Menurut Huru-hara Hari Kiamat, halaman 158:
Imam Ahmad meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda (mafhumnya – yang dapat difahami):
Kiamat tidak akan terjadi sebelum waktu (terasa) saling berdekatan. Maka, adalah setahun seperti sebulan. Dan adalah sebulan seperti (setiap kali) Jumaat, seperti seharian, dan adalah seharian seperti sejam. Dan sejam seperti lamanya membakar daun kurma.
HURAIAN
Waktu terasa pantas berlalu terutama bagi orang dalam kesenangan – belum sempat merasai semua nikmat dunia, usianya sudah tua, jatuh sakit dan kurang upaya. Selepas direnung-renung, barulah orang terbabit sedar, bahawa tangkas dan lincahnya bersama harta dibolot hanya sebentar.
Orang hidup susah biasanya terasa lama masa berlalu. Dalam keadaan lapar dan dahaga, manusia juga berasa lama, seperti berpuasa siang hari, dirasakan cukup lama untuk tiba waktu berbuka. Itu pun bagi sesetengah orang.
Sekarang, orang masuk penjara untuk beberapa bulan atau beberapa tahun, terasa sebentar saja, dan mungkin kerana itu mereka yang dihukum memilih penjara daripada dikenakan hukuman lain.