khaliffa1024@gmail.com

  • Catatan mengenai kebaikan dan keburukan

    Daripada Abu al-Abbas Abdullah bin Abbas bin Abdul Muttalib meriwayatkan, daripada Rasulullah SAW dalam suatu riwayat yang diceritakan daripada Rabbnya, baginda bersabda (mafhumnya):

    Sesungguhnya Allah mencatat semua kebaikan dan keburukan, kemudian menjelaskan hal itu. Sesiapa berkehendak mengerjakan kebaikan, kemudian tidak jadi melakukannya, maka Allah Yang Maha Suci dan Tinggi mencatatnya sebagai suatu kebaikan yang sempurna di sisi-Nya, dan sesiapa berkehendak mengerjakan kebaikan, kemudian jadi melakukannya, maka Allah mencatatnya sebagai sepuluh kebaikan di sisi-Nya, hingga berganda menjadi tujuh ratus kali ganda, bahkan lebih, menjadi sangat banyak.

    Seterusnya, sesiapa yang berkehendak mengerjakan keburukan, kemudian tidak jadi melakukannya, maka Allah mencatatnya sebagai suatu kebaikan yang sempurna di sisi-Nya, dan sesiapa berkehendak mengerjakan keburukan, kemudian jadi melakukannya, maka Allah mencatatnya sebagai satu keburukan saja di sisi-Nya. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 32.

  • Kelebihan melaksanakan solat secara berjemaah

    Daripada Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    Solat seorang lelaki dengan berjemaah melebihi solatnya di pasar atau rumahya dengan terpaut dua puluh sekian tingkat darjatnya.

    Hal ini kerana apabila seseorang berwuduk dan melakukannya dengan baik, kemudian datang ke masjid, tidak ada yang mendorongnya ke masjid melainkan untuk solat, dan tidak ada keinginan lain kecuali solat, maka setiap kali dia melangkah kakinya selangkah, melainkan dinaikkan baginya satu darjat dan dilebur daripadanya satu kesalahan sampai dia masuk ke dalam masjid.

    Apabila dia masuk ke dalam masjid, maka dia memperoleh pahala sebagaimana dalam keadaan solat, selama solat itu yang menyebabkan dia bertahan di dalam masjid, dan para malaikat mendoakan seorang antara kamu agar mendapatkan rahmat, selama dia masih berada di tempat solat.

    Para malaikat berdoa: Wahai Allah, kasihanilah orang ini. Wahai Allah, ampunilah dia. Wahai Allah, terimalah taubatnya.

    Hal ini berlangsung selama orang terbabit tidak berbuat keburukan dan selama dia belum berhadas. (Sahih Bukhari & Muslim – lafaz hadis ini oleh Muslim)

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 31.

  • Dua muslim berperang, yang membunuh dan terbunuh masuk neraka

    Daripada Abi Bakrah Nufai’ bin al-Harib ats-Tsaqafiyy, bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Apabila dua orang Muslim berhadap-hadapan dengan membawa pedangnya masing-masing, maka yang membunuh dan yang terbunuh masuk neraka.

    Saya bertanya: Ini yang membunuh (sudah jelas) tetapi bagaimana dengan orang yang terbunuh?

    Rasulullah menjawab: Sesungguhnya orang yang terbunuh itu ingin juga membunuh kawannya. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 31.

  • Perang dengan tujuan kalimat Allah jadi tinggi, maka ia pada jalan Allah

    Daripada Abu Musa Abdullah bin Qais al-Asy’ari berkata, Rasulullah ditanya mengenai seseorang yang berperang kerana ingin menunjukkan keberanian, ada lagi yang berperang kerana kesombongan dan ada pula yang berperang kerana riyak. Manakah antara semua itu yang termasuk berperang pada jalan Allah (fisabilillah)?

    Rasulullah menjawab: Sesiapa yang berperang dengan tujuan supaya kalimat Allah menjadi tinggi (menjadi luhur), maka ia pada jalan Allah (fisabilillah). (Diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim)

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 30.

  • Allah tidak lihat pada tubuh dan rupa kamu, tapi pada hati

    Muslim meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah Abdir Rahman bin Sakhr berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh-tubuh kamu sekalian, dan tidak pula kepada bentuk rupa kamu sekalian. Tetapi Dia melihat kepada hati-hati kamu sekalian.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 30.

  • Nafkah niat mendapatkan reda Allah, akan mendapat pahala dan kebaikan untuk mendapat reda Allah, bertambah darjat

    Daripada Abi Ishaq Sa’d bin Abi Waqas Malik bin Uhaib bin Abd Manaf bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Luai al-Qurasyi az-Zuhri – beliau adalah salah seorang daripada sepuluh orang yang diberi kesaksian akan masuk syurga.

    Dia berkata: Rasulullah datang kepadaku untuk menjengukku pada tahun haji wada’ kerana sakit berat yang menimpa diriku, lalu aku berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya sakit yang ada pada diriku telah mencapai keadaan yang engkau ketahui, sedangkan aku seorang yang berharta, dan tidak ada yang mewarisi hartaku melainkan seorang puteriku saja. Oleh kerana itu, apakah boleh jika aku menyedekahkan dua pertiga hartaku?

    Baginda menjawab: Jangan.

    Aku berkata lagi: Jika separuhnya, wahai Rasulullah?

    Baginda menjawab: Jangan juga.

    Aku melanjutkan: Sepertiga, bagaimana wahai Rasulullah?

    Baginda bersabda: Ya, baiklah. Sebenarnya sepertiga itu sudah banyak, atau sudah besar jumlahnya. Sesungguhnya jika engkau meninggalkan para ahli warismu dalam keadaan kaya (berharta), maka itu lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka dalam keadaan miskin, sehingga meminta-minta pada orang lain. Sesungguhnya tiada sesuatu nafkah yang engkau berikan dengan niat untuk mendapatkan keredaan Allah, melainkan engkau pasti akan mendapatkan pahalanya sekalipun makanan yang engkau berikan ke dalam mulut isterimu.

    Abu Ishaq melanjutkan riwayatnya: Aku berkata lagi: Apakah aku ditinggalkan (di Makkah) setelah kepulangan sahabat-sahabatku itu.

    Baginda bersabda: Sesungguhnya engkau tidak akan tertinggal. Kemudian apabila engkau melakukan suatu amalan kebaikan yang engkau maksudkan untuk mendapatkan keredaan Allah, melainkan darjat dan kedudukanmu akan bertambah. Barangkali sekalipun engkau ditinggalkan, tetapi nantinya akan ada beberapa kaum yang dapat mengambil manfaat daripadamu dan ada kaum lainnya yang mendapat mudarat lantaran dirimu. Wahai Allah, sempurnakanlah pahala untuk sahabat-sahabatku dalam hijrah mereka itu dan janganlah Engkau balikkan mereka pada tumit-tumit mereka (murtad). Tetapi yang miskin-rugi itu ialah Sa’ad bin Khaulah.

    Rasulullah berasa sangat kasihan padanya sebab matinya di Makkah. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 29 & 30.

  • Amalan dan tindakan mengikut niat

    Al-Bukhari meriwayatkan: Daripada Abi Yazid Ma’ni bin Yazid bin al-Akhnas, dia, bapanya dan datuknya termasuk golongan sahabat.

    Dia berkata: Adalah bapaku Yazid mengeluarkan beberapa dinar yang digunakan untuk bersedekah, lalu dinar-dinar itu dia letakkan di sisi seseorang dalam masjid. Lantas, aku datang dan mengambilnya. Kemudian, aku menemui ayahku, dengan membawa dinar-dinar itu.

    Lalu ayahku berkata: Demi Allah, bukan engkau yang aku kehendaki.

    Selanjutnya hal itu aku adukan kepada Rasulullah, lalu baginda bersabda: Bagimu, apa yang engkau niatkan wahai Yazid, sedangkan bagimu apa yang engkau ambil, wahai Ma’nu.

    HURAIAN

    • Bacaan Ma’ni atau Ma’nu berubah bunyi akhirnya mengikut baris dalam susunan ayat Arab.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 28.

  • Tidak ada lagi hijrah selepas pembebasan Makkah

    Daripada Aisyah (RAnha) berkata bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya):

    Tidak ada hijrah selepas pembebasan (pembukaan atau kemenangan Makkah), akan tetapi yang ada ialah jihad dan niat. Dan (oleh kerana itu), apabila kamu semua diminta untuk berangkat (berjihad), maka berangkatlah. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    HURAIAN

    • Maknanya tiada lagi hijrah dari Makkah.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 27.

  • Dibangkitkan kelak berdasarkan niat

    Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim — Redaksi hadis ini oleh Bukhari: Daripada Ummul Mukminin, Ummu Abdillah yakni Aisyah (RAnha) berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    Ada sepasukan tentera yang hendak memerangi Kaabah. Ketika mereka berada di suatu padang pasir dari tanah lapang, lalu dibenamkan orang pertama hingga yang terakhir daripada mereka.

    Dia (Aisyah) berkata: Saya berkata: Wahai Rasulullah! Bagaimana dibenamkan daripada yang pertama dan yang terakhir mereka, sedangkan antara mereka ada pedagang di pasar dan yang tidak termasuk golongan mereka?

    Baginda berkata: Dibenamkan dengan yang pertama dan yang akhir mereka, kemudian mereka dibangkitkan berdasarkan niat-niat mereka. (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim — Redaksi hadis ini oleh Bukhari)

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 27.

  • Amalan dengan niat, setiap orang apa yang dia niatkan

    Abdullah bin Qurth bin Razah bin ‘Adi bin Ka’ab bin Luai bin Ghalib al-Qurasyi al-‘Adawi berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    Sesungguhnya amalan-amalan dengan niat-niat dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Maka, sesiapa adalah hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa adalah hijrahnya untuk dunia hendak diperolehinya, atau seorang wanita hendak dinikahinya, maka hijrahnya kepada apa yang dia hijrah kepadanya. (Diriwayatkan Bukhari dan Muslim)

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 25 & 26.