hadis

  • Taubat sebelum nyawa sampai ke tenggorak

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 38 menyatakan:

    At-Tirmidzi meriwayatkan (dan dia berkata hadis ini adalah hadis hasan [statusnya]): Daripada Abi Abdirrahman Abdillah bin Umar al-Khattab RA, daripada Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selama nyawanya belum sampai di tenggorak.

  • Kisah seorang bunuh 99+1 dan ingin taubat

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, 41 menyatakan:

    Daripada Abi Said Sa’d bin Malik bin Sinan al-Khudriyy RA, bahawa Nabi Allah SAW bersabda (mafhumnya):

    Pernah terjadi kepada umat sebelum kamu seorang yang membunuh sembilan puluh sembilan orang. Lantas dia mencari orang paling alim di muka bumi ini. Lalu dia ditunjukkan agar datang kepada seorang rahib. Dia pun datang kepada rahib itu. Dia mengatakan bahawa dirinya telah membunuh sembilan puluh sembilan orang, apakah masih ada pintu taubat untuknya? Rahib menjawab: Tidak ada. Lalu dia membunuh rahib itu, sehingga orang yang dibunuh olehnya genap seratus orang.

    Kemudian dia mencari lagi orang paling alim di muka bumi ini, sehingga dia ditunjukkan agar datang kepada seorang lelaki yang alim. Dia berkata kepadanya, bahawa dirinya telah membunuh seratus orang. Apakah masih ada pintu taubat baginya? Orang alim itu menjawab: Ya, masih ada. Siapa yang menghalangi antara seseorang dengan taubatnya! Pergilah ke daerah ini dan ini. Sungguh di daerah itu terdapat orang-orang yang beribadat kepada Allah. Beribadatlah kepada Allah bersama mereka. Engkau jangan kembali ke daerahmu, kerana daerahmu adalah tempat yang buruk. Dia pun berangkat.

    Ketika dia sampai di pertengahan jalan datanglah waktu kematiannya. Akhirnya malaikat pembawa rahmat dan malaikat pembawa azab berselisih (berlaku perselisihan). Malaikat rahmat mengatakan, dia datang dalam keadaan bertaubat, seraya menghadapkan hatinya kepada Allah. Sedangkan malaikat azab berkata, sungguh dia belum pernah melakukan amalan kebaikan sama sekali.

    Lantas malaikat yang menjelma manusia datang kepada mereka. Mereka menjadikan malaikat itu sebagai pemutus hukum antara mereka berdua.

    “Ukurlah jarak tempat dia meninggal dengan kedua-dua daerah. Daerah yang paling dekat di antara kedua-duanya itu, maka dia dihukumi sesuai dengan daerah itu.”

    Lantas mereka mengukurnya, dan ternyata dia lebih dekat ke daerah tujuannya. Seterusnya malaikat rahmat yang mendapatkannya. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

    Dalam riwayat sahih lain disebutkan: Ternyata dia lebih dekat ke desa yang baik dengan terpaut sejengkal. Oleh kerana itu, dia dianggap termasuk penduduk daerah itu.”

    Dalam riwayat sahih lain, disebut: Allah memberi ilham kepada desa ini (desa yang dia tinggalkan) agar menjauh dan memberi ilham kepada desa ini (desa yang dia tuju) agar mendekat. Dia berkata: Ukurlah jarak di antara dia dengan kedua-dua desa itu, maka mereka mendapatinya lebih dekat ke desa ini dengan terpaut satu jengkal, lalu Allah memberi keampunan kepadanya.

    Dalam riwayat lain lagi disebutkan: Orang terbabit bergerak dengan dadanya ke arah tempat yang dituju.

  • Taubat seorang wanita yang sungguh-sungguh

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 51 & 52 menyatakan:

    Daripada Abi Nujaid Imran bin Husoin al-Khuza’i RA bahawa ada seorang perempuan daripada suku Juhainah datang kepada Rasulullah SAW dan dia dalam keadaan hamil, kerana perbuatan zina.
    Kemudian, dia berkata: Wahai Rasulullah, saya telah melakukan suatu perbuatan yang harus dikenakan had (hukuman had), maka lakukanlah had itu ke atas diriku.

    Nabi Allah SAW lalu memanggil wali perempuan terbabit, lalu baginda bersabda (mafhumnya): Berbuat baiklah kepada perempuan ini dan apabila dia telah melahirkan, maka datanglah ke mari.

    Wali itu melakukan apa yang telah diperintahkan.

    Kemudian Nabi SAW memerintahkan untuk melaksanakan hukuman itu. Selanjutnya perempuan itu diikatkan dengan pakaiannya, kemudian direjam. Selanjutnya baginda melakukan solat jenazah perempuan itu.

    Umar berkata kepada baginda: Apakah anda melakukan solat jenazahnya wahai Rasulullah, padahal dia telah berbuat zina?

    Baginda bersabda (mafhumnya): Dia telah bertaubat dengan sungguh-sungguh, seandainya taubatnya itu dibagikan kepada tujuh puluh orang daripada penduduk Madinah, pasti masih mencukupi. Adakah engkau pernah menemui seseorang yang lebih utama daripada orang yang mendermakan jiwanya kerana Allah. (Diriwayatkan oleh Muslim)

  • Halobanya manusia kepada harta, Allah terima taubat orang bertaubat

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, 52 menyatakan:

    Daripada Ibn Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Andai seorang anak Adam memiliki selembah emas, dia tentu menginginkan memiliki dua lembah, dan tidak akan dapat memenuhi mulutnya melainkan tanah dan Allah menerima taubat orang yang bertaubat. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

  • Dua orang berperang, kedua-duanya masuk syurga

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, 53 menyatakan:

    Daripada Abi Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Allah tertawa (senang) kepada dua orang. Seorang daripada kedua-duanya membunuh yang lainnya, kemudian kedua-duanya masuk syurga. Yang seorang itu berperang di jalan Allah, kemudian dia dibunuh. Selanjutnya Allah menerima taubat atas orang yang membunuhnya tadi, lalu dia masuk Islam dan selanjutnya dia mati syahid. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

  • Solat adalah nur, sedekah bukti, sabar cahaya dan Quran menjadi hujah

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 55 menyatakan:

    Muslim meriwayatkan: Daripada Abi Malik al-Harits bin Asim al-Asy’ari RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Bersuci adalah sebahagian iman, (ucapan) alhamdulillah memenuhi timbangan, (ucapan) subhanallah dan alhamdulillah dapat memenuhi atau mengisi penuh antara langit dan bumi. Solat adalah nur, sedekah adalah bukti, sabar adalah cahaya pula, al-Quran dapat menjadi hujah yang membelamu dan dapat pula sebagai hujah yang memberatkanmu. Setiap orang berpagi-pagi, maka ada yang menjual dirinya (kepada Allah) bererti dia membebaskan dirinya sendiri atau merosakkan dirinya sendiri.

  • Catatan mengenai kebaikan dan keburukan

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 32 menyatakan:

    Daripada Abu al-Abbas Abdullah bin Abbas bin Abdul Muttalib meriwayatkan, daripada Rasulullah SAW dalam suatu riwayat yang diceritakan daripada Rabbnya, baginda bersabda (mafhumnya):

    Sesungguhnya Allah mencatat semua kebaikan dan keburukan, kemudian menjelaskan hal itu. Sesiapa berkehendak mengerjakan kebaikan, kemudian tidak jadi melakukannya, maka Allah Yang Maha Suci dan Tinggi mencatatnya sebagai suatu kebaikan yang sempurna di sisi-Nya, dan sesiapa berkehendak mengerjakan kebaikan, kemudian jadi melakukannya, maka Allah mencatatnya sebagai sepuluh kebaikan di sisi-Nya, hingga berganda menjadi tujuh ratus kali ganda, bahkan lebih, menjadi sangat banyak.

    Seterusnya, sesiapa yang berkehendak mengerjakan keburukan, kemudian tidak jadi melakukannya, maka Allah mencatatnya sebagai suatu kebaikan yang sempurna di sisi-Nya, dan sesiapa berkehendak mengerjakan keburukan, kemudian jadi melakukannya, maka Allah mencatatnya sebagai satu keburukan saja di sisi-Nya. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

  • Kelebihan melaksanakan solat secara berjemaah

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 31 menyatakan:

    Daripada Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    Solat seorang lelaki dengan berjemaah melebihi solatnya di pasar atau rumahya dengan terpaut dua puluh sekian tingkat darjatnya.

    Hal ini kerana apabila seseorang berwuduk dan melakukannya dengan baik, kemudian datang ke masjid, tidak ada yang mendorongnya ke masjid melainkan untuk solat, dan tidak ada keinginan lain kecuali solat, maka setiap kali dia melangkah kakinya selangkah, melainkan dinaikkan baginya satu darjat dan dilebur daripadanya satu kesalahan sampai dia masuk ke dalam masjid.

    Apabila dia masuk ke dalam masjid, maka dia memperoleh pahala sebagaimana dalam keadaan solat, selama solat itu yang menyebabkan dia bertahan di dalam masjid, dan para malaikat mendoakan seorang antara kamu agar mendapatkan rahmat, selama dia masih berada di tempat solat.

    Para malaikat berdoa: Wahai Allah, kasihanilah orang ini. Wahai Allah, ampunilah dia. Wahai Allah, terimalah taubatnya.

    Hal ini berlangsung selama orang terbabit tidak berbuat keburukan dan selama dia belum berhadas. (Diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim – lafaz hadis ini oleh Muslim)

  • Dua muslim berperang, yang membunuh dan terbunuh masuk neraka

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, 31 menyatakan:

    Daripada Abi Bakrah Nufai’ bin al-Harib ats-Tsaqafiyy, bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Apabila dua orang Muslim berhadap-hadapan dengan membawa pedangnya masing-masing, maka yang membunuh dan yang terbunuh masuk neraka.

    Saya bertanya: Ini yang membunuh (sudah jelas) tetapi bagaimana dengan orang yang terbunuh?

    Rasulullah menjawab: Sesungguhnya orang yang terbunuh itu ingin juga membunuh kawannya. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

  • Perang dengan tujuan kalimat Allah jadi tinggi, maka ia pada jalan Allah

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 30 menyatakan:

    Daripada Abu Musa Abdullah bin Qais al-Asy’ari berkata, Rasulullah ditanya mengenai seseorang yang berperang kerana ingin menunjukkan keberanian, ada lagi yang berperang kerana kesombongan dan ada pula yang berperang kerana riyak. Manakah antara semua itu yang termasuk berperang pada jalan Allah (fisabilillah)?

    Rasulullah menjawab: Sesiapa yang berperang dengan tujuan supaya kalimat Allah menjadi tinggi (menjadi luhur), maka ia pada jalan Allah (fisabilillah). (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)