hadis

  • Orang mencegah dan orang melanggar larangan Allah diumpamakan dua kumpulan di dalam kapal

    Menurut buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 176/177:

    Daripada an-Nu’man bin Basyir RA meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Perumpamaan orang yang berdiri untuk mencegah larangan-larangan Allah dan orang yang melanggar larangan-larangan-Nya adalah bagaikan suatu kaum yang melakukan pemilihan di dalam sebuah kapal. Sehingga sesetengah daripada mereka berada di bahagian atas kapal, sedangkan sesetengah yang lainnya berada di bahagian bawah kapal. Orang-orang yang berada di bahagian bawah kapal apabila hendak mengambil air, tentu saja melalui orang-orang yang berada di atasnya, maka mereka berkata, “bagaimana seandainya kita membuat lubang saja di bahagian bawah kita ini, tentu tidak mengganggu orang berada di atas kita”. Maka, jika orang di bahagian atas membiarkan orang di bahagian bawah melakukan kehendaknya, pasti mereka akan binasa semua. Tetapi jika (orang di bahagian atas) mencegah tangan orang di bahagian bawah, tentu mereka selamat dan selamat semuanya. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    PENJELASAN

    Hadis ini menunjukkan bahawa seksaan orang-orang melakukan maksiat dapat merata (meliputi) kepada semua orang apabila tidak ada yang melakukan amar ma’ruf nahi munkar (menyuruh kebaikan dan mencegah kemungkaran).

    Firman Allah bermaksud: “Dan jagalah diri kamu daripada berlakunya dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan saja akan menimpa orang-orang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum)…” (Surah al-Anfal, 25)

  • Celaka bagi bangsa Arab, penutup Yakjuj dan Makjuj terbuka

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 178:

    Daripada Ummul Mukminin Ummul Hakam Zainab binti Jahsy RAnha meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW masuk ke rumahnya dalam keadaan panik, lalu mengucapkan: La ilaaha illallaah (ertinya: tiada tuhan melainkan Allah). Kecelakaan bagi bangsa Arab, kerana adanya keburukan yang telah dekat. Pada hari itu penutup Yakjuj dan Makjuj telah terbuka seperti ini.

    Dan baginda membentukkan bulatan dengan kedua-dua jarinya yakni ibu jari dan jari sebelahnya (jari telunjuk).

    Maka, saya bertanya, wahai Rasulullah, apakah kami akan binasa, sedangkan dalam kalangan kami masih ada orang-orang soleh?

    Baginda menjawab: Ya, apabila keburukan itu telah banyak. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan Ahmad)

  • Punca doa tidak diterima

    Menurut buku Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 180:

    Daripada Hudzaifah meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Demi Zat yang jiwaku berada dalam genggaman kekuasaan-Nya, perintahkanlah oleh kamu dengan kebaikan dan cegah kemungkaran atau jika tidak, maka sungguh hampir-hampir saja Allah akan menurunkan seksa kepada kamu, kemudian kamu berdoa kepada-Nya, tetapi doa kamu tidak akan diterima. (Hadis diriwayatkan oleh Tirmidzi. Dia berkata hadis ini [status] hasan)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengisyaratkan apabila kemungkaran tidak diingkari, maka kesialan akan menyeluruh berupa kezaliman penguasa atau dikuasai musuh dan sebagainya.

  • Petunjuk dan ilmu dibawakan oleh Nabi SAW bagaikan hujan menyirami bumi

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 156:

    Daripada Abu Musa RA berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya perumpamaan petunjuk dan ilmu yang saya diutus oleh Allah untuk membawanya ialah bagaikan hujan yang menyirami bumi. Di antara bumi ada bahagian yang baik. Tanah bahagian ini dapat menerima air, sehingga ia dapat menumbuhkan rumput dan lalang yang banyak sekali, dan di antara bumi ada pula yang gersang. Tanah bahagian ini dapat menahan air. Maka, Allah memberikan manfaat kepada manusia dengan tanah ini, kerana mereka dapat minum daripadanya, dapat menyiram dan menanam.

    Ada pula hujan menyiram bahagian bumi yang lain. Tanah ini hanyalah merupakan tanah rata lagi licin, tidak dapat menahan air dan tidak dapat menumbuhkan rumput.

    Jadi, itulah perumpamaan orang yang pandai dalam agama Allah dan dapat pula memberikan manfaat dengan apa yang saya diutus oleh Allah untuk membawanya, lalu dia dapat memahami dan mengajarkannya, dan perumpamaan orang yang enggan mengangkat kepala untuk menerima petunjuk dan ilmu dan tidak menerima petunjuk Allah yang saya diutus untuk membawanya. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

  • Makan dengan tangan kanan

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 155:

    Daripada Abu Muslim, dan ada dikatakan Abi Iyas Salamah bin Amr bin Al-Akwa RA, meriwayatkan bahawa ada seorang lelaki makan di samping Rasulullah SAW dengan tangan kirinya.

    Kemudian baginda bersabda (mafhumnya): Makanlah dengan tangan kanan anda.

    Orang itu berkata: Saya tidak dapat.

    Baginda bersabda (mafhumnya): Anda tidak akan dapat.

    Tidak ada yang mencegahnya melakukan hal itu kecuali kerana keangkuhannya. Akhirnya dia tidak dapat mengangkat tangan kanannya ke mulutnya. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi pensyariatan makan dengan tangan kanan.

  • Hendaklah menyamakan saf

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 155:

    Daripada Abu Abdillah an-Nukman bin Basyir RA meriwayatkan: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya), hendaklah kamu benar-benar meratakan (menyamakan) saf kamu, atau Allah akan membalikkan antara wajah-wajah kamu semua. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Dalam riwayat Muslim disebutkan: Rasulullah SAW meratakan saf-saf kami sehingga baginda seakan-akan meratakan letaknya anak panah sehingga baginda meyakinkan bahawa kami semua telah mengerti mengenainya. Kemudian, pada suatu hari baginda keluar, lalu baginda berdiri sehingga hampir baginda bertakbir, tiba-tiba baginda melihat seorang lelaki yang menonjolkan dadanya, lalu baginda bersabda (mafhumnya): Hai hamba-hamba Allah, hendaklah kamu semua benar-benar meratakan saf-saf kamu semua atau Allah membalikkan antara wajah-wajah kamu semua.

  • Sesiapa mengada-adakan, tertolak

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 163:

    Daripada Aisyah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa yang mengada-adakan dalam urusan kita ini sesuatu yang tidak termasuk bahagian daripadanya (agama), maka dia tertolak. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Dalam riwayat Imam Muslim juga disebutkan: Sesiapa melakukan suatu amalan yang tiada perintah daripada kami ke atasnya (amalan itu), maka dia tertolak.

    Hadis ini termasuk dasar dan kaedah agama. Oleh kerana itu, hadis ini dijadikan dalil untuk membatalkan akad-akad yang dilarang dan menolak hal-hal baru dan hal-hal dilarang.

  • Umpama belalang dan kupu-kupu jatuh ke dalam api

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 157:

    Daripada Jabir RA berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Perumpamaan saya dan perumpamaan kamu semua adalah bagaikan seorang lelaki yang menyalakan api, kemudian banyak belalang dan kupu-kupu jatuh ke dalam api, sedangkan orang itu mencegahnya jangan masuk ke situ. Dan saya adalah seorang yang merintangi kamu semua dari neraka. Tetapi kamu masih juga hendak lepas daripada pegangan saya. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

  • Agama adalah nasihat

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 171-172:

    Daripada Abu Ruqayyah Tamim bin Aus ad-Dari meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Agama adalah nasihat.

    Kami berkata: Untuk siapa?

    Baginda berkata: Bagi Allah, bagi kitab-Nya, bagi rasul-Nya, bagi pemimpin-pemimpin muslimin serta bagi umat Islam secara umum. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

  • Cintai saudara seperti cintai untuk diri sendiri

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 172:

    Daripada Anas meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga dia mencintai untuk saudaranya hal-hal yang dia cintai untuk dirinya sendiri. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)