Fasa fitnah dan kemunculan dajal

Menurut Huru-hara Hari Kiamat, halaman 56:

Abu Daud meriwayatkan bahawa perawi hadis ini berkata: Aku telah mendengar Abdullah bin Umar berkata: Kami pernah duduk di sisi Rasulullah SAW, baginda menerangkan panjang lebar mengenai pelbagai jenis huru-hara, hingga akhirnya menyebut fitnah ahlas (huru-hara tiada penamatnya).

Seseorang bertanya: Wahai Rasulullah, apa itu fitnah ahlas?

Nabi SAW menjawab: Ialah rampasan harta dan keluarga, lalu dibawa lari.

(Rasulullah SAW menyambung keterangannya): Kemudian timbullah sesudah itu fitnah sarra (huru-hara kemewahan), yang tipuan ataupun kerosakannya keluar dari bawah tapak kaki seseorang (yang mengaku) daripada ahli baitku (keturunan keluarga baginda), padahal dia bukan keluargaku. Wali-waliku hanyalah orang-orang bertakwa.

Kemudian manusia mengandalkan seseorang, bagaikan punggung bersandar pada tulang rusuk. Sesudah itu timbullah fitnah duhaima’ (huru-hara sangat dahsyat), yang tidak membiarkan seorang pun daripada umat ini melainkan dilandanya. Apabila dikatakan huru-hara itu telah selesai, maka ia kembali lagi, di mana seseorang pada waktu pagi hari beriman, lalu petang harinya menjadi kafir. Akhirnya manusia terbahagi ke dalam dua kota besar; kota iman, di mana tidak ada kemunafikan, dan kota munafik, di mana tidak ada keimanan. Apabila itu telah terjadi, maka tunggulah dajjal pada hari itu juga atau esok harinya.

miliki laman web/blog

klik