Wahai Rasulullah! Bagaimana dibenamkan daripada yang pertama dan yang terakhir mereka, sedangkan antara mereka ada pedagang di pasar dan yang tidak termasuk golongan mereka?

    Baginda berkata: Dibenamkan dengan yang pertama dan yang akhir mereka, kemudian mereka dibangkitkan berdasarkan niat-niat mereka. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim — Redaksi hadis ini oleh al-Bukhari)

  • Amalan dengan niat, setiap orang apa yang dia niatkan

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 25 & 26 menyatakan:

    Abdullah bin Qurth bin Razah bin ‘Adi bin Ka’ab bin Luai bin Ghalib al-Qurasyi al-‘Adawi berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    Sesungguhnya amalan-amalan dengan niat-niat dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Maka, sesiapa adalah hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa adalah hijrahnya untuk dunia hendak diperolehinya, atau seorang wanita hendak dinikahinya, maka hijrahnya kepada apa yang dia hijrah kepadanya. (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)