hadis

  • Keutamaan jaga diri daripada meminta-minta, berasa cukup dan sabar

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 56 menyatakan:

    Daripada Abu Said Sa’d bin Malik bin Sinan al-Khudriyy RA, bahawa ada beberapa orang daripada Ansar meminta-minta kepada Rasulullah, lalu baginda memberikan sesuatu kepada mereka, kemudian mereka meminta lagi dan baginda memberinya lagi, sehingga harta di sisi baginda habis.

    Seterusnya setelah baginda mendermakan semua harta di tangannya, baginda bersabda (mafhumnya):

    “Apa saja harta yang ada di sisiku, maka tidak sekali-kali akan kusimpan sehingga tidak kuberikan padamu semua.

    “Sesiapa yang menjaga diri (daripada meminta-minta daripada orang lain), maka dia akan diberikan rezeki kepuasan oleh Allah dan sesiapa yang berasa dirinya cukup, maka akan diberi kekayaan oleh Allah, dan sesiapa yang bersabar, maka dia akan diberi kesabaran oleh Allah.

    “Tiada seorang pun yang dikurniakan suatu pemberian yang lebih baik serta lebih luas daripada kesabaran.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

  • Kebaikan setiap sisi bagi orang mukmin

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 56 menyatakan:

    Daripada Abu Yahya Suhaib bin Sinan berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Sangatlah menakjubkan keadaan seorang mukmin. Sesungguhnya semua keadaannya merupakan kebaikan baginya dan kebaikan itu tidak dimiliki oleh seorang pun selain orang mukmin, iaitu apabila dia mendapat kelapangan hidup, lalu dia bersyukur, maka hal itu merupakan kebaikan baginya. Apabila dia ditimpa kesulitan, lalu dia bersabar, maka hal itu pun merupakan kebaikan baginya.” (Diriwayatkan oleh Muslim)

  • Fatimah di saat Nabi tenat dan wafat

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 57 menyatakan:

    Daripada Anas berkata: Ketika Nabi SAW sakitnya semakin tenat, maka baginda diliputi oleh kesusahan, kemudian Fatimah berkata: “Alangkah beratnya kesusahan dihadapi ayahanda.”

    Baginda lalu bersabda (mafhumnya): “Ayahmu tidak akan mengalami kesusahan lagi sesudah hari ini.”

    Selanjutnya, setelah baginda wafat, Fatimah berkata: “Aduhai ayahanda, baginda telah memenuhi panggilan Rabbnya. Aduhai ayahanda, syurga Firdaus adalah tempat kediamannya. Aduhai ayahanda, kepada Jibril kita sampaikan berita wafatnya.”

    Kemudian, setelah baginda dimakamkan, Fatimah berkata pula: “Mengapa hatimu semua berasa tenang dengan menyebarkan tanah di atas makam Rasulullah?” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

  • Pesan Nabi agar bertakwa, bersabar

    Dalaman Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 62 menyatakan:

    Daripada Anas RA berkata: Suatu ketika Nabi berjalan melewati seorang perempuan yang sedang menangis di samping sebuah kubur. Baginda bersabda (mafhumnya): “Bertakwalah kepada Allah dan bersabarlah.”

    Perempuan itu berkata: “Menjauhlah dariku, kerana engkau tidak mengalami musibah sebagaimana musibahku dan engkau tidak mengetahuinya.”

    Seterusnya dikatakan kepada perempuan itu bahawa yang bersabda (berkata) tadi adalah Nabi.

    Lantas dia datang ke rumah Nabi, ternyata di depan pintu itu dia tidak menemui penjaga pintu.
    Perempuan itu berkata: “Saya memang tidak mengenali anda.”

    Kemudian baginda bersabda: “Sesungguhnya bersabar itu pada saat permulaan datangnya musibah.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim & Abu Daud)

  • Ikhlas, beroleh ganjaran syurga

    Dalaman Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 62 menyatakan:

    Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Allah Taala berfirman, tidak ada balasan bagi seseorang hamba-Ku yang mukmin di sisi-Ku ketika Aku mengambil kekasihnya dari penduduk dunia, kemudian dia ikhlas menerima melainkan syurga.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

  • Taun, pahala seperti orang mati syahid

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 63 menyatakan:

    Aisyah meriwayatkan bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah SAW perihal penyakit taun, lalu baginda memberitahukannya, bahawa sesungguhnya dahulu taun merupakan seksaan yang dikirimkan oleh Allah Taala kepada siapa saja yang Dia kehendaki, lalu Allah Taala menjadikannya sebagai rahmat kepada orang-orang mukmin. Maka, tidak ada seorang hamba pun yang tertimpa taun, kemudian menetap di daerah seraya bersabar dan mengharapkan keredaan daripada Allah serta mengetahui bahawa taun tidak akan menimpanya kecuali telah ditetapkan oleh Allah kepadanya, melainkan dia akan memperoleh seperti pahala orang yang mati syahid. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

  • Bersabar, diberikan ganjaran syurga

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 63 menyatakan:

    Daripada Anas berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla berfirman, “jikalau Aku memberi cubaan kepada hamba-Ku dengan melenyapkan kedua-dua benda yang disayanginya, kemudian dia bersabar, maka Aku akan memberikan ganti kepadanya syurga.” Yang dimaksudkan ialah kehilangan kedua-dua matanya. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

  • Seorang perempuan berkulit hitam termasuk ahli syurga kerana bersabar terhadap penyakit dihidapinya

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, 63 & 64 menyatakan:

    Daripada Atha bin Abi Rabah berkata: Ibn Abbas berkata kepadaku, Apakah kamu mahu saya tunjukkan seorang perempuan yang termasuk ahli syurga?

    Saya berkata: Baiklah.

    Dia melanjutkan: Perempuan berkulit hitam itu pernah datang kepada Nabi, lalu dia berkata: Sesungguhnya saya diserang oleh penyakit ayan dan kerana (penyakit itu) aurat saya terbuka. Maka, berdoalah kepada Allah untuk saya.

    Baginda bersabda (mafhumnya): Jika engkau mahu, hendaklah bersabar saja dan bagimu syurga, tetapi jika engkau berkehendak, maka saya akan berdoa kepada Allah agar menyembuhkan penyakitmu.

    Lantas perempuan itu berkata: Saya bersabar saja. Lalu berkata lagi: Sesungguhnya kerana penyakit ini aurat saya terbuka, maka berdoalah kepada Allah agar aurat saya tidak sampai terbuka. Kemudian Nabi mendoakannya. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

  • Sabarnya nabi Allah dalam berdakwah

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 64 menyatakan:

    Daripada Abu Abdirrahman Abdillah bin Mas’ud RA berkata: Seakan-akan saya melihat Rasulullah sedang menceritakan mengenai seorang nabi di antara para nabi, solawaatullaahi wasalaamuhu alaihim. Nabi itu dipukul oleh kaumnya sampai keluar darah dan nabi itu mengusap darah dari wajahnya sambil mengucapkan; “Wahai Allah, ampunilah kaum hamba ini, sebab mereka tidak mengerti”. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

  • Sebaik-baik ungkapan Kitabullah, sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Nabi dan seburuk-buruk perkara hal diada-adakan

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 163-164 menyatakan:

    Daripada Jabir RA berkata: Apabila Rasulullah SAW berkhutbah, maka kedua-dua mata baginda merah padam, suaranya nyaring, kelihatan sangat marah sehingga seakan-akan baginda seorang yang memberikan peringatan kepada para tentera yang mengatakan: (Berhati-hatilah) pagi-pagi ini atau petang musuh akan menyerang kamu. Baginda bersabda: Saya diutus, sedang saya dengan terjadinya kiamat bagaikan dua jari ini. Baginda merapatkan antara jari telunjuk dan jari tengah. Baginda bersabda pula: Amma Ba’du. Maka, sesungguhnya sebaik-baik ungkapan adalah Kitabullah dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad SAW, sedang seburuk-buruk perkara ialah hal-hal yang diada-adakan dan semua bidaah adalah sesat.

    Seterusnya baginda bersabda: Saya lebih berhak terhadap setiap mukmin daripada dirinya sendiri. Sesiapa meninggalkan harta, maka harta itu milik keluarganya dan sesiapa yang meninggalkan hutang atau memiliki tanggungan, maka itu adalah kepadaku dan menjadi tanggunganku. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Diriwayatkan daripada Irbadh bin Sariyah — dalam hadis itu terdapat ungkapan: “Sesungguhnya sesiapa antara kamu yang hidup dan melihat perbezaan yang banyak, maka tetaplah mengikuti sunahku…”