hadis

  • Jibril bertanya Nabi mengenai iman, kiamat

    Menurut Huru-hara Hari Kiamat, halaman 156:

    Al-Bukhari meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah bahawa pada suatu hari Rasulullah keluar menemui orang ramai. Tiba-tiba datang seorang Badwi bertanya mengenai iman, dan seterusnya hingga akhirnya orang itu bertanya: Wahai Rasulullah, bilakah datangnya hari kiamat?

    Baginda menjawab: Orang yang ditanya tidak lebih tahu daripada yang bertanya. Tetapi akan saya ceritakan kepada anda syarat-syaratnya, iaitu apabila hamba wanita telah melahirkan tuannya sendiri, dan apabila orang-orang (yang asalnya) tanpa alas kaki, telanjang, miskin, pengembala kambing menjadi pemimpin rakyat. Itulah sebahagian daripada syarat-syarat datangnya kiamat, antara lima syarat lain, yang hanya diketahui oleh Allah.

    Kemudian baginda membaca ayat (yang bermaksud): Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan tepat mengenai hari kiamat. Dan Dialah yang menurunkan hujan, dan mengetahui dengan sebenar-benarnya mengenai apa yang ada dalam rahim (ibu mengandung). Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat). Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Meliputi Pengetahuan-Nya. (Surah Luqman, ayat 34)

    Kemudian lelaki itu pun pergi.

    Baginda bersabda: Suruhlah dia kembali.

    Tetapi para sahabat tidak melihat apa-apa.

    Baginda menerangkan: Orang tadi adalah Jibril. Dia datang untuk mengajar manusia mengenai agama mereka. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dalam dua kitab sahih)

  • Kiamat akan berlaku apabila amanah disia-siakan

    Menurut Huru-hara Hari Kiamat, halaman 157:

    Dalam sahih Bukhari ada riwayat daripada Abu Hurairah (ertinya): Bahawa seorang Badwi bertanya kepada Rasulullah SAW, bilakah terjadi kiamat?

    Maka, kata Rasulullah: Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah terjadi kiamat.

    Kata Badwi itu, wahai Rasulullah, bagaimana atau dia berkata, apakah disia-siakan amanah itu?

    Rasulullah menjawab: Apabila urusan telah diserahkan kepada orang bukan ahlinya, maka tunggulah terjadi kiamat.

    HURAIAN

    Hal ini pun sudah kelihatan, dengan orang bukan ahlinya (bukan pandai atau berkebolehan dalam suatu hal), diangkat atau diberikan tanggungjawab.

    Oleh kerana itu, kebaikan, kesempurnaan dan kemajuan diharapkan tidak lancar, ataupun ianya tampil bersama fitnah atau akibatnya yang buruk, rosak dan binasa, merugikan. Ini boleh diperhatikan di setiap sisi.

  • Detik waktu terasa sebentar

    Menurut Huru-hara Hari Kiamat, halaman 158:

    Imam Ahmad meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda (mafhumnya – yang dapat difahami):

    Kiamat tidak akan terjadi sebelum waktu (terasa) saling berdekatan. Maka, adalah setahun seperti sebulan. Dan adalah sebulan seperti (setiap kali) Jumaat, seperti seharian, dan adalah seharian seperti sejam. Dan sejam seperti lamanya membakar daun kurma.

    HURAIAN

    Waktu terasa pantas berlalu terutama bagi orang dalam kesenangan – belum sempat merasai semua nikmat dunia, usianya sudah tua, jatuh sakit dan kurang upaya. Selepas direnung-renung, barulah orang terbabit sedar, bahawa tangkas dan lincahnya bersama harta dibolot hanya sebentar.

    Orang hidup susah biasanya terasa lama masa berlalu. Dalam keadaan lapar dan dahaga, manusia juga berasa lama, seperti berpuasa siang hari, dirasakan cukup lama untuk tiba waktu berbuka. Itu pun bagi sesetengah orang.

    Sekarang, orang masuk penjara untuk beberapa bulan atau beberapa tahun, terasa sebentar saja, dan mungkin kerana itu mereka yang dihukum memilih penjara daripada dikenakan hukuman lain.

  • Tahun-tahun penuh penipuan

    Menurut Huru-hara Hari Kiamat, halaman 159:

    Imam Ahmad meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah, dia berkata Rasulullah bersabda (mafhumnya): Menjelang terjadi kiamat akan ada tahun-tahun penuh penipuan, orang jujur didustai (dikatakan bohong), pendusta dibenarkan (dikatakan benar), orang dipercayai dianggap khianat, pengkhianat dipercayai (dipercayakan pula) dan orang kecil lagi hina pandai berbicara (petah bercakap).

    HURAIAN

    Hal sebegini kita sudah nampak riak-riaknya, di mana orang jujur dikatakan berdusta, berbohong, tipu, auta atau putar, manakala yang berdusta diangkat sebagai orang dipercayai, orang yang benar. Orang yang tidak tahu apa-apa pula, umur pun baru setahun jagung, petah bicaranya. Paling tidak, kita boleh lihat pada komentar atau terbitan di media sosial.

  • Dajal bermata satu, dakwa syurga padahal neraka

    Menurut Huru-hara Hari Kiamat, halaman 77, al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    “Ketahuilah, aku sampaikan kepadamu sekalian satu berita mengenai dajjal, yang tidak pernah disampaikan oleh seorang nabi pun kepada kaumnya. Sesungguhnya dajjal bermata satu dan sesungguhnya dia akan datang bersamanya seperti syurga dan neraka. Yang dia katakan syurga itu adalah neraka. Dan sesungguhnya aku mengingatkan kamu sekalian mengenainya sebagaimana halnya yang dilakukan oleh Nuh kepada kaumnya.”

  • Dajal terhapus sebelah mata, tertulis antara matanya kafir

    Menurut Huru-hara Hari Kiamat, halaman 77, Muslim meriwayatkan:

    Daripada Hudzaifah, dia berkata Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Bahawa aku lebih tahu mengenai apa yang akan dimiliki oleh dajjal daripada dia sendiri. Dia akan memiliki dua sungai yang mengalir. Salah satunya nampak dalam pandangan mata sebagai air yang putih. Sedang yang lain nampak dalam pandangan mata sebagai api yang berkobar-kobar. Jika seorang daripada kamu sekalian mengalami, maka datanglah ke sungai yang nampaknya api lalu pejamkan mata, sesudah itu tundukkan kepala, lalu minumlah. Yang sebenarnya itu air yang sejuk. Sesungguhnya dajjal itu terhapus (sebelah) matanya. Pada mata yang terhapus itu ada selaput tebal. Tertulis di antara kedua-dua matanya, kafir. Boleh dibacanya setiap Mukmin yang pandai menulis atau tidak.

  • Menjelang kiamat muncul pendusta

    Menurut Huru-hara Hari Kiamat, halaman 72/73: Muslim meriwayatkan:

    Daripada Jabir bin Samurah, dia berkata: Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Sesungguhnya menjelang datangnya kiamat muncul pendusta-pendusta.”

    Jabir berkata: Maka, waspadalah terhadap mereka.

    Imam Ahmad pula meriwayatkan daripada Jabir bahawa dia berkata: Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Sesungguhnya menjelang datangnya kiamat akan muncul pendusta-pendusta, antara lain seorang pendusta dari Yamamah, pendusta dari Sanaa iaitu al-Absi, pendusta dari Himyar dan dajjal. Dajjal inilah yang menimbulkan bencana besar.”

    Jabir berkata: Ada beberapa teman saya berkata jumlah mereka hampir 30 orang.

    Hadis ini diriwayatkan sendirian oleh Ahmad.

    Dalam sahih al-Bukhari: Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Kiamat tidak berlaku sehingga dibangkitkan dajjal-dajjal pendusta hampir 30 masing-masing mengaku dirinya utusan Allah.”

    Dalam sahih Muslim: Daripada Tsauban, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Dan sesungguhnya akan muncul dalam kalangan umatku 30 pendusta masing-masing mengaku dirinya nabi, sedangkan saya penutup para nabi, tidak ada lagi nabi selepas saya.”

  • Isyarat terkait Madinah

    Menurut Huru-hara Hari Kiamat, halaman 70/71:

    Dalam sahih Bukhari diriwayatkan: Daripada Abu Hurairah sabda Rasulullah SAW (mafhumnya): “Madinah tidak dimasuki wabak penyakit (taun) mahupun dajjal.”

    Pada hadis berikut Rasulullah SAW mengisyaratkan suatu saat wilayah Madinah akan bertambah:

    Menurut riwayat Muslim: Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Tempat-tempat pemukiman akan sampai ke Ihab atau Yihab.”

    Penduduk keluar dari Madinah:

    Dalam sahih Muslim diriwayatkan: Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Mereka meninggalkan Madinah ketika kota itu keadaan sebaik-baiknya, hanya dipenuhi haiwan-haiwan liar – yang baginda maksudkan haiwan buas dan burung liar. Kemudian keluarlah dua orang gembala dari Muzainah menuju Madinah, dengan mengiring kambing mereka berdua. Namun ternyata kota itu telah sepi. Sehingga manakala kedua-duanya sampai ke Tsaniyatul Wada’, mereka tersungkur pada wajahnya.

  • Isyarat penaklukan orang Islam

    Menurut Huru-hara Hari Kiamat, halaman 68:

    Rasulullah SAW mengisyaratkan kaum muslimin akan menakluk beberapa pulau di tengah laut, beberapa negeri di Rom dan seluruh Parsi. Dan bahawa kebenaran muslimin akan mengalahkan kebatilan dajjal.

    Imam Muslim meriwayatkan: Daripada Nafi’ bin Uyainah bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Kamu sekalian akan menyerbu Jazirah Arab (Semenanjung Arab) sehingga ditakluk oleh Allah. Kemudian (kamu menyerbu) Parsi sampai negeri itu ditakluk Allah. Kemudian (kamu menyerbu pula) Rom sampai negeri itu ditakluk Allah. Kemudian kamu menyerbu dajjal sampai ia ditakluk Allah.

  • Potret bangsa Rom

    Menurut Huru-hara Hari Kiamat, halaman 69:

    Muslim meriwayatkan: Al-Mustaurid al-Qurasyi berkata di hadapan Amr bin As, pernah saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Kiamat akan terjadi ketika orang-orang Rom merupakan bangsa yang teramai.

    Amr kepada al-Mustaurid berkata: Berhati-hatilah mengenai apa yang akan kamu katakan itu.

    Al-Mustaurid menjawab: Aku hanya mengatakan apa yang pernah aku dengar daripada Rasulullah SAW.

    Amr berkata: Sesungguhnya jika apa yang kamu katakan itu benar, maka memang pada bangsa Rom itu benar-benar memiliki empat sifat bangsa yang paling bijak ketika terjadi huru-hara, bangsa yang paling cepat sedar setelah ditimpa musibah, bangsa yang paling cepat menyerang kembali dalam peperangan setelah lari dan bangsa yang paling baik perlakuannya terhadap orang miskin, anak yatim dan orang lemah. Adapun sifat baik dan indah yang kelima ialah mereka adalah bangsa yang paling tahan terhadap kezaliman raja-raja.