hadis

  • Adab apabila bawa senjata di khalayak

    Daripada Abu Musa RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    “Sesiapa berjalan di suatu tempat dari masjid-masjid kita atau pasar-pasar kita, sedang dia membawa anak panah, maka hendaklah dia memegang atau menggenggam hujung-hujungnya dengan telapak tangannya, sebab dikhuatirkan dengan anak panahnya akan kena seseorang daripada orang-orang muslimin.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    HURAIAN

    Hadis ini menunjukkan perintah menggenggam hujung anak panah. Demikian pada pedang, pisau dan lain-lain, menyimpan peluru dari senjata api kerana khuatir kena pada seseorang.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 202/203.

  • Orang beriman umpama satu tubuh

    Daripada An-Nu’man bin Basyir RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    “Perumpamaan orang-orang mukminin dalam hal saling menyayangi, saling mengasihi dan saling bersimpati adalah bagaikan tubuh. Jika salah satu anggota daripada tubuh merasai sakit, maka seluruh tubuh akan turut merasainya, dengan tidak tidur serta berasa panas.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 203.

  • Antara hal menjelang kiamat, orang ingin ganti orang dalam kubur

    Al-Bukhari meriwayatkan — daripada Abu Hurairah RA, dia berkata: Pernah saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tidak akan terjadi kiamat, sehingga seseorang melalui kubur orang lain, lalu dia berkata; andai aku menggantikan tempatnya.

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, halaman 48.

  • Keutamaan berbuka puasa dengan kurma dan air

    Daripada Salman bin Amir adh-Dhabbiy as-Sohabi RA daripada Nabi SAW, baginda bersabda (mafhumnya): Apabila seorang daripada kamu berbuka (berbuka puasa), maka berbukalah dengan kurma, jika tidak ada, maka berbukalah dengan air. Maka, sesungguhnya ia (air) adalah pembersih (atau menyucikan). (Diriwayat oleh Abu Dawud dan at-Tirmidzi. Tirmidzi berkata, hadis ini hasan sahih)

    PENJELASAN

    Sabda baginda “maka berbukalah dengan kurma”, Tirmidzi menambahkan “kerana (kurma) itu berkat”. Hikmahnya adalah ketika di dalam perut ada sisa-sisa makanan, kurma menghilangkan sisa-sisa itu dan jika tidak ada, kurma menjadi sumber makanan, selain kurma juga menyatukan kembali cahaya penglihatan yang berserakan (bertaburan) kerana puasa.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 743.

  • Allah cinta kepada orang segera berbuka puasa

    Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Allah (Azza wa Jalla) berfirman, hamba-hamba-Ku yang paling Aku cintai adalah yang paling menyegerakan berbuka (berbuka puasa). (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia berkata hadis ini hasan)

    HURAIAN

    Allah berfirman maksudnya: Katakanlah (Muhammad) ‘jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kamu dan mengampuni dosa-dosa kamu’. Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.” (Surah Ali-Imran, ayat 31)

    Sumber hadis: Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 741.

  • Segera untuk Maghrib dan berbuka puasa

    Daripada Abu Athiyah, dia berkata: Aku bersama Masruq masuk menemui Aisyah RA (Radhiallahu Anha). Masruq kemudian bertanya, ada dua sahabat Muhammad SAW, kedua-duanya tiada lalai daripada kebaikan, seorang daripadanya menyegerakan Maghrib dan berbuka, dan yang lain (seorang lagi) mengakhirkan Maghrib dan berbuka? Aisyah bertanya: Siapa yang menyegerakan Maghrib dan berbuka? Masruq menjawab: Abdullah — iaitu (Abdullah) Ibnu Mas’ud. Aisyah berkata: Itulah yang dilakukan oleh Rasulullah. (Diriwayat oleh Muslim)

    HURAIAN

    Hadis ini mengandungi anjuran agar menyegerakan untuk solat Maghrib dan berbuka puasa apabila masuk waktunya.

    Sumber hadis: Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 740.

  • Anjuran segera berbuka puasa

    Daripada Sahl bin Saad RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Manusia akan sentiasa dalam kebaikan selama (atau selagi) mereka menyegerakan berbuka puasa. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzi)

    PENJELASAN

    Ahmad menambahkan daripada riwayat Abu Dzar (bermaksud) “dan mereka mengakhirkan sahur.”

    Disebutkan dalam satu riwayat: “Umatku akan sentiasa berpegang pada sunahku selama mereka tidak menunggu (terbitnya) bintang-bintang saat berbuka.”

    Sumber hadis dan penjelasan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 740.

  • Sahur membezakan puasa Muslim dan ahli kitab

    Daripada Amr bin As RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Pembeza antara puasa kita dengan puasa ahli kitab adalah makan sahur. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Hadis ini menunjukkan sahur termasuk satu daripada identiti dan keistimewaan umat Islam.

    Sumber hadis: Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 740.

  • Anjuran bersahur, berkat padanya

    Daripada Anas RA, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Bersahurlah kamu! Maka, sesungguhnya pada sahur ada keberkatan. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi dan Nasai)

    Sumber hadis: Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 740.

  • Doa Nabi apabila melihat hilal

    Daripada Talhah bin Ubaidullah RA, apabila melihat hilal (anak bulan) Nabi SAW membaca (mafhumnya): Wahai Allah munculkanlah ia kepada kami dengan aman dan iman, selamat dan Islam, Rabbku (Tuhanku) dan Rabbmu (Tuhanmu) Allah, hilal petunjuk dan kebaikan.” (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, dia berkata hadis ini [statusnya] hasan)

    HURAIAN

    Hadis ini mengandungi anjuran agar berdoa apabila melihat hilal.

    Sumber hadis: Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 737.