hadis

  • Masuk syurga kerana syafaat

    Menurut Huru-Hara Hari Kiamat, halaman 450 & 451:

    Menurut riwayat at-Tirmidzi dan al-Baihaqi: Daripada Abu Said al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    Sesungguhnya antara umatku ada beberapa orang, yang seorang antaranya boleh memberi syafaat kepada sejumlah besar manusia, maka mereka masuk syurga kerana syafaatnya. Dan ada pula antaranya yang memberi syafaat kepada satu kabilah, maka mereka masuk syurga kerana syafaatnya. Dan ada lagi yang memberi syafaat kepada seseorang dan ahli keluarganya, maka mereka masuk syurga kerana syafaatnya.

    Al-Bazzar meriwayatkan dengan sanadnya secara marfu’: Sesungguhnya seseorang benar-benar boleh memberi syafaat kepada dua atau tiga orang.

    Ada sesetengah ulama menceritakan dalam kitab Zabur Nabi Daud tertulis firman Allah maksudnya:

    Sesungguhnya hamba-hamba-Ku yang zuhud, pada hari kiamat akan Aku katakan kepada mereka: “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku menjauhkan dunia daripadamu, bukanlah kerana kerendahanmu di sisi-Ku, tetapi kerana Aku ingin kamu memperoleh bahagianmu melimpah ruah sepenuhnya pada hari ini. Oleh kerana itu, masuklah kamu ke celah-celah barisan, dan carilah sesiapa yang dulu kamu cintai di dunia atau pernah memenuhi hajatmu atau mencegah orang mempergunjingkan (mengata, memfitnah) dirimu atau pernah memberimu sesuap makanan kerana mengharapkan reda-Ku, maka bimbinglah tangannya dan masukkan dia ke dalam syurga.”

  • 3 permohonan Nabi SAW kepada Allah, 1 daripadanya ditunda olehnya

    Menurut Huru-Hara Hari Kiamat, halaman 441:

    Dalam sahih Muslim diriwayatkan: Daripada Ubay bin Ka’ab, sabda Rasulullah SAW (mafhumnya): Sesungguhnya Tuhanku telah menyuruh aku membaca al-Quran dengan satu huruf.

    Maka, aku memohon kepada-Nya: “Wahai Tuhanku, ringankan umatku.”

    Namun Dia menyuruhku lagi agar aku membacanya dengan satu huruf.

    Baginda bersabda: Maka, aku berkata, wahai Tuhanku, ringankan umatku. Barulah Dia menyuruhku untuk kali ketiganya. Bacalah al-Quran dengan tujuh huruf. Dan pada setiap permohonan yang kamu ajukan tadi, kamu boleh mengajukan permintaan.

    Oleh kerana itu, aku berkata: Wahai Allah, ampunilah umatku.

    Dan aku menunda permintaanku yang ketiga sehingga pada hari di mana aku menjadi harapan seluruh makhluk, termasuk (Nabi) Ibrahim.

  • Air panas dituangkan ke atas kepala ahli neraka, keluar melalui dua belah tapak kaki

    Menurut Huru-Hara Hari Kiamat, halaman 431:

    Imam Ahmad meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bercerita mengenai ahli neraka (ertinya):

    Sesungguhnya air amat panas benar-benar akan dituangkan ke atas kepala salah seorang daripada mereka. Maka, air itu menembus dari atas kepalanya sampai ke rongga perut, maka hancur luluh apa pun yang ada di dalam perut, kemudian keluar melalui kedua-dua belah tapak kaki.

  • Sahabat Nabi SAW mendengar bunyi batu dilemparkan ke neraka

    Menurut Huru-Hara Hari Kiamat, halaman 426:

    Ahmad meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata: Adalah kami bersama Rasulullah SAW. Tiba-tiba kami mendengar bunyi gemuruh.

    Maka, Nabi SAW bertanya: Tahukah kamu sekalian, (bunyi) apakah ini?

    Kami menjawab: Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.

    Baginda bersabda: Ini adalah seketul batu yang dilempar ke dalam neraka jahannam sejak tujuh puluh tahun lalu dan sekarang baru sampai ke dasarnya.

  • Ucapan yang menyebabkan masuk neraka

    Menurut Huru-Hara Hari Kiamat, halaman 426:

    Muslim meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya seseorang mengucapkan kata-kata yang tidak jelas apa ertinya, maka kata-kata itu menyebabkan dia masuk ke neraka lebih jauh daripada jarak di antara timur dan barat.

  • Sejuk dan panas, neraka bernafas dua kali setahun

    Menurut Huru-Hara Hari Kiamat, halaman 423:

    Ahmad meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah, Nabi bersabda (mafhumnya): Neraka mengadu kepada Tuhannya lalu berkata: Wahai Tuhanku, sebahagianku memakan bahagian yang lain, maka buatlah aku bernafas. Maka, Allah mengizinkan ia bernafas dua kali dalam setahun. Maka, hawa paling sejuk yang kamu rasakan adalah daripada sejuknya jahannam yang amat sangat, dan hawa paling panas yang kamu rasakan adalah daripada panasnya jahannam.

  • Kasut daripada api, bara api menyebabkan otak mendidih

    Menurut Huru-Hara Hari Kiamat, halaman 422 & 423:

    Al-Bukhari meriwayatkan: Daripada Abu Said al-Khudri, bahawa nama Abu Talib pernah disebut-sebut di hadapan Rasulullah, baginda bersabda (mafhumnya): Mudah-mudahan syafaatku bermanfaat baginya pada hari kiamat, sehingga Allah meletakkannya pada neraka yang dangkal (cetek), yang mencapai buku lalinya dan menyebabkan isi otaknya mendidih.

    Menurut riwayat Muslim: Daripada Abu Said al-Khudri, Rasulullah bersabda (mafhumnya): Penghuni neraka yang paling ringan azabnya mengenakan kasut daripada api, yang menyebabkan otaknya mendidih, terlalu panasnya.

    Al-Bukhari meriwayatkan pula: Bahawa perawi (periwayat) hadis ini berkata: Aku mendengar an-Nu’man mengatakan: Aku mendengar Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya penghuni neraka yang paling ringan azabnya pada hari kiamat adalah seorang yang diletakkan pada lekukan kedua-dua belah tapak kakinya bara api, yang menyebabkan otaknya mendidih.

    Al-Bukhari juga meriwayatkan: Daripada an-Nu’man bin Basyir RA, dia berkata: Aku mendengar Rasulullah bersabda: Sesungguhnya penghuni neraka yang paling ringan azabnya pada hari kiamat adalah seseorang yang pada lekukan kedua-dua belah tapak kakinya diletakkan dengan bara, lalu otaknya mendidih seperti mendidihnya kuali dan periuk.

    Muslim juga meriwayatkan: Daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Rasulullah bersabda (mafhumnya): Penghuni neraka yang paling ringan azabnya pada hari kiamat adalah Abu Talib. Dia mengenakan sepasang kasut yang menyebabkan otaknya mendidih.

  • Api digunakan manusia 1 daripada 70 api neraka, dua kali dicuci di laut

    Menurut Huru-Hara Hari Kiamat, halaman 421:

    (Imam) Malik meriwayatkan dalam al-Muwatha: Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Api untuk bani Adam yang kamu nyalakan ini adalah satu pertujuh puluh daripada api jahannam.

    Maka, mereka (sahabat) berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya api ini benar-benar sudah cukup (panas).

    Baginda bersabda: Sesungguhnya api jahannam melebihinya dengan 69 kali ganda.

    Menurut riwayat Ahmad: Daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW bahawa baginda bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya apimu ini adalah satu pertujuh puluh daripada api jahannam. Ia telah dicuci dua kali di laut. Kalau tidak, maka Allah tidak memberi manfaat apa-apa padanya kepada sesiapa pun.

  • Perihal penghuni syurga

    Menurut Huru-Hara Hari Kiamat, halaman 391:

    Imam Ahmad dan ath-Thabrani – lafaz hadis ini menurut ath-Thabrani – meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    Penghuni syurga masuk (ke sana) dalam keadaan masih muda, berkulit putih, berambut ikal, bercelak mata, sebaya dengan anak seusia tiga puluh tiga tahun, bentuk mereka seperti Adam, iaitu setinggi enam puluh hasta dengan lebar tujuh hasta.

  • Tiga jenis catatan di sisi Allah

    Menurut Huru-Hara Hari Kiamat, halaman 355 & 356:

    Imam Ahmad meriwayatkan: Daripada Aisyah, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Catatan-catatan amalan di sisi Allah ada tiga jenis: Catatan yang tidak dipedulikan Allah sedikit pun, catatan yang tidak dibiarkan Allah sedikit pun dan catatan yang tidak diampunkan oleh Allah. Adapun catatan yang tidak diampunkan Allah adalah syirik.

    Allah berfirman maksudnya: “Sesungguhnya sesiapa menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah mengharamkan kepadanya syurga.” (Maksud yang terkandung pada ayat 72, surah al-Maidah)