Jadilah sebagai orang asing, pengembara di dunia

Daripada Ibnu Umar dia berkata, Rasulullah (SAW) memegang bahuku, maka baginda bersabda (mafhumnya): Jadilah di dunia seolah-olah kamu asing atau pengembara. Dan adalah Ibnu Umar berkata: Apabila kamu berada pada waktu petang, maka jangan kamu tunggu pagi, dan apabila kamu pada waktu pagi, maka jangan kamu tunggu petang, dan gunakanlah (manfaatkan) daripada (masa) sihatmu untuk (masa) sakitmu, dan daripada (masa) hidupmu untuk (masa) matimu. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

Sumber/ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 422.

HURAIAN

Pesanan Rasulullah SAW itu sangat baik untuk kita jadikan sebagai formula menempa kejayaan dalam menghadapi kehidupan, bukan saja di dunia malahan di akhirat.

Apabila kita berasa asing, maka kita akan menanggapi atau menghadapi kehidupan dunia dengan berhati-hati, kita tidak berbuat jahat atau kezaliman sesuka hati malah kita mengambil bahagian dunia sekadarnya — iaitu sekadar keperluan untuk bergerak aktif melakukan aktiviti harian dan beramal ibadat — bukan mengambil dunia dengan keinginan nafsu yang tidak pernah padam.

Seperti pengembara — berjalan atau mengatur langkah dengan berhati-hati kerana bimbang tersesat, cermat berbelanja dan tidak leka di likunya.